PERCUBAAN
BUNUH TRUMP
Pada petang Sabtu 13 Julai lalu 5 das tembakan di arah ke Donald Trump. Sosok yang hendak di bunuh ini adalah bekas Presiden Amerika dan calon Parti Republikan untuk pemilihan kerusi Presiden bulan November 2024 ini.
Cuba bunuh ini berlaku ketika Trump sedang berucap - berkempen di khalayak ramai di kawasan lapang di Butler Pennslyvania.
Trump selamat. Selepas dentuman peluru didengar dengan pantas Trump di kelilingi oleh polis rahsia, FBI, polis tempatan dan pengawal peribadi. Peluru ke arah kepala gagal ke sasaran. Cuping telinga kanan Trump terkoyak.
Trump di bawa ke hospital.
Dalam kelam kabut ini Trump yang cedera - telinga berdarah - masih berpidato dan melaungkan slogan perjuangan Parti Republikan.
Sejarah tembak dan bunuh ahli politik di Amerika bukan satu yang baru. Presiden Abraham Lincoln di tembak mati tahun 1865, Presiden Garfield 1881, Presiden McKinley 1901 dan Presiden Kennedy 1963.
Ada juga presiden yang di tembak tapi tidak tewas. Presiden Rooseveelt pada tahun 1912 di tembak tapi tidak mati . Ronald Reagan pada tahun 1981. Paling terbaru Donald Trump.
Budaya main senapang dan pistol ini bukan asing dalam budaya Amerika. Ianya memerlukan satu tulisan yang lain. Kali ini saya hanya mahu membuka kesah Trump kena tembak di Butler Pennsylavania.
Si Penembak ini namanya Thomas Matthew Crooks. Anak muda berumur 20 tahun. Anak muda dari kelas menengah.
Thomas lulus pada 2022 dari Sekolah Menengah Bethel Park dengan hadiah $500 dolar untuk matematik dan sains, menurut sebuah akhbar tempatan.
Thomas bekerja di dapur Rumah Jagaan Orang Tua di mana ahli kakitangan berkata bahawa dia lulus pemeriksaan latar belakang dan tidak menimbulkan kebimbangan.
Beliau menghadiri Kolej Komuniti Allegheny, atau CCAC, dari 2021 hingga 2024 dan lulus dengan ijazah bersekutu dalam sains kejuruteraan.
Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada BBC, kolej itu menyatakan bahawa dia lulus "dengan penghormatan tinggi" dan bahawa semakan rekodnya tidak menimbulkan masalah disiplin.
Rekod pengundi negeri menunjukkan bahawa dia seorang Republikan berdaftar.
Cantik ! Tapi pelik.
Masuk ke minggu ke dua pihak berwajib dan FBI masih belum dapat mencari kenapa Thomas mahu Trump mati walhal dia juga dari Parti Republikan.
Dalam rumah Thomas di temui senjata, alat buat bom dan peluru. Senapang yang digunakan oleh Thomas ialah AR – Stele Rifle. Senapang ini milik ayahanda. Peluru dibeli beberapa jam sebelum Thomas sampai ke tapak ceramah.
Komputer dan talipon bimbit milik Thomas telah di kaji forensik oleh FBI. Tidak ada apa-apa maklumat yang di temui.
Justeru hingga ke hari ini media Amerika masih hangat membincangkan percubaan membunuh Trump. Dalam masa yang sama berita demi berita - bertokok tambah dan menjadikan kes ini satu misteri yang berterusan.
Dalam masa yang sama berita dari CNN, dari CBC atau dari FOX News menambah pelik cerita dan berita yang sudah pelik.
Justeru lahir pelbagai teori.
Pertama : Sebagai bekas Presiden Trump ada pengawal, sentiasa di iringi oleh polis rahsia, oleh FBI dan oleh mata-mata tempatan. Hakikatnya keselamatan Trump sebagai bekas Presiden dikawal rapi.
Saya masih ingat lagi berita bergambar dari akhbar The Straits Times tahun 1966. Dua ajen CIA memeriksa tangga kapal terbang di Lapangan Subang. Pada 31 Oktober 1966 Presiden Johnson datang ke FELDA Sendayan Negeri Sembilan. Kawalan dan keselamatan untuk Johnson cukup ketat.
Trump sebagai bekas Presiden juga di beri kawalan rapi. Justeru bila Trump ditembak maka pelbagai teori muncul.
Seperti biasa daulah dengan pantas keluar dengan naratif awal : Lone Wolf - Serigala Sendirian - maknanya Thomas ini buat kerja seorang diri. Tidak ada geng dan tidak ada pasukan. Cerita dan berita ini dijual oleh pihak berwajib kepada semua media arus perdana di Amerika.
Selang beberapa hari cerita serigala sendirian ini terbarai. Malah pada hari pertama lagi cerita ini telah terbarai. Wartawan Tv BBC London telah menemu bual seorang Mamat yang nampak Thomas di atas atap dengan senapang.
Malah Mamat ini telah memberitahu apa yang dia nampak kepada polis. Pelik tetapi benar polis tidak ambil pot.
Mamat ini melihat Thomas beberapa minit sebelum Trump ditembak.
Tidak cukup dengan ini ada juga sosok ditemu bual oleh stesen TV yang nampak Thomas membawa tangga untuk naik ke atap. Perkara ini pelik. Soalan timbul - apakah polis rahsia yang ada disana tidak nampak Thomas mengheret tangga.
Bila kereta Thomas di periksa ditemui juga bom buatan sendiri. Kereta ini bukan ditemui di tempat kejadian tapi 10 batu dari tapak ceramah. Apakah Thomas menapak seorang diri atau ada kereta lain dinaiki ? Apakah Thomas hendak menyerang secara rambang dengan bom ?
Dua hari selepas hari kejadian satu berita mengejut muncul. Si Thomas ini telah datang sehari sebelum ceramah dengan drone untuk menggambari kawasan tapak ceramah Trump. Ini bukti bahawa Thomas telah melakukan kaji selidik dan mencari tempat strategik untuk menembak mati Trump.
Persoalan timbul apakah FBI dan CIA tidak bekerja rapi dan teliti lagi seperti di Lapangan Terbang Subang sehari sebelum LBJ sampai pada bulan Oktober 1966?
Paling memeranjatkan apabila disiasat terbukti telah ada arahan dari penganjur dan polis : beg selendang tidak dibenarkan di bawa ke tapak ceramah.
Bagaimana si Thomas ini boleh membawa beg selendang yang didalamnya ada senapang. Bila beg ini diperiksa ditemui juga alat teropong yang boleh mengira jarak jauh atau dekat sasaran.
Tidak cukup dengan kesangsian ini. Pada hari berikutnya muncul pula satu klip video dimana seorang wanita telah membuktikan ketika tembakan berlaku ada seorang lagi Hamba Allah berdiri di atas tangki air di sebelah tapak ceramah.
Klip rakaman ini menunjukkan dengan jelas Hamba Allah ini mengundur diri satelah das tembakan kedengaran dan kemudian muncul kembali.
Semua ini menjadikan naratif serigala sendirian ini lebur. Teori demi teori muncul. Paling meyakinkan ialah teori konspirasi bahawa memang ada perancangan licik untuk membunuh Trump.
Sama seperti pembunuhan JFK pada 22 November 1963. Pada 24 November si Penambak Lee Harvey Oswald dibunuh awal sebelum sempat disiasat. Thomas Matthew Crooks si penembak Trump juga dibunuh serta merta. Walhal boleh ditangkap di disoal siasat. Ini tidak berlaku.
Sosok mati tak buka cerita – dead man tell no tales.
Pada 20 Julai 2024 – Portal Redacted dari Amerika menemu bual Alex Newman seorang wartawan dari Liberty Sentinel. Mengikut portal Redacted pada 2 Januari 2018 Alex dalam portal New America telah menulis tentang projek bunuh Trump.
Tajuk berita ialah : Deep State Plan C is to kill Trump – Advisor Roger Stone Warns – Daulah Terpendam Ada Rancangan Untuk Bunuh Trump.
Roger Stone adalah penasihat dan konsultan untuk kempen Trump pada tahun 2016.
Projek awal ialah menuduh Trump bersubahat dengan Rusia. Projek ini gagal. Mengikut Roger Stone jika ini gagal maka akan tiba Plan C.
Paln C ialah Donald Trump wajib di hapuskan. Justeru mengikut Alex Newman apa yang berlaku di Butler Pennslavania itu adalah Plan C – Bunuh Trump.
Kenapa daulah terpendam mahu Donald Trump dilupuskan dari politik Amerika?
Jawabnya mudah sahaja. Donald Trump ini menghuru hara kan garis politik Amerika. Donald Trump sosok pelik , kasar, lucah tetapi mendapat sokongan rakyat Amerika. Suara dan retorik Trump cukup popular di kalangan rakyat kelas bawahan Amerika.
Presiden Amerika semuanya adalah boneka. Di belakang boneka ini ialah deep state – daulah terpendam. Daulah terpendam inilah yang menjadi Pak Dalang Presiden Amerika.
Daulah terpendam ini adalah para kapitalis dan pemodal yang mahu garis politik Amerika memberi kepentingan pada kaum kapitalis untuk menjajah dunia.
Abraham Lincoln dibunuh kerana membebas kan hamba abdi. Langkah Lincoln ini bertentangan dengan kepentingan kaum kapitalis pada ketika itu.
JFK di bunuh kerana dia mahu memberhentikan Perang Vietnam. Pengganti JFK ialah Johnson yang datang ke Malaysia untuk melobi Tungku agar menghantar askar kita untuk sama berperang di Vietnam seperti askar Australia.
Ketika Trump ditembak bakal calon parti Demokrat masih lagi Joe Biden. Perhatikan dengan rapi bagaimana Biden berkeras untuk terus jadi calon walau pun ada tentang dari Parti Demokrat.
Joe Biden berkata I will win – I am not going anywhere – saya akan menang – saya tidak akan pergi ke mana mana.
Tup tup bila projek bunuh Trump gagal Biden tarik diri. Ada rampasan kuasa di belakang tabir Parti Demokrat. Jika Biden lawan Trump kepastian ialah Trump akan menang.
Biden adalah contoh terbaik boneka yang mengikut kata daulah terpendam. Boneka yang tak banyak kerenah. Walau pun nyanyuk media arus perdana Amerika dan para aparacik di Rumah Putih tiada berkata apa apa tentang Biden yang kurang sihat.
Joe Biden akan mengajukan dasar – Perang Berterusan - Perang Ukraine dan Perang Gaza
Donald Trump enggan jadi boneka dan payah untuk di kontrol.
Trump satu-satunya Presiden Amerika yang berani berkata CNN adalah penipu.
Paling menakutkan daulah terpendam ialah dasar Donald Trump terhadap Perang Ukraine. Jika Trump jadi Presiden sekali lagi Perang Ukraine akan ditamatkan.
Trump mempersoalkan duit dan senjata yang diberi pada Ukraine dan Israel.
Paling menakutkan daulah terpendam ialah dasar Trump terhadap NATO. Ketika jadi Presiden Trump mahu NATO membayar perbelanjaan bala tentera Amerika di Eropah.
Baru-baru ini Trump berkata : Perbelanjaan untuk keselamatan Taiwan wajib dibayar oleh Taiwan.
Semua dasar dan kata-kata Trump ini bercanggah dan berlawanan dengan kepentingan kompleks industri senjata – military industrial complex.
Industri senjata inilah yang menjadi Pak Dalang politik Amerika.
Wajib diberi tahu dalam tulisan ini Donald Trump adalah sosok pertama calon Presiden Amerika yang enggan pergi membuat ucapan kepada Council in Foreign Relation. Lembaga CFR ini menggaris dan mengatur dasar politik luar Amerika. CFR adalah sebahagian dari pemikir daulah terpendam.
Ketika tulis ini di garap Joe Biden telah menarik diri. Dilaporkan Kamala Harris akan menjadi calon dari Parti Demokrat.
Apakah Donald Trump akan selamat ? Apakah Donald akan menang ? Tunggu minggu hadapan. Amin (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/712917
Tiada ulasan:
Catat Ulasan