Selasa, 3 September 2024

MEI 13 UK - MEDIA SOSIAL DAN BERITA PALSU


MEI13 UK

MEDIA SOSIAL

 DAN 

BERITA PALSU


Berita palsu ini bukan sesuatu yang baru. Berita ditokok tambah untuk menyedapkan cerita adalah perkara biasa. Berita berubah penceritaan dari mulut ke mulut adalah lumrah.

Melapor berita ini macam cerita Enam Orang Buta Melihat Gajah. 

Malah laporan dari  media  mana pun – dari stesen tv apa pun – dari akhbar – dari portal apa pun semuanya memiliki lenggok dan condong.

Lenggok dan condong ini bergantung kepada tuan empunya media. Bergantung kepada garis politik pemilik media. Tulisan dan laporan berita yang kita baca itu juga bergantung kepada pandangan dunia Sang Penulis dan  Sidang Redaksi.

Media apa pun dan akhbar tersohor mana pun yang klim sebagai objektif adalah karut. The New York Times  yang klim tidak memihak adalah  kenyataan  bohong. Radio BBC yang klim memberi laporan seimbang adalah kenyataan tipu. RTM, Utusan, Tv3 dan semua yang sewaktu dengannya akan  memihak dalam melapor.

Malah tulisan saya ini juga ada lenggok dan condongnya. Pandangan dunia dan pandangan budaya saya mempengaruhi  bentuk gaya dan apa yang saya tulis.

Berita dan laporan berita juga seperti masakan. Aji-no-moto ditambah dalam berita untuk menyedapkan berita.

Apa dia aji-no-moto dalam berita?  

Sensasi, gempak, ganjil, memeranjatkan, lain dari yang lain, gambar atau tajuk berita. Semua ini aji-no-moto. Seperti masakan Peranchis dihias seperti  seni tampak.

Tahun 2024 ini berita dan  pemberitaan telah diubah oleh teknologi Internet. 

Terkini terbaru berita dari teknologi ini telah dituduh sebagai   memulakan dan menambah luaskan pergaduhan Bumiputera  UK berkulit putih dengan kaum pendatang yang tercetus pada 29 Julai 2024 yang lalu.

Kes rusuhan Bumiputera UK ini berlaku di zaman Internet. Kini Internet dan media sosial di tuduh sebagai punca rusuhan.

Awal  dulu saya telah menulis bagaimana Perdana Menteri UK Keir Starmer yang belum 100 hari naik takhta telah kelam kabut dan gopoh gapah  bila berhadapan dengan rusuhan Bumiputera ini. Keir Starmer terus menuduh rusuhan kaum ini didalangi oleh kumpulan kanan. 

Pada 5 Ogos portal PBS dari Amerika melaporkan : British Prime Minister Keir Starmer, in office just a month, has promised to crack down on groups of 'right-wing thugs' - Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang memegang jawatan baru sebulan, telah berjanji untuk membanteras kumpulan 'samseng sayap kanan'.

Untuk sesiapa yang boleh berfikir, yang  boleh membaca dan meneliti akan ketawa  bila membaca Keir Starmer dengan analisa kontotnya.  Tuduhan  semberono terhadap kumpulan pelampau sayap  kanan ini dilihat sebagai tanda keupayaan fikrah Keir Starmer.

Warga yang rasional berfikir tidak akan membeli cerita dongeng yang dijaja oleh Perdana Menteri UK yang baru ini. Justeru sebab dan punca sebenar kenapa rusuhan kaum wajib di gali.

Tertiba seorang jantan dari Lahore Pakistan di tangkap. Farhan Asif berumur 32 tahun dituduh sebagai pencetus, sebagai pemula dan sebagai penyebab berlakunya rusuhan di United Kingdom.

Mamat dari Lahore 4000 batu dari UK dijadikan punca  rusuhan Mei13 di UK. Biar betul.

Polis Pakistan telah menahan seorang wartawan bebas tempatan yang dituduh menyebarkan berita palsu yang membawa kepada rusuhan dan keganasan yang meluas terhadap masyarakat Islam di UK berikutan kejadian menikam tiga gadis muda di bandar Southport, kata seorang pegawai pada Isnin.

Farhan Asif, yang bekerja untuk platform digital, Channel3Now, telah ditahan di bandar timur laut Lahore, kata ketua polis tempatan kepada pemberita.

Ini berita betul. Saya pungut maklumat ini dari Anadolu Ajancy  - agensi berita dari Turki. Berita ini dilapur  pada 20 Ogos 2024. 
  
Saya rasa PM Keir Starmer akan merasa lega bila membaca laporan dari agensi berita ini. Starmer pasti berfikir rupa-rupanya Internet dan  fake-news – berita palsu yang menjadi punca pergaduhan kaum bukan dasar kerajaan.

Media dan politikus di UK menuduh Farhan Asif dari Lahore sebagai punca rusuhan. Ini   samalah seperti Tungku Abdul Rahman dalam bukunya: 13 Mei Sebelum Dan Selepas. Tunku menuduh gambar Khir Johari dan Isteri memakai pakaian klasik China  penyebab Mei13. Gambar ini menaikkan kemarahan orang Melayu lalu mereka mengamuk di Setapak dan Kampung Baru.

Portal Channel3Now ini bukan condong ke mana mana. Portal ini mengeluarkan berita   pendatang haram membunuh bumiputera berkulit putih dengan aji no moto untuk  menarik pembaca.

Politikus di UK dan di Tanah Melayu memiliki perangai dan pendekatan yang sama. Mereka mencari jalan mudah  bila berhadapan dengan masalah yang tebal dan rumit.

Tidak ada politikus  dari mana parti yang berkuasa berani menghurai dua perkara – dua teori -  yang pada hari ini sering ditimbulkan orang orang ramai di Eropah dan di Amerika. 

Saya sendiri pada awalnya tidak faham akan makna dan tanda dua teori ini. Pertama teori Nativism dan Kedua teori Replacement.

Nativisme ialah dasar politik untuk mempromosi atau melindungi kepentingan orang asli atau orang asal ke atas kepentingan pendatang, termasuk sokongan terhadap langkah anti-imigresen dan sekatan imigresen.

Justeru saya Melayukan menjadi Bumiputera. Teori ini amat mudah di fahami kerana  sesudah Mei13 kita  di Tanah Melayu mula mengamalkan teori ini.

Manakala teori Replacement ini bersangkutan dengan  demografi. Warga  kulit putih di Amerika Syarikat dan Eropah  membuat spekulasi bahawa penurunan kadar kelahiran di kalangan orang kulit putih membawa bahaya kepada negara watan mereka. Kedatangan imigran  pendatang bukan Kristian akan  melemahkan identiti nasional. 
  
Saya Melayukan sebagai teori Mengubah Budaya.

Pada hemat saya hujah dan fakta yang  berasakan dua teori inilah yang menyebabkan berlakunya rusuhan Mei13 di United Kingdom.

Malah teori ini juga sedang diguna pakai di Amerika dan di  Eropah.

Manifestasi dari teori ini sedang kita lihat  dalam  kempen Donald Trump.  Calon Presiden ini  mahu menghantar pulang semua pendatang haram yang mencuri masuk ke Amerika.

Data dari portal migrationpolicy.org menunjukkan hari ini ada 11.4 juta pendatang haram di Amerika. Saya ulang. Ada 11.4 juta pendatang haram di Amerika. Bukan 11 orang tapi 11 juta.

Di German parti AFD – Alternative for Germany – cukup popular. Parti ini semakin merebak dan semakin mengampuh German.

Induk kempen AFD ini juga sama seperti kempen Trump. Mahu pendatang haram di halau keluar. Dan hentikan pengambilan pendatang baru.

Data Parlimen Eropah menunjukkan ada 5.1 juta pendatang memasuki EU dari negara bukan EU pada 2022, peningkatan sekitar 117% (2.7 juta) berbanding 2021. Majoriti adalah pendatang haram.

Pendatang haram dari luar Eropah inilah yang menjadi pemangkin masalah sosial yang kini menghantui UK.

Malah pandangan dan ajaran dari dua teori ini sedang tersebar meluas di Eropah. Sweden, Austria, Perancis  dan Itali memperlihatkan kekalahan garis Sosial Demokrat. Parti tradisional  yang mengamalkan garis lama makin digasak dan akan disingkir oleh  dua teori ini.

Amat mudah untuk menuduh  penganut dua teori ini sebagai pelampau kanan. Amat mudah untuk Keir Starmer menuduh mereka yang merusuh di Southport sebagai rasis.

Menuduh   Bumiputera sebagai rasis adalah mudah.  Menuduh John dan Jenny  yang tidak suka kepada Abdeel dan Amineeh sebagai rasis adalah cara  kontot berfikir.

Jika Abdeel dan Amineeh  tidak berada di UK  apakah  John dan Jenny  menjadi rasis? Sila jawab.

Pada hemat saya - malah berkali-kali telah saya nyatakan rasis ini adalah bom nuklear yang dibalingkan tanpa memahami sejarah dan budaya. 

Tuduhan rasis adalah tohmahan  untuk memadamkan hujah rasional yang terpendam di dalam sanubari anak watan.

Mari kita kembali meneliti   lenggok dan condong ke mana laporan media arus perdana hari ini. 

Rusuhan Bumiputera berkulit putih di UK sudah reda. Ramai masuk penjara. Lenggok dan condong media masih  terus menuduh kumpulan samseng kanan bersama bantuan Internet dan media sosial sebagai pencetus rusuhan. Penangkapan  Farhan di Lahore memperkuat hujah ini.

Manakala media di German mengakui bagaimana AFD semakin popular. Media tidak pula merungkai kenapa ini berlaku. Kenapa garis kanan semakin diterima dan   garis politik ini berkemungkinan akan mengalih lanskap politik German.

Di Amerika media arus perdana sebulat suara menenggelamkan isu pendatang haram. Memperlekehkan projek tembok sempadan yang ingin didirikan oleh Trump untuk menghalang kemasukan pendatang haram dari Mexico.

Lenggok dan condong yang di jual dan di jaja oleh media arus perdana ialah tentang  kelucahan Trump, tentang sikap Trump terhadap wanita dan tentang hak wanita untuk menggugurkan anak.

Berita tentang 11 juta pendatang haram yang pasti akan membawa  masalah sosial dalam masa terdekat diletakkan di bawah punggung.

Media arus perdana terus memperlekehkan teori Bumiputera dan teori Mengubah  Budaya sebagai picisan. Media di Amerika dan di Eropah serentak dan seirama memperkecilkan  kebangkitan garis politik baru sebagai rasis.

Media-media arus perdana ini  mengulangi sekali lagi sikap dan  lenggok laporan mereka sama seperti yang mereka lakukan  ketika Bush menuduh Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah ramai

Apa sangkut pautnya apa yang berlaku di Amerika dan German dengan kita di Malaysia. Apa lenggok dan condong media kita terhadap pendatang haram? Sila tunggu minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI DITERBIKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/717882  



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau condong ok je. tapi cerita rekaan ini yang tak boleh blah... cerita a.i sarah jamal pun jadi hujah.. ini bahalol.. kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

cerita 6 orang buta melihat gajah.. ini macam cerita a.i sarah jamal.. kah kah kah