GLOBAL IKHWAN
DAN TONGKAT
BUMIPUTERA
Sebulan kebelakangan ini hampir setiap hari kita terbaca, terdengar dan terlihat berita GISB - Global Ikhwan. Ada berita GISB dari kenyataan polis, ada berita kedai GISB di tutup, ada berita tangkapan ahli GISB atau ada berita tentang GISB dari mahkamah.
Heboh GISB ini lebih heboh dari Jom Heboh. Sudah hampir dua bulan GISB ini menjadi tajuk perbualan nasional terutama di kalangan Melayu Islam.
GISBH Holdings Sdn Bhd (GISB) ialah syarikat konglomerat yang memegang aset dilaporkan bernilai RM325 juta. Syarikat ini ada jaringan perniagaan di 20 buah negara dalam dunia.
Ada perniagaan kedai runcit, ada syarikat Travel Agency, ada kilang roti, kicap dan mee. Ada kedai makan dan restoran. Ada sistem pengangkutan sendiri. Hebat konglomerat ini.
Konglomerat GISBH beralamat di Rawang Selangor ini ditubuhkan pada 1997, tiga tahun selepas Kerajaan Malaysia mengharamkan al-Arqam pada 1994. Arqam dituduh sebagai pengamal ajaran Islam sesat.
Ketika Arqam membesar berkembang dan menjadi perbualan nasional saya masih berkelana. Sepulang dari berkelana kumpulan al-Arqam ini telah diharamkan. Malah ada pemimpin Arqam yang di tahan di bawah ISA – Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Saya dimaklumkan bahawa Arqam ini adalah sebuah pertubuhan cult atau kultus berasaskan agama Islam. Bila saya mendengar maklumat ini maka saya teringat akan Maharishi Yogi - Tok Guru kepada John Lennon. Maharishi Yogi dari India ini menjadi Tok Guru agama Hindu yang memiliki pengikut berselirat di seluruh dunia.
Di London saya telah membaca buku temu bual akhir arwah John Lennon dengan majalah Playboy keluaran Januari 1981. John Lennon bersurah bagaimana Tok Guru Maharishi cuba mencabul Mia Farrow. Ketika itu bintang filem Hollywood yang cun ini sedang bermukim dengan John Lennon di Ashram di kaki pergunungan Himalaya.
Justeru pada 20 Mac 1995 kumpulan Aum ini telah melepaskan gas beracun di stesen kereta api di Tokyo. Akibatnya 13 mati, 54 cedera parah dan 980 orang lagi dibawa ke hospital. Dunia masih belum kiamat.
Di Amerika seorang paderi bernama James Jones telah menubuhkan gereja bernama Peoples Temple di Guyana Amerika Latin. Ini kumpulan cult Kristian yang juga yakin dengan ajaran bahawa hari kiamat telah dekat.
Justeru pada 18 September 1978 Tok Guru James telah mengarahkan semua pengikut membunuh diri dengan menelan pil sianida yang beracun. Seramai 909 pengikut mati termasuk Paderi James Jones.
Ciri-ciri kumpulan cult agama semuanya seakan-akan sama dan memang menarik. Kalau dalam budaya muzik pop ada sex, ada dadah dan ada rock n roll. Penyanyi dan kugiran menjadi Tok Guru. Dalam cult agama pula ada Tok Guru, ada sex , ada duit tapi tidak ada rock n roll.
Dari apa yang saya baca dari media di dalam cult GISB ini ada Tok Guru, ada sex dan ada duit. Bila duit bertemu dengan sex dan di campur pula dengan ayat suci maka ianya akan menjadi kimia yang ampuh untuk menyebar luas pengaruh.
Saya juga terbaca bagaimana kedai makan GISB ini menggunakan ilmu pelaris Melayu untuk menarik pelanggan. Disebarkan cerita bagaimana air basuh kaki Tok Guru menjadi sebahagian dari resipi.
Untuk saya semua ini ceria karut lagi dongeng dan tidak masuk akal. Samalah seperti cerita restoran dan kedai makan menggunakan ganja sebagai daya pengikat pelanggan. Pelanggan menjadi gian lalu datang kembali ke restoran tersebut.
Tidak masuk akal kerana harga ganja mahal. Memasukan ganja dalam sup ayam atau mee kari tidak membawa keuntungan. Berniaga untuk mencari untung.
Kesah-kesah dongeng ini bertujuan untuk memburuk-burukan kumpulan GISB dan kedai makan mereka.
Saya membaca ada pula kuliah meliwat di rumah amal Ikhwan ? Hubungan sex sesama jantina ini bukan satu keganjilan. Sex jenis ini ada dimana-mana. Tidak memerlukan kuliah. Justeru babak ini saya ketawa kerana ini betul-betul tak masuk akal. Amin.
Saya sendiri ada pengalaman dengan kumpulan GISB ini. Pengalaman ini secara tidak sengaja.
Ceritanya begini : Sesekali bila bosan di Kuala Lumpur saya balik kampung. Kampung tanah pusaka saya ini terletak di Kampung Chenor Jelebu Negeri Sembilan.
Di kampung ada beberapa kali saya ternampak beberapa anak-anak lelaki anggaran umur 10 atau 12 tahun. Mereka sekumpulan berkawan-kawan melintas di sebelah rumah saya. Saya tidak tahu anak dan cucu siapa mereka ini.
Bila saya bertanya - Kakak saya menerangkan bahawa mereka ini dari rumah amal di hadapan rumah kami. Rumah amal ini disewa dari waris saya juga.
Mengikut Kakak saya ada kurang lebih 15 anak anak yang menjadi penghuni rumah amal ini. Ada juga beberapa orang dewasa. Apa yang menarik dari cerita Kakak saya ialah sesekali anak-anak ini datang minta daun pisang dari Kakak saya.
‘ Mereka buek nasi lomak ... di jual kek pokan Klawang...... kadang-kadang budak-budak ni bagi Kak Ngah nasi lomak.... dio ambik daun pisang kito...’
Saya sendiri juga ada pengalaman peribadi berurusan dengan budak-budak dari rumah amal ini. Saya terserempak dengan tiga orang mereka di pekan kecil Simpang Pertang ketika saya mahu membeli kuih.
Seorang dari Baling Kedah, dari Terengganu dan dari Seremban. Umur mereka di bawah 17 tahun.
‘ Sekolah lagi ke.... belajar di mana ? ‘
‘ Di Kerangai...’
‘ Woit... jauh kau datang ni...’ Saya membayangkan anak sekolah dari Baling Kedah dan dari Terengganu. Mereka tinggal di pondok di Kerangai Jelebu yang agak jauh dari kampung saya.
Bila berita GISB meledak saya teringat muka-muka anak-anak yang mencari daun pisang dan berjual kuih di Simpang Pertang. Apa sedang terjadi pada mereka.
Dari apa yang saya baca kumpulan cult ini telah menggunakan tenaga anak-anak ini untuk berjual beli. Jika tenaga anak-anak tidak dibayar saya anggap ini satu kesalahan. Jika anak-anak ini tidak bersekolah ini menjadi satu jenayah.
Malah persoalan timbul apakah para pekerja dewasa dan di bawah umur di jaringan perniagaan GISB ini di bayar gaji dan mencarum di KWSP. Atau mereka hanya diberi makan dan tempat tinggal. Pekerja tanpa caruman KWSP adalah kesalahan jenayah. Kesatuan buruh wajib meneliti perkara ini. Pihak berwajib perlu bertindak.
Saya tidak akan menuduh GISB atau kumpulan Ikhwan ini mengamal ajaran Islam sesat. Untuk saya sesat atau tidak sesat itu bergantung pada kuasa. Kuasalah yang menentukan sama ada ajaran itu sesat atau tidak.
Di Iran mazhab Syiah tidak sesat. Di Malaysia di anggap sesat. Di Pakistan ajaran Ahmadiah dianggap sesat. Di India ianya tidak sesat. Di Saudi ajaran Wahabi menjadi ikutan. Di Malaysia hanya Sunnah wal Jamaah yang dianggap betul yang lain ajaran Islam sesat.
Jelas sesat atau tidak sesat ajaran itu bergantung kepada siapa yang berkuasa.
Wajib di sedari bahawa agama ini muncul dari keyakinan. Agama ini bukan ilmiah. Agama wajib di yakini. Yakin ertinya tanpa was was. Tidak ada soal jawab.
Tidak mungkin ada penganut agama akan bertanya kepada Paderi atau Ustad tentang berapa besar kapal Nabi Noh yang menyelamatkan semua binatang dalam dunia ini ketika bah besar berlaku.
‘ Ustad nak tanya sikit ... masa bah tu... Nabi Noh ada bawa tapir kita dari Pahang tak.....’
Soalan seperti ini tidak mungkin dilayani kerana dalam ajaran agama penganut hanya wajib menerima bukan menggeledah mencari kesahihan.
Mencari kesahihan secara ilmiah dan rasional itu bukan agama. Itu namanya ilmu yang berpandukan akal fikiran. Agama tidak ilmiah dan tidak rasional. Agama wajib diyakini tanpa soal jawab dan tanpa kaji selidik.
Justeru dalam kumpulan cult kesetiaan dan keyakinan kepada Tok Guru adalah rukun pertama. Apa kata Tok Guru semuanya benar. Jika Tok Guru arah cari daun pisang maka tidak perlu soal jawab. Tidak perlu banyak bertanya.
Akur dan patuh adalah rukun iman untuk semua para pengikut cult dalam agama apa pun.
Kenapa ada orang menjadi pengikut Maharishi Yogi, jadi pengikut Paderi Jim Jones atau jadi pengikut Ashaari Muhamad. Saya bukan pakar saikoloji. Dari pemerhatian saya yakin ada naluri manusia yang mahu menjadi pengikut.
Menjadi pengikut lebih senang dari mencari, bertanya, mengkaji dan menyelidik. Ikut saja lebih mudah. Tak perlu fikir banyak. Tak perlu bertanya banyak.
Menjadi pengikut ini bukan hanya dalam agama. Dalam parti politik moden pun ada sikap taasub kepada pemimpin. Dalam Parti Konservatif ada. Dalam Parti Liberal ada. Dalam parti Sosialis ada. Dalam Parti Komunis pun ada. Amin
Dalam heboh-heboh berita Ikhwan dan GISB ada satu perkara yang jangan kita lepas pandang. Untuk saya perkara ini agak penting untuk kita bersama fikirkan.
Jangan kita hanya ikut dengan taasub kenyataan dari polis atau terima bulat-bulat kesahihan berita yang kita baca. Gunakan akal dan gunakan fikiran sendiri. Jika tidak kita juga menjadi pengikut cult berasakan laporan berita yang condong kepada pemilik kuasa.
Perkara ini ialah bagaimana Ikhwan dan GISB ini boleh menjadi konglomerat yang berjaya. Perniagaan mereka bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia.
Restoran mereka ada di Jakarta, Mekah, Paris, Melbourne , London, Istambul, Bangkok dan dan dan. Bagaimana cara dan pendekatan perniagaan mereka. Bagaimana GISB ini boleh berjaya tanpa menggunakan tongkat Bumiputera.
Kita tidak pernah mendengar ada YB atau Pak Menteri merasmikan Kedai Roti Ikhwan. Kita tidak pernah terbaca Ikhwan meminta projek atas nama Islam dan Bumiputera.
Perniagaan Ikhwan GISB ini saya lihat lebih berjaya dari MARA , Tekun, PERNAS dan yang lain-lain yang sewaktu dengannya. GISB tidak memerlukan tiket Melayu, tiket Bumiputera untuk berjaya dalam perniagaan. Amin.
Ini mengasak saya berfikir apakah ada udang di sebalik roti Ikhwan. Apakah ada agenda lain di sebalik heboh-heboh ajaran sesat. Apakah berita dan heboh-heboh Ikwan GISB ini adalah agenda untuk mengolah satu persetujuan?
Persetujuan apa?
Persetujuan untuk melakar satu hukum , satu akta atau undang-undang baru dimana Islam hanya boleh di tafsir oleh kuasa kerajaan? Yang lain dianggap ekstremis dan sesat ?
Atau satu badan satu kumpulan satu organisasi seperti Ikhwan yang tidak memerlukan tongkat Bumiputera ini dianggap bahaya. Apa yang menjadikan Ikhwan ini bahaya ialah mereka juga memiliki dana yang lumayan. Mereka berdikari bebas merdeka. Ekonomi mereka kukuh dan mereka bebas melakar perjalanan kumpulan mereka.
Kita selalu berani bersuara dan melaungkan sokongan kita terhadap kebebasan individu. Tapi kita akan takut dan gementar bila berhadapan dengan individu yang bebas.
Kita sokong Bumiputera berniaga. Tapi ada diantara kita akan gementar dengan Bumiputera yang berjaya berniaga tanpa memerlukan sokongan kuasa kerajaan. Amin. (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW
3 ulasan:
sesat atau tak ..bergatung pada kuasa ? itu bukan kebenaran..
kuasa tak boleh tentukan benar..
tapi seperti lu cakap ia untuk mengolah persetujuan.. ya boleh
persetujuan adalah benar.. itu bohong.
benar tetap benar walau tiada siapa yng mempercayainya.
pemuja geng bontot rupanya. rupanya pengikut ajaran sesat, pemain bontot! Kah kah kah!
CUI BONO...
CUI BONO...
CUI BONO...
Sapo yg mulokn industri HALAL?
Sapo yg trgugat dek BMF?
Sapo yg tk bulih kono kawal?
Sapo yg torancam?
Agenda sapo nih..?
Kapitalis.....?
Politaik...?
CUI BONO...?
Catat Ulasan