'Najib mungkin dianggap cuai, tetapi ia bukan perbuatan jenayah' - Peguam
KUALA LUMPUR: Peguam kepada Najib Razak menutup hujahan di akhir kes pendakwaan, dengan menegaskan perilaku bekas Perdana Menteri itu berhubung hal ehwal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), adalah lebih konsisten kepada tindakan seorang yang tidak bersalah.
Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya berkata, walaupun hakim mungkin beranggapan tindakan anak guamnya itu cuai pada beberapa bahagian, namun ia bukan satu perbuatan jenayah.
Muhammad Shafee berkata, pihak pendakwaan tidak menunjukkan apa yang mereka maksudkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, ialah 'imej bayangan' Najib.
"Sementara itu, Jho Low membuka akaun di luar negara di seluruh dunia dengan membeli hartanah di merata tempat.
"Jika dia adalah imej bayangan, maka sudah tentu Najib juga akan mempunyai akaun sama di luar negara.
"Mengapa mereka mengambil wang dari sini dan membawanya ke seluruh dunia, semata-mata untuk membawanya kembali ke Ambank Jalan Raja Chulan.
"Dengan itu, saya merayu kepada Yang Arif, bahawa ini adalah kes yang mana Yang Arif perlu melakukan penilaian maksimum ke atas semua keterangan dan saksi," katanya.
Muhammad Shafee berkata, mahkamah juga perlu menilai (keterangan) setiap saksi dan membuat kesimpulan sama ada mereka boleh dipercayai atau sebaliknya.
Beliau berkata, semua saksi penting pendakwaan tidak boleh dipercayai kerana keterangan mereka tidak konsisten dan bercanggah.
Katanya, semua keterangan berkenaan hanya bersifat dengar cakap kerana mereka hanya menyatakan bercakap dengan Jho Low dan mendapat arahan daripadanya, tetapi tiada pengesahan diberikan (untuk menyokong keterangan itu).
"Jadi, saya menggesa Yang Arif tidak memanggil Najib untuk membela diri. Yang Arif mesti membebaskan dan melepaskan beliau daripada semua pertuduhan.
"Hujahan kami mengenai pertuduhan yang cacat juga adalah sangat kuat dan Yang Arif patut menimbangkan perkara itu.
"Jika Yang Arif memilih untuk berbuat demikian (memutuskan pertuduhan itu cacat), maka keseluruhan kes ini akan runtuh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan