Daim gesa polis siasat Anwar salah guna kuasa selepas pendedahan Bloomberg
Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menggesa polis menyiasat Anwar Ibrahim kerana salah guna kuasa berikutan pendedahan Bloomberg baru-baru ini bahawa perdana menteri mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)memulakan siastan terhadap musuh politik beliau, di samping menyuruh badan itu agar mengecualikan bekas pembantunya.
Dalam laporan polis yang difailkan isterinya Naimah Khalid, Daim berkata polis mesti menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan itu.
"Di bawah Perlembagaan Persekutuan kita, seorang perdana menteri tertakluk kepada undang-undang sama seperti orang lain," menurut laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya hari ini.
“Penyalahgunaan kuasa sebegini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan peruntukan lain yang berkaitan.
"Daim bersedia sepenuhnya untuk memberi kenyataan kepada polis jika perlu," katanya.
Pada Khamis, Bloomberg memetik tiga sumber yang berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pernah memberitahu pegawainya bahawa siasatan terhadap Daim dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dilancarkan atas arahan Anwar.
Sumber itu mendakwa, Anwar turut memberitahu Azam supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pembangunan sistem imigresen baharu bernilai RM1 bilion.
Pejabat Perdana Menteri dan SPRM telah menafikan dakwaan itu.
Naimah berkata pihaknya mahu menuntut keadilan selepas menjadi sasaran siasatan bermotif politik.
"Dengan dendam politik yang tidak berkesudahan terhadap Daim, Anwar tidak teragak-agak untuk menyalahgunakan jawatannya untuk mencapai matlamat sejak mengambil alih kuasa persubahatan jeliknya bersama Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit isu rasuah," katanya kepada wartawan.
"Kini kami menuntut keadilan."
Awal tahun ini, Daim dan Naimah didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan harta.
Naimah berkata laporan Bloomberg itu mengesahkan apa yang menjadi "rahsia terbuka" selama ini.
"Kami mahu siasatan jenayah terhadap salah guna kuasa, konspirasi dan perlakuan berunsur jenayah oleh Anwar Ibrahim. Ini adalah konspirasi untuk menyasarkan musuh politik dengan memanipulasi institusi negara dan badan penguatkuasa, seperti yang dibuktikan oleh pendedahan Bloomberg," katanya.
Naimah menjangkakan kerajaan akan cuba menekan dan menyekat portal berita yang berani melaporkan mengenai pendedahan Bloomberg itu, di samping siri "siasat polis yang remeh dan tangkapan melulu".
Beliau turut mempersoalkan penafian PMO dan SPRM mengenai laporan Bloomberg itu.
"Sejak artikel itu diterbitkan, kami disajikan penafian yang biasa didengari daripada PMO dan SPRM. Lebih banyak penafian dijangka akan menyusul daripada kuncu-kuncu politik Anwar," tambahnya.'
1 ulasan:
Kes Daim apa jadi? Orang terkaya di peringkat dunia senyap menyap, orang-orang terkaya dari golongan ulamak politik terus mendiamkan diri kah kah kah jangan kacau ular tidur nantikan masa sampai kah kah kah
Catat Ulasan