Fadhli sangsi syarikat murah hati biaya perjalanan PM tanpa balasan
KUALA LUMPUR – Sukar untuk mempercayai pihak swasta yang menanggung sebahagian pembiayaan lawatan rasmi Perdana Menteri keluar negara tidak mempunyai sebarang niat tersembunyi atau harapan terhadap keuntungan balas.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata, bagi rakyat persoalan besar yang muncul adakah pihak swasta benar-benar bermurah hati.
“Mari kita bicara angka. Dalam tahun-tahun sebelumnya, kos lawatan luar negara kerajaan Malaysia dianggarkan mencecah RM35 juta setahun.
“Kononnya, dengan model “tajaan,” jumlah ini boleh dikurangkan. Namun, apakah harga yang kita bayar secara tidak langsung? Apakah keperluan pihak swasta yang sanggup mengeluarkan dana besar ini?
“Mahsul apakah yang mereka harapkan daripada “pelaburan” ini? Adakah kita diminta percaya bahawa mereka melakukannya demi kebinekaan dan kesejahteraan sejagat?” soal beliau.
Ketua Penerangan Pas itu mendakwa, penjimatan kos membuka kepada persoalan mengenai konflik kepentingan termasuk sama ada keputusan dasar yang dibuat oleh kerajaan mungkin dipengaruhi oleh tajaan.
Ahmad Fadhli berkata, dalam dunia perniagaan tiada siapa membelanjakan berjuta-juta ringgit tanpa mengharapkan pulangan.
“Pihak swasta pasti sudah menghitung bahawa sumbangan mereka akan membawa keuntungan—baik dalam bentuk kontrak kerajaan, kelonggaran peraturan, atau akses eksklusif ke sumber mahsul negara,” kata beliau.
Sementara itu menurut Ahmad Fadhli banyak negara yang melarang pemimpin kerajaan menerima hadiah daripada sektor swasta dan ada menteri yang dihukum kerana berbuat demikian.
Di Singapura misalnya, seorang bekas menteri kanan baru-baru ini telah ditahan dan dihukum kerana menerima hadiah daripada pihak swasta.
Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi kerana memperoleh hadiah bernilai kira-kira S$403,300 (RM1.3 juta) dalam tempoh tujuh tahun, daripada dua ahli perniagaan yang dianggap rakannya.
Negara Jerman pula melarang pegawai kerajaan menerima hadiah bernilai lebih daripada 25 euro (RM125) tanpa kelulusan khas.
Di Jepun penerimaan tajaan atau hadiah dari entiti berkepentingan adalah pelanggaran serius terhadap tatanan etika penjawat awam.
“Tetapi di Malaysia, kita seolah-olah mendefinisikan semula integriti dengan membolehkan tajaan berskala besar dalam nama penghematan kos.
“Persoalan lebih besar adalah implikasi kepada dasar luar negara. Pihak swasta yang membiayai lawatan ini mungkin memanfaatkan hubungan diplomatik yang terbina untuk kelebihan perniagaan mereka,” soal beliau.-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan