Pemimpin UMNO terus bersuara isu ‘pindah parti’
KUALA LUMPUR — Beberapa pemimpin UMNO terus bersuara menyatakan pandangan berhubung desas desus Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menyertai PKR.
Mereka bercakap mengenai kesetiaan dan kejujuran kepada parti serta menghentikan budaya tukar atau lompat parti.
Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin turut melontarkan nasihat kepada ahli parti itu untuk sentiasa mempunyai kekuatan diri dan tidak mengharapkan sebarang keistimewaan sewaktu menyertai wadah politik.
Beliau berkata, dalam sebuah parti politik yang besar, wujud pelbagai budaya termasuklah perilaku cah keting (sabotaj) dan adalah penting untuk mereka menjadikannya sebagai satu cabaran.
“Mana-mana pertubuhan parti, macam-macam budaya ada dan sebagai orang politik, kita perlu mempunyai kekuatan. Tidak boleh bermanja-manja untuk masuk parti, tidak boleh mengharapkan keadaan untuk mendapatkan keistimewaan.
Apa pun dalam sebuah organisasi yang mempunyai ramai ahli, macam-macam budaya ada dan di sinilah kita didedahkan dan membina kekuatan, memahami serta mengatasi cabaran untuk dihadapi.
“(Jadi) saya nak kata (perilaku sabotaj) ada, tiada, saya nak kata tiada, ada… jadi masing-masinglah,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, setakat ini tiada perbincangan mengenai isu Tengku Zafrul di kalangan pemimpin tertinggi UMNO termasuklah perbincangan mengenai tindakan yang akan diambil parti terhadap Ahli MKT itu.
Ahli MKT UMNO, Saarani Mohamad pula menasihati Tengku Zafrul supaya terus taat setia kepada parti.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, budaya ahli politik bertukar parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh dibiarkan kerana hanya akan menimbulkan rasa curiga dan hilang percaya antara parti komponen.
“Untuk tujuan jangka masa panjang, (budaya ahli politik bertukar parti) bagi mana-mana gabungan tak baik.
“Saya bukan saja rujuk Tengku Zafrul, tetapi kepada sesiapa saja. Oleh sebab itu, saya bersetuju apabila Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebut elakkan daripada membenarkan ahli sesama gabungan meninggalkan parti dan masuk parti lain
Yang ini (isu Tengku Zafrul) kita kata daripada UMNO nak masuk PKR. Kemungkinan selepas ini ada (ahli) PKR nak masuk UMNO. Jadi kedua-duanya tak cantik. Kepada ahli parti, bersetialah kepada satu-satu parti,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Perak di Kelab Golf Diraja Perak di sini, hari ini.
Saarani berkata, jika dibenarkan berlaku ahli politik bertukar parti, ia akan menjadi suatu isyarat yang salah kepada generasi muda.
Ketua Wanita UMNO Noraini Ahmad pula mengingatkan Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ketika ini terbina di atas asas perpaduan yang memerlukan keikhlasan, bukannya percaturan politik yang merosakkan.
Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, seperti sering ditekankan Presiden UMNO, Zahid Hamidi, UMNO berdiri teguh di atas prinsip kepercayaan dan kerjasama yang terbina itu.
Justeru, katanya, budaya lompat parti jika berlaku bukanlah tindakan yang bertanggungjawab, tetapi hanya akan mengundang ketidakstabilan, merosakkan kepercayaan dibina dan mengorbankan masa depan rakyat demi kepentingan sempit segelintir pihak.
“Wanita UMNO menyeru kepada semua pemimpin dan pemain politik untuk kembali kepada nilai yang lebih tinggi iaitu nilai keikhlasan, kejujuran dan tanggungjawab terhadap rakyat yang kita pimpin.
“Politik bukan sekadar soal kuasa, tetapi amanah yang dipikul demi masa depan bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan UMNO Online.
Beliau berkata, sayap parti itu bertekad untuk memperkukuhkan kesatuan parti, mempertahankan kestabilan politik dan memastikan budaya lompat parti itu dihentikan.
“Kita perlu fokus kepada agenda yang lebih besar iaitu memajukan negara dan membela rakyat,” katanya.
Sementara itu, UMNO Kedah ‘mengutuk sekeras kerasnya’ tindakan ahli parti berpindah dan melompat parti walaupun ianya berlaku diantara parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangannya, Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam kenyataannya berkata, tindakan itu sangat tidak boleh diterima dan parti perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang bertindak berbuat demikian.
Katanya, UMNO Kedah menyokong penuh ketegasan Presiden UMNO yang memandang serius dan sama sekali menolak tindakan sesetengah ahli parti berpangkat “kepimpinan” yang dilihat mengadakan perbincangan untuk melompat parti walaupun ianya terdiri daripada parti komponen kerajaan sendiri.
Ianya membuktikan pendirian Presiden yang tegas dan komited dalam memelihara kestabilan hubungan di antara sesama komponen parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO Kedah menyifatkan tindakan ini tidak beretika, terdesak dan “opportunis” serta mampu menjadi barah yang mampu meruntuhkan struktur parti. Justeru, UMNO Kedah ingin mendesak agar komponen parti di dalam Kerajaan Perpaduan tidak sama sekali melayan tindakan yang sangat tidak bermaruah ini.
UMNO Kedah kekal komited mendokong kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan, namun perlu ada “garisan” tertentu yang perlu dihormati,” katanya. — BebasNews
Tiada ulasan:
Catat Ulasan