RAFIZI SEDANG
DI KEPONG
KENYATAAN MEDIA
SOKONGAN TERBUKA CABANG CABANG KEADILAN NEGERI MELAKA KEPADA NURUL IZZAH ANWAR SEBAGAI CALON TIMBALAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT BAGI SESI 2025–2028
Parti Keadilan Rakyat telah melalui sebuah perjalanan panjang yang penuh ranjau dan pengorbanan sejak penubuhannya. Gerakan reformasi yang digerakkan lebih dua dekad lalu bukan sahaja berjaya merubah landskap politik tanah air, tetapi turut melahirkan satu generasi pemimpin dan pendukung yang setia, berprinsip dan komited untuk meneruskan perjuangan demi keadilan dan demokrasi.
Kini, dalam menghadapi masa depan yang lebih mencabar dan kompleks, KEADILAN perlu terus memperkukuh barisan kepimpinan yang bukan sahaja memahami sejarah perjuangan, tetapi juga mampu membawa nilai reformasi ke hadapan, memacu agenda perubahan dan menterjemah aspirasi rakyat dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, kami dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap amanah perjuangan, menyatakan sokongan terbuka dan keyakinan penuh kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025–2028.
Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan KEADILAN. Sejak awal, beliau telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi. Pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal, dan aktivis masyarakat sehingga baru baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam 'Project Syndicate Forward Thinkers List' tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti.
Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan, tetapi soal masa depan KEADILAN sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat. Dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu – seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan.
Kami yakin Nurul Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan tersebut. Beliau mampu menyuntik nafas baharu dalam KEADILAN, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif.
Dengan ini, kami berdiri teguh menyokong pencalonan YB Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025–2028. Semoga pencalonan ini mendapat sokongan padu daripada seluruh anggota KEADILAN dan menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu parti dalam mendepani cabaran semasa serta masa depan negara.
Reformasi!
#keadilanmemimpin
Shamsul Iskandar Bin Mohd Akin
Ketua Cabang Keadilan Hang Tuah Jaya
Mohd Khuzaire Bin Mohd Kamal Kannan
Ketua Cabang Keadilan Alor Gajah
Azlan Bin Osman
Ketua Cabang Keadilan Tangga Batu
Jagatheason a/l Ramiah
Ketua Cabang Keadilan Jasin
Md Yusoff Bin Ahmad
Ketua Cabang Keadilan Kota Melaka


Tiada ulasan:
Catat Ulasan