Sabah batal sambutan Hari Malaysia esok, keutamaan uruskan bencana alam – Hajiji
KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka esok malam berikutan krisis bencana besar yang berlaku akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.
Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, perkara itu telah memaklumkan perkara tersebut kepada Yang di-Pertua Negeri, Musa Aman, hari ini.
“Keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia untuk tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan terus berubah susulan cuaca buruk yang berpanjangan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong, kini mengadakan mesyuarat untuk memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat, ujarnya.
Hajiji turut menyeru orang ramai supaya terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan, serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha sedang dipertingkatkan di seluruh negeri. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan