FAM WAJAR DIGANTUNG
SERTA-MERTA
1. Hampir 2 bulan selepas pendedahan FIFA berkenaan 7 pemain warisan FAM kini bagai telur di hujung tanduk apatah lagi FIFA kini mengekalkan hukuman terhadap FAM iaitu sebanyak CHF 350 000 (RM1.8 juta) manakala 7 pemain warisan tersebut digantung aktiviti bola sepak selama 12 bulan serta denda sebanyak CHF 2 000 (RM 10,600). Begitupun krisis ini melebar apabila FIFA mendedahkan pemalsuan dokumen yang dilakukan oleh FAM dan mengarahkan negara terlibat seperti Argentina, Brazil, Belanda, Sepanyol dan Malaysia untuk menyiasat hal ini.
2. Hal ini secara tidak langsung mempersoalkan integriti Malaysia dalam memberi kewarganegaraan terhadap warga asing hingga menyentuh peranan KDN, PDRM yang perlu menyiasat siapa dalang pemalsuan dokumen dan agensi SPRM yang perlu menyiasat unsur rasuah dalam pemberian kewarganegaraan secara tangkap muat ini. Keadaan yang menggemparkan peminat sukan bola sepak negara jika tiada tindakan dari agensi kerajaan yang terlibat termasuklah KBS.
3. Saya juga ingin menegur sikap Hannah Yeoh yang cuba lepas tangan dalam mega skandal membabitkan FAM dan FIFA di mana beliau berulang kali menyuarakan tidak boleh campur tangan dalam isu persatuan sukan. Sebenarnya Hannah Yeoh tidak perlu campur tangan dalam persatuan sukan cukup sahaja meminda beberapa seksyen dalam Akta Pembangunan Sukan 1997, kerana itu adalah tugas utama beliau sebagai seorang menteri menggubal dasar atau akta seiring dengan peredaran masa hari ini. Sepanjang beliau dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan tiada satu akta di bawah KBS dipinda kecuali Kod Sukan Selamat yang diluluskan selepas pertukaran kerajaan yang diusahakan juga oleh Menteri Belia dan Sukan terdahulu iaitu Faizal Azumu dan selepas itu KBS tidak melakukan perubahan besar dari segi dasar atau meminda akta sukan yang agak lapuk.
4. Menurut Akta Pembangunan Sukan 1997 iaitu Akta 576, Hannah Yeoh mempunyai kuasa kerana boleh membuat lantikan dalam Pesuruhjaya Sukan mengikut klausa 10 dan 11 di mana pesuruhjaya tersebut boleh membatalkan pendaftaran sesuatu badan sukan. Melihatkan krisis dalaman yang berlaku dalam FAM, Hannah Yeoh wajar menggunakan kuasa menteri beliau untuk menggantung FAM sementara waktu mengikut seksyen 20 (1A)(c) secara jelas menyatakan Pesuruhjaya sukan lantikan Menteri boleh menggantung persatuan sukan yang "tidak atau cuai untuk meremedikan apa-apa amalan salah,salahlaku atau ketidakteraturan di pihak pemegang jawatannya atau anggotanya dalam tempoh yang ditentukan dalam notis bertulis yang diberikan oleh Pesuruhjaya"
5. FAM wajar digantung serta-merta atas pelanggaran undang-undang yang jelas baik undang-undang dalam negara mahupun undang-undang badan sukan antarabangsa iaitu FIFA. Hannah Yeoh perlu mengambil keputusan yang keras supaya mana-mana pentadbir badan sukan tidak melanggar peraturan sesuka hati sehingga mencemarkan nama negara. Dalam Seksyen 22 sekiranya badan sukan terbabit digantung maka satu jawatankuasa ad hoc boleh dilantik untuk mengurus hal ehwal badan sukan itu tidak melebihi dari 12 bulan sementara persatuan sukan terbabit mengemukakan rayuan.
6. Saya berpendapat Menteri Sukan perlu mengambil jalan yang agak keras bagi memberi peringatan kepada mana-mana persatuan sukan supaya tidak mengulangi kesalahan seperti FAM lagi. Pendapat ini mungkin tidak popular tetapi apa lagi yang tinggal untuk maruah negara jika tiada tindakan diambil? Kita boleh menyapu segala-galanya di bawah karpet tetapi dunia sedang memerhati. Tanpa tindakan tegas Malaysia akan diejek sebagai sebuah negara yang tiada nilai integriti di mata dunia. Hannah Yeoh bola di kaki anda, lakukan apa yang wajar demi maruah negara yang tercalar teruk.
*YUSLAINI AZMI*
*Aktivis Politik*
*20 November 2025*


1 ulasan:
bubarkan fam. habis cerita. malaysia tak perlu ada pasukan bola! kah kah kah!
Catat Ulasan