Rohana, anak Melayu dijaga Cina sejak bayi kini sudah ada diploma
KUALA LUMPUR: Rohana Abdullah yang pernah mendapat perhatian ramai melalui kisahnya dijaga ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan, kini sudah menamatkan pengajian Diploma Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini.
Rohana, 25, yang juga penerima Biasiswa Anak Emas UTeM adalah seorang daripada 3,278 graduan universiti itu yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah doktor falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen UTeM Ke-21, kelmarin.
Dia bersyukur dengan kejayaan menamatkan pengajian dan mengakui ibu angkatnya, Chee Hoi Lan, 86, menjadi pendorong hingga berjaya mencapai tahap itu.
"Terima kasih tak terhingga kepadanya kerana membesarkan saya, tanpanya saya tak dapat kecapi impian. Dia (ibu) motivasi dan inspirasi untuk saya daripada dulu hingga kini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Rohana turut menghargai peluang keemasan daripada UTeM menerusi program Anak Emas UTeM hingga berjaya menamatkan pengajian diplomanya dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.88.
Majlis Konvokesyen UTeM ke-21 disempurnakan oleh Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.
"Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada UTeM, terutamanya kepada Tun Canselor dan Naib Canselor atas peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya melalui program ini. Terima kasih juga semua pensyarah, pegawai, staf dan pihak universiti yang komited urus hal ehwal saya sepanjang tempoh pengajian bermula 2022 hingga 2025.
"Program Anak Emas adalah inisiatif hebat ditonjolkan UTeM kerana ia benar-benar membantu meringankan beban mereka yang cemerlang dalam akademik tetapi berdepan kekangan kewangan serius ekoran keluarga tidak berkemampuan.
"Program ini terbukti berkesan bersama pakej tambahan bantuan suntikan semangat dan motivasi buat pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan akademik dan perkara holistik kemenjadian mahasiswa," katanya yang kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) dengan kepujian di UTeM.
Kisah Rohana yang dijaga ibu angkat berlainan agama dipanggil laoshi sejak berusia dua bulan mendapat perhatian pada Januari 2022 kerana Hoi Lan berusaha mengekalkan anak angkatnya itu dengan agama asal.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan