Jumaat, 12 Disember 2025

KEDUTAAN MALAYSIA SASARAN TUNJUK PERASAAN DI BANGKOK


KEDUTAAN MALAYSIA  SASARAN TUNJUK PERASAAN 

DI BANGKOK




Tulisan ini di garap pada 9 Disember 2025. Pada hari ini agensi berita  AFP telah melaporkan : Konflik sempadan Siam-Kemboja: Angka korban orang awam Kemboja meningkat kepada 6. Pertempuran berlaku semula di sepanjang sempadan Kemboja–Siam, menurut Kementerian Pertahanan di Phnom Penh, hari ini.

Perjanjian Damai Siam-Kemboja  baru sahaja  di tandatangani  - belum sampai dua bulan - oleh Perdana Menteri Siam dengan  Perdana Menteri Kemboja pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.  Presiden Trump menjadi Orang Tengah. Manakala   Anwar bin Ibrahim menjadi  Pak Pacak Tukang Tengok.

Dari segi optik  dan dari segi propaganda memang  hu ha hu ha di Kuala Lumpur amat berjaya.  Tiga pemimpin Asean tersengih  berdiri  mengelilingi Presiden Amerika.  Ini bukan selalu berlaku.

Untuk Presiden  Trump ini pucuk di cita  satu tong wiski yang datang. Trump  sedang mengumpul Penunjuk Prestasi Utama dengan harapan akan dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan 2026.

Untuk Anwar bin Ibrahim pula ini adalah optik yang dilakar khusus untuk Mak Cik dan Pak Cik Felda. Mak Cik dan Pak Cik akan terpegun  terbeliak mata melihat kehebatan sosok yang bernama Anwar bin Ibrahim. 

Datuk Seri Anwar bin Ibrahim Perdana Menteri Malaysia bertaraf dunia.

Bayangkan Anwar bin Ibrahim  bergambar bersama pembekal senjata Israel...opps.. maaf ...bergambar  bersama Presiden Amerika. Optik ini pasti akan membawa durian runtuh kepada Anwar bin Ibrahim  pada PRU16 yang akan datang.

Kalau di zaman Tunku - wayang pacak dari  Malayan Filem Unit akan masuk ke kampung-kampung menayangkan babak Anwar – Trump  ini.   Sekarang kerja ini telah diambil alih oleh RTM dan TV3.    Saya sendiri yang tidak memiliki TV ternampak juga berita Trump dengan Anwar bin Ibrahim ini dari kaca TV di warung Tom Yam di Brickfeilds.  

Muhyidin, Hamzah, Haji Hadi atau Takiyuddin  nak  tercium bau kentut Trump pun tak akan  dapat.  Inilah hebatnya sosok yang bernama Anwar bin Ibrahim. Kentut Trump pun dia pernah hidu.

Tertiba - sepuluh  hari kemudian pada 6 November 2025 Berita Harian telah melaporkan: Kementerian Luar membidas video berbahasa Siam yang tular menuduh Perdana Menteri,  Anwar bin  Ibrahim sebagai pengintip Amerika Syarikat  dan pengkhianat susulan peranannya dalam rundingan damai antara Kemboja dan Siam.

Berita dari Bangkok ini menular dan merebak. Kemarahan Siam ini dimulakan oleh  seorang Bekas Jeneral  Rangsi Kitiyanasap. Bekas Jeneral ini merasakan Anwar bin Ibrahim secara licik telah  menipu Perdana Menteri Siam untuk  berdamai dengan Kemboja.

Anwar bin Ibrahim sebagai jawapan seperti biasa  memperlekehkan Jeneral Siam  ini sebagai politikus gagal : bertanding berkali-kali tapi tak pernah menang malah hilang deposit. Kah kah kah.

Tuduhan Jeneral Siam ini terhadap Anwar bin Ibrahim  hanya dilapur oleh media Malaysia sekali lalu. Tetapi di Siam ini menjadi perbualan nasional.  Bukan hanya heboh di Bangkok  malah  cerita Anwar bin Ibrahim berjaya mengelentong PM Siam meledak dalam media sosial.

Sang Jeneral  yang mengikut Anwar Ibrahim tak pernah  menang bertanding ini adalah bekas Pengarah Stesen TV Siam. Dengan pengalaman media Sang Jeneral ini  menjadikan isu ini agenda kedaulatan negara.

Berita dari Bangkok mula melaporkan bahawa kedaulatan negara Siam tergadai bila mana Perjanjian Damai ini di tanda tangani.  Kemudian timbul pula berita yang melaporkan perjanjian ini juga merosak ekonomi Siam. 

Tidak cukup dengan ini  berita dari  media sosial  melaporkan  bahawa Perjanjian Damai ini juga membolehkan Amerika merampok nadir bumi Siam. Benar atau tidak maklumat ini kita tidak tahu kerana tidak ada dipaparkan kepada umum fasal dan incian Perjanjian Damai Siam- Kemboja ini.

Isu Perjanjian Damai ini  hanya reda dan di tenggelamkan di Malaysia. Warga Malaysia tidak tahu menahu apa yang sedang berlaku di Siam. Panas bahang putar alam yang telah di lakukan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar bin Ibrahim tidak menjadi berita hangat di Kuala Lumpur.

Tertiba pada  21 November 2025 akhbar harian Bangkok Post melapor ratusan warga Siam telah turun berdemo di Bangkok. Sasaran mereka ialah Pejabat  Duta Besar Malaysia di Bangkok.

Bila saya terbaca ini maka saya terus teringat bagaimana setiap kali kami berdemo menyokong Palestin maka Pejabat Duta Amerika di Jalan Tun Razak akan kami jadikan sasaran.

Kami membawa kain rentang  dan sepanduk mengutuk Israel dan Amerika. Kami membawa gambar   dimana muka Netanyahu dan Trump yang telah di hodohkah. Bendera Israel dan Amerika akan di pijak-pijak dan ada kala dibakar.

Kali ini  apa yang selalu  kami buat di Kuala Lumpur  telah berlaku di Bangkok.  Bezanya di Kuala Lumpur  Pejabat Duta Amerika jadi sasaran. Di Bangkok yang  menjadi sasaran ialah Pejabat Duta Malaysia.

Muka  Netanyahu telah di ganti dengan muka Anwar bin Ibrahim. Muka Trump masih ada disebelah muka Netanyahu ...opps... di sebelah  muka Anwar bin Ibrahim. Bendera Malaysia di arak dan di momok-momokkan.

Ini kutipan laporan Bangkok Post :

Ya, satu demonstrasi telah berlaku di hadapan Kedutaan Malaysia di Bangkok baru-baru ini, pada hari Sabtu, 22 November 2025. 

Penunjuk perasaan berkumpul untuk menuntut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN, untuk menghentikan apa yang mereka anggap sebagai campur tangan dalam kedaulatan Thailand berhubung isu sempadan Thailand-Kemboja. Protes itu diadakan selepas Perdana Menteri Thailand dan Kemboja menandatangani deklarasi di Kuala Lumpur, yang sebahagian daripadanya melibatkan kerjasama dalam membersihkan periuk api. 

Laporan media tempatan mengesahkan perhimpunan tersebut, di mana penunjuk perasaan menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan negara Thailand.

Wow ! Jelas pandangan bekas Jeneral Rangsi amat menyengat. Pengaruh bekas Jeneral ini masih hebat. Anwar bin Ibrahim yang memperlekehkan bekas jeneral ini  silap  besar. Beribu turun berdemo mempertahankan hak kedaulatan Siam.
  
Jeneral Rangsi yang telah melabel Anwar bin Ibrahim menggunakan situasi perjanjian tersebut untuk angkat diri Anwar sendiri semakin terbukti benar.

Kini media di Siam telah mula membincangkan bagaimana dalam Perjanjian Damai ini ada juga di selitkan fasal-fasal lain yang bersangkutan dengan ekonomi.

Jeneral Rangsi naik bengang bila dia membaca secara terperinci isi dan butir perjanjian ini.  Dalam perjanjian ini  ada fasal yang membenarkan Amerika Syarikat memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.

Rangsi turut menyatakan perjanjian damai itu menggabungkan elemen cukai dagangan dan nadir bumi (REE) yang dianggap boleh memudaratkan ekonomi Thailand.

“Rangsi menyatakan bahawa perjanjian itu akan menyebabkan negaranya hilang hak nadir bumi yang dianggarkan bernilai 40 hingga 50 trilion baht,”. 

Jelas lagi terang  bahawa projek Perjanjian Damai ini adalah projek yang digunakan oleh Anwar bin Ibrahim sebagai umpan untuk memikat Donald Trump singgah ke Kuala Lumpur.

Anwar bin Ibrahim tahu bahawa Trump mahu dirinya di lihat sebagai Presiden Pembawa Damai. Telah beberapa kali Trump klim  yang dia telah berjaya mendamai perbalahan beberapa negara. 

Portal BBC pada 16 Oktober 2025 telah melaporkan : Presiden Trump telah mendakwa bahawa beliau telah "menamatkan 8 peperangan dalam masa 8 bulan sahaja" dalam satu catatan media sosial dengan tajuk "presiden keamanan".

Penambahan terbarunya dalam senarai peperangannya "berakhir" ialah konflik dua tahun antara Israel dan Hamas.

Tujuh lagi adalah antara Israel dan Iran, Pakistan dan India, Rwanda dan Republik Demokratik Congo, Thailand dan Kemboja, Armenia dan Azerbaijan, Mesir dan Ethiopia, serta Serbia dan Kosovo.

Anwar bin Ibrahim memang bijak dan licik. Dia memasang tajur untuk memancing Trump singgah ke Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Tokyo dan Seoul.

Apa yang jelas hari ini ialah Perjanjian Damai Siam-Kemboja itu telah terbarai. Pertempuran dan tembak menembak di wilayah sempadan Siam-Kemboja terus  berjalan. 

Malah dari laporan stesen TV Al-Jazeera  ribuan warga telah di pindahkan.  Sebanyak 500 buah sekolah di Kemboja yang berhampiran dengan kawasan sempadan telah di tutup.

Kemarahan bekas Jeneral Rangsi  dilihat mendapat sokongan  tentera.  Justeru perang di teruskan.

Bila bekas Jeneral Siam ini  menimbulkan  agenda   Kedaulatan Siam maka  saya  tidak dapat tidak akan menyamakan apa yang sedang berlaku di Siam sedang juga berlaku di Malaysia.

Pada 5 Disember 2025  tersebar berita kenyataan dari  Jeneral Tan Seri Burhan Ahmad.  Sosok ini  ialah Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia. 

Di Siam Jeneral Rangsi menimbulkan hal kedaulatan negara.  Jeneral Burhan di Malaysia juga menimbulkan perkara yang sama.  Kenyataan Jeneral Burhan Ahmad Bekas Panglima ini bersangkutan dengan Perjanjian Anwar-Trump 2025. 

Wah !!! Dua-dua jeneral memiliki pandangan yang sama. Ini tanda  mereka jeneral yang hebat.   Apa lagi yang di timbulkan oleh Jeneral Burhan Ahmad ? Sila tunggu minggu hadapan. Amin (TT)


TULISAN INI
DISIRKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/763232









Tiada ulasan: