Lima direman kes rasuah pegawai kanan TLDM
KUALA LUMPUR: Lima individu direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan pelantikan syarikat kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya terhadap semua suspek yang disyaki terbabit.
Mahkamah membenarkan seorang individu direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 30 Januari, manakala, empat lagi individu lain direman selama tiga hari bermula semalam (27 Januari) sehingga 29 Januari ini bagi tujuan siasatan lanjut.
Sumber memberitahu, semua individu yang ditahan terdiri daripada pengarah syarikat, pengurus serta pemilik syarikat.
"Mereka dipercayai mempunyai hubung kait dengan syarikat kroni kepada seorang pegawai kanan TLDM yang dikatakan mendapat kerja-kerja perolehan di TLDM Lumut," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan perintah reman berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perincian kes, namun menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan secara profesional berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan