Khamis, 8 Januari 2026

SELAMAT DATANG 2026


SELAMAT DATANG

2026


Tulisan ini di garap pada 6 Januari 2025.  Saya telah merancang – sebagai menyambut  kesampaian  tahun baru   - untuk menulis tentang beberapa  pandangan dan ramalan tentang 2026.  Semua  ditangguh  kerana pagi Sabtu 3 Januari soldadu Amerika telah masuk menyerang Caracas ibu kota  Venezuela.

Presiden Trump berkata : Serangan dari darat dari  laut dan dari udara.

Hampir semua media dunia yang masih bersantai-santai merayakan kesampaian 2026 tersedak. Ada rancangan TV terhenti untuk: Breaking News  Berita Terkini. Ada  portal berita terus menyiarkan siaran langsung dari Caracas. 

Gambar Presiden Maduro  dengan mata tertutup bergari di heret oleh soldadu Amerika menjadi imej pembukaan tahun 2026. Isteri Maduro juga di heret sama.  Imej  ledakan bom  dan helikopter  berterbangan dalam kota Caracas menggantikan imej ledakan bunga api dari kota ke kota ketika  menyambut  kesampaian 2026.

Warga dunia pada pagi itu terperanjat. Tidak menyangka apa yang dilihat dan dibaca.  Hakikatnya semenjak bulan September 2025 Presiden Trump telah memulakan kempen   menuduh Presiden Maduro sebagai terlibat dalam kartel menyeludup dadah kokain ke Amerika.

Trump telah mengarahkan  kapal laut USS Gerald Ford  menuju ke Laut Carribbean berhadapan dengan Venezuela. Kapal laut  pembawa pesawat pengebom ini  adalah kapal perang yang terbesar dalam dunia.

Latihan tentera  laut juga di lakukan. Semua ini adalah  amaran dan ancaman  dari Amerika kepada Maduro.

 Dalam masa yang sama  Trump juga telah memberi arahan kepada CIA – lembaga risik – untuk memulakan kerja bawah tanah di Venezuela. Berapa ramai anggota CIA masuk ke Venezuela hanya Guruh Nanak saja yang tahu.

Hadiah 50 juta dolar Amerika telah di letakkan diatas kepala Maduro. Sapa dapat beri maklumat hingga Maduro berjaya di tangkap akan jadi jutawan segera.

Keadaan di Venezuela  menjadi tegang.  Berkali-kali Trump memberi amaran agar Maduro berundur. Lalu di bangkitkan bahawa  undian yang di menangi oleh Maduro pada tahun 2018 adalah tipu.  Tahun 2024 sekali lagi Maduro memenangi kerusi Presiden.  Sekali lagi Amerika menolak keputusan rakyat Venezuela.

Wajib di beritahu disini – ketika  menjadi Presiden kali pertama tahun  2016 dulu  Trump telah cuba menjatuhkan Maduro tapi gagal.

Kali ini pada 3 Januari 2026  Presiden Trump berjaya menjatuhkan Presiden Maduro.  Pada 5 Januari 2026  Presiden Maduro muncul di New York. Dia bersama Isteri dibawa ke mahkamah untuk di bicarakan. 

Tuduhan :  Maduro di tuduh selama 25 tahun ini bersama pemimpin Venezuela yang lain "menyalahgunakan kedudukan kepercayaan awam mereka dan merosakkan institusi yang pernah sah untuk mengimport banyak kokain ke Amerika Syarikat.

Maduro dan sekutunya "menyediakan perlindungan penguatkuasaan undang-undang dan sokongan logistik" kepada kumpulan pengedaran dadah utama, seperti Sinaloa Cartel dan geng Tren de Aragua.

Maduro juga dituduh menjual pasport diplomatik Venezuela kepada pengedar dadah.

Paling lawak ialah  kerajaan Amerika menuduh   Maduro memiliki pistol  di Caracas.  Bagaimana senjata yang tersimpan dalam laci meja Presiden Maduro ini mengancam keselamatan Amerika Guru Nanak  sendiri pun  tidak tahu. Kah kah kah.

Apa yang baru dilakukan oleh CIA dan Amerika terhadap Venezuela bukan satu perkara yang baru. Pada 11 April 2002 CIA telah melancarkan rampasan kuasa   di Caracas. 

Presiden Venezuela Hugo  Chavez telah ditangkap oleh soldadu upahan Amerika. Selama 47 jam Presiden Chavez telah  hilang sebelum soldadu yang setia kepada negara berjaya membebaskan Presiden Chavez.

Sejarah kerja jahat rampasan kuasa ini adalah watak imperialisma Amerika.  Man-mana negara  pun  bilamana kepentingan politik dan ekonomi   kaum kapitalis Amerika  terganggu gugat maka CIA dan Amerika akan menjalankan rampasan kuasa.

Pada tahun 1953  Perdana Menteri Iran  Mohammad Mosaddeqh di jatuhkan melalui rampasan kuasa yang di taja oleh CIA bersama dengan MI6 – badan risikan British.

Mosaddegh telah memilik negarakan telaga minyak  yang di kuasai oleh syarikat Inggeris.

Pada tahun 1954 rampasan kuasa CIA  berlaku di  Guatemala kerana kepentingan Syarikat  United Fruit Company  tergugat oleh  kesatuan buruh yang menuntut upah yang berpatutan.

Pada  11 September  1973  CIA telah  melakukan rampasan kuasa di Chile. Presiden Salvador  Allende dari Parti Sosialis telah di gantikan dengan Jeneral Pinochet.

Bukan hanya di Amerika Latin sahaja  CIA  menjalankan rampasan kuasa atau melakukan regime change – ubah rejim. 

Pada tahun 1960 Patrice Lumumba Perdana Menteri pertama Demokratik Republik Congo   seorang nasionalis telah di bunuh mati dalam satu rampasan kuasa yang ditaja oleh CIA.

Di Vietnam Selatan pada 1 November 1963  Presiden Ngo Dinh Diem  telah di tangkap dan dibunuh oleh satu gerombolan  jeneral.  Semuanya dijalankan atas arahan CIA. Amerika pada ketika itu di bawah pentadbiran Presiden  John F Kennedy.

Jangan sesekali kita melupakan : Anak Nusantara Bung Karno telah ditangkap pada  30 September 1965 oleh gerombolan jeneral termasuk Jeneral Suharto yang akhirnya di pilih oleh CIA untuk menjadi Presiden Indonesia.

Bung Karno seorang nasionalis  telah g membahayakan kepentingan Anglo-Amerika di Nusantara.  

Dunia tidak akan melupakan  Bandung Conference pada tahun 1955. Negara- negara dari Asia dan  Afrika yang baru merdeka  di kumpulkan oleh Bung Karno  dan bersidang di Bandung.

Garis politik Bandung  yang diambil oleh nasionalis Bung Karno dilihat amat bahaya. Dalam masa yang sama Bung Karno menolak Projek  Neo- Koloni Inggeris yang dinamakan Malaysia. Justeru Bung Karno wajib dilupuskan dari punca kuasa.

Mari kita lihat apa pula yang berlaku di Timur Tengah.  Awalnya Iraq di bawah pimpinan  Saddam Hussein  dibantu oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika untuk menumpaskan pengaruh  Revolusi Iran di bawah pimpinan Ayatollah Khomenei. 

Bila Saddam di lihat mula berani melawan  Towkay maka pada 20 Mac 2003  Iraq di serang oleh  bala tentera Amerika.  Akhirnya   Saddam seorang nasionalis Arab di tangkap dan di gantung mati.

Perkara yang sama berlaku kepada Muamar Gadaffi.  Nasionalis Gadaffi mahu mewujudkan dinar emas. Ini betul-betul mengancam punca ekonomi  sistem kapitalis dunia yang berpaksikan dolar Amerika.

Budak setia dana budak suruhan CIA  mula membuat huru hara di Libya. Perang saudara pecah.  Amerika bersama sekutu NATO telah mengebom Libya. Pada 20 Oktober 2011  Gadaffi telah di tangkap dan disula hingga mati.

Hillary Clinton yang menjadi Setiausaha Negara  Amerika ketika itu berkata : we came, we saw,  he died – kita sampai , kita lihat, dia mati ... Hillary  terus ketawa  terbahak-bahak.

Paling akhir kita lihat bagaimana CIA bekerjasama dengan  Gerakan ISIS dan Turki untuk  menjatuhkan Bashar al-Assad.  Kesalahan dan jenayah besar Bashar ialah membantu  semua gerakan dan kumpulan pejuang Palestin. 

 Syria di bawah Bashar telah  menjadi tulang belakang  yang membantu Hamas dan Hizbullah. 

Untuk kuasa imperial Anglo-Amerika membantu Palestin dan melawan Zionis adalah satu jenayah yang tidak boleh di ampunkan. Justeru Bashar lari ke Moscow.

Apa pengakhiran  Maduro dan Venezuela ini?

Sebenarnya Venezuela ini baru bermula. Baru masuk minggu pertama. Terlalu awal untuk memberi pandangan tentang apa yang akan berlaku. Tetapi yang jelas Trump dan Amerika tidak akan hanya berhenti di Venezuela.
Presiden Delcy Rodriguez  telah mengangkat sumpah  menggantikan Maduro.  Pentadbiran lama masih kekal. Hanya Maduro  kini dalam penjara di New York. Rakyat masih setia  kepada garis  nasionalis Revolusi Bolivarian. 

Kerana  ini Trump telah memberi amaran jika  Presiden Rodriguez  yang baru dilantik – jika tidak mematuhi kehendak Amerika maka Sang Presiden akan menerima  nasib yang lebih buruk dari Maduro.

Trump juga telah memberi amaran kepada Colombia agar tunduk kepada Amerika. Trump juga memasang niat untuk merampas Greenland dari Denmark.

Presiden Donald Trump  memberi tahu media bahawa Amerika mahu memiliki Venezuela. Kalau dulu rampasan kuasa berselindung atas nama hak asasi, berselindung di belakang jubah demokrasi tetapi kali ini Trump dengan jujur mengakui Amerika datang ke Venezuela untuk mengambil minyak.

Sebagai lanun Trump datang untuk menjarah harta kekayaan Venezuela. Wajib di ketahui bahawa  dalam perut bumi Venezuela tersimpan bahan bakar petroleum yang terbanyak dalam dunia. Melebihi apa yang ada di Saudi Arabia.

Memiliki minyak Venezuela ini bukan hanya penting tetapi amat  strategik. Justeru dari sini pemerhati politik  berpendapat bahawa  babak akhir  Venezuela ini ialah  Amerika menyerang Iran.

Bila Iran di serang besar kemungkinan Selat Hormuz akan ditutup.   Setiap hari 20 ke 21 juta tong  minyak melintas di Selat Hormuz. Hampir 20 ke 20% minyak yang digunakan di dunia akan melintas di sini. Justeru jika perang pecah Selat Hormuz di tutup maka ekonomi  dunia akan jadi     huru hara.

Maka disinilah minyak dari Venezuela akan memainkan peranan benteng  agar ekonomi dunia tidak runtuh.

Serangan terhadap Iran ini sedang di rancang. Lihat dan tunggu. Kaum Zionis bersama  Industri Senjata akan memastikan Iran akan jadi sama seperti Iraq , Libya dan Syria.  

Zionis Isreal tidak akan membenarkan mana-mana negara bangun  bersetia kawan menyokong Palestin.  Zionis Israel mahu semua negara Arab  dan negara Islam mengikut jejak langkah Saudi Arabia dan Negara Telok. Semua wajib setia kepada Amerika dan tunduk  menyembah Zionis Israel.

Negara yang bukan Arab dan bukan Islam tetapi menyokong perjuangan Palestin akan menerima nasib  seperti Maduro di Venezuela. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/765129



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

woi bodoh sekelian, bila pahlawan awak tu, akmal salleh nak letak jawatan. telur dah hilang ke? hanya meroyan dalam facebook saja ke? kah kah kah!