APAKAH JEPUN
AKAN BUAT
SENJATA NUKLEAR?
AMIN
Jepun aktifkan semula loji nuklear terbesar dunia
TOKYO: Jepun mengaktifkan semula loji tenaga nuklear terbesar di dunia pada Isnin, menurut pengendalinya, selepas percubaan terdahulu terpaksa digantung berikutan gangguan kecil pada sistem pemantauannya.
Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) dalam kenyataan memaklumkan, loji Kashiwazaki-Kariwa di wilayah Niigata mula beroperasi semula pada jam 2 petang waktu tempatan (0500 GMT).
Percubaan awal untuk menghidupkan semula loji itu pada Januari lalu digantung selepas sistem penggera pemantauan mengesan perubahan kecil arus elektrik pada satu kabel, biarpun ia masih berada dalam julat selamat.
TEPCO berkata, tetapan sistem penggera sudah diubah dan reaktor berkenaan disahkan selamat untuk beroperasi.
Loji berkenaan tidak beroperasi sejak Jepun menutup semua kemudahan nuklearnya susulan bencana gempa bumi dan tsunami pada 2011 yang mencetuskan kemalangan nuklear di Fukushima.
Bagaimanapun, Jepun kini kembali kepada tenaga nuklear bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, untuk mencapai sasaran normal karbon menjelang 2050 serta memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, termasuk daripada sektor kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Sanae Takaichi, yang mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya pada Ahad, menyokong penggunaan tenaga nuklear sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara itu.
Menurut TEPCO, operasi komersial dijangka bermula pada atau selepas 18 Mac ini, tertakluk kepada satu lagi pemeriksaan keselamatan menyeluruh.
Kashiwazaki-Kariwa adalah loji nuklear terbesar dunia dari segi kapasiti, biarpun hanya satu daripada tujuh reaktornya dihidupkan semula setakat ini.
Sejak penutupan pasca-Fukushima, sebanyak 14 reaktor di Jepun, kebanyakannya di barat dan selatan negara itu, sudah disambung semula di bawah peraturan keselamatan ketat, dengan 13 daripadanya beroperasi setakat pertengahan Januari.
Kashiwazaki-Kariwa adalah loji pertama kendalian TEPCO yang disambung semula sejak 2011.
Syarikat itu turut mengendalikan loji Fukushima Daiichi yang kini dalam proses penyahtauliahan.
Kompleks berkenaan sudah dinaik taraf dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk tembok tsunami setinggi 15 meter selain sistem bekalan kuasa kecemasan yang dipertingkatkan.
Namun, pendapat awam di sekitar kawasan loji itu kekal berbelah bahagi, apabila kira-kira 60 peratus penduduk menentang pembukaan semula, sementara 37 peratus menyokongnya, menurut tinjauan pihak berkuasa di wilayah Niigata pada September lalu.
Penduduk turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko kemalangan serius, selain mempersoalkan pelan pemindahan serta rekod keselamatan TEPCO.
Pada 8 Januari lalu, tujuh kumpulan yang menentang pembukaan semula loji itu menyerahkan petisyen yang ditandatangani hampir 40,000 orang kepada TEPCO dan Pihak Berkuasa Peraturan Nuklear Jepun.
"Kami akan terus membuktikan komitmen kami terhadap keselamatan sebagai keutamaan di Loji Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwa melalui tindakan dan hasil yang dicapai," kata TEPCO dalam satu kenyataan pada Isnin. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan