TANGKAP
AZAM BIN BAKI
TUP TUP
POLIS TANGKAP
RAFIZI BIN RAMLI
KAH KAH KAH
Hujan tak patahkan semangat peserta demo Tangkap Azam Baki
Hujan tidak menghalang orang ramai untuk mula berkumpul di hadapan pusat beli belah Sogo di Kuala Lumpur sekitar pukul 3 petang ini bagi menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki.
Mereka berkumpul sambil melaungkan slogan "hidup rakyat", "bangkit rakyat" dan "Azam Baki penipu”.
Ketika peserta dan pengamal media tertumpu pada kenderaan pacuan empat roda yang dijadikan pentas bergerak, timbul sedikit kekecohan apabila ada pihak membakar mercun.
Situasi kembali terkawal selepas polis dan pihak penganjur meminta orang ramai bertenang.
Peserta himpunan kemudian berarak ke Dataran Merdeka dan sekumpulan besar kira-kira hampir 1,000 peserta tiba di lokasi pada pukul 4.30 petang.
Bagaimanapun Dataran Merdeka ditutup dan dikawal rapi oleh polis dan polis antirusuhan.
Peserta himpunan melaungkan "dataran milik rakyat" bagi memohon pihak berkuasa membuka lalaluan untuk mereka berhimpunan.
Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli kelihatan turut bersama perserta himpunan.
Kekecohan tercetus sekali lagi apabila pihak berkuasa ingin menarik kenderaan yang digunakan peserta himpunan sebagai pentas untuk berucap.
Sebahagian perserta demonstrasi kemudian berganding tangan membentuk benteng bagi menghalang pihak polis menarik kenderaan pacuan empat roda itu.
Situasi semakin tegang apabila pihak polis dilihat membawa Rafizi ke suatu sudut di Dataran Merdeka.
Selepas kira-kira 10 minit Rafizi tampil menjelaskan perbincangan dilakukan bagi menetapkan satu tempoh untuk memastikan himpunan berakhir.
Persetujuan dicapai dengan polis membenarkan himpunan berlangsung sekitar 20 minit lagi.
Ulang gesaan tubuh RCI
Dalam pada itu Rafizi dalam sidang medianya berkata, mereka akan terus mendesak kerajaan selagi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Azam tidak ditubuhkan dan isu mafia korporat yang dikaitkan dengan SPRM tidak disiasat.
Rafizi berkata menyorot bahawa isu berkenaan merentasi parti politik dengan kebanyakan parti, selain Umno, menghantar wakil untuk turut serta.
"Tuntutan daripada Sekretariat Tangkap Azam Baki itu konsisten. Satunya, penubuhan RCI untuk menyiasat bukan sahaja mengenai Azam tetapi mengenai mafia korporat supaya kita dapat merungkai segalanya dan kita boleh merungkai dawaan-dawaan bahawa SPRM ini di bawah pengaruh kumpulan perniagaan tertentu.
"Yang kedua ialah menuntut supaya Azam disiasat mengenai dawaan pemilikan saham, dia telah disiasat tetapi sehingga kini kita nampak ada masalah kerana kerajaan tidak mahu mendedahkan laporan di peringkat Kabinet.
"Kami semua sokong mesti ada satu reformasi institusi supaya SPRM ini pelantikannya itu dibawa melalui proses Parlimen," katanya selepas himpunan itu yang berakhir sekitar pukul enam petang.
Selain itu Rafizi turut mendesak supaya pihak berkuasa menyiasat Naib Presiden PKR R Ramanan berhubung dakwaan menerima wang RM9.5 Juta daripada ahli perniagaan Victor Chin.
Katanya, sehingga kini tidak ada satu reaksi apatah lagi kertas siasatan dibuka untuk menyiasat anggota Kabinet itu.
Pengganti Azam sudah diumum
Himpunan Tangkap Azam Baki hari ini merupakan kemuncak dari siri jelajah dan kempen yang digerakkan bagi menyingkirkan ketua pesuruhjaya SPRM itu.
Ia diteruskan meskipun Yang di-Pertuan Agong hari ini memperkenankan pelantikan bekas hakim mahkamah tinggi, Abdul Halim Aman, sebagai pengganti Azam, berkuat kuasa pada 13 Mei ini - sekali gus mengesahkan kontrak Azam tidak disambung.
Azam mula memegang jawatan ketua agensi antirasuah itu pada 2020 dan khidmatnya dilanjutkan sebanyak tiga kali dengan setiap satu selama setahun.
Kedudukan Azam dipertikaikan setelah media antarabangsa, termasuk Bloomberg dan The Straits Times, melaporkan berkaitan pegangan besar sahamnya yang melebihi jumlah dibenarkan bagi penjawat awam.
Malaysiakini menganggarkan kehadiran peserta himpunan hari ini pada satu tahap mencecah 1,000 orang. Sementara sekretariat himpunan menganggarkan 1,500 turut serta. Polis pula berkata 300 hadir protes berkenaan.
Selain Rafizi ahli Parlimen PKR yang dilihat hadir ialah Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung. Turut kelihatan Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP Khoo Poay Tiong.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar serta Presiden Urimai, P Ramasamy turut hadir.
Turut kelihatan Pengerusi Bersih Faisal Aziz dan Penyelaras Mandiri Hamdin Nordin yang kedua-duanya merupakan sekretariat himpunan, selain aktivis Hishammuddin Rais dan ahli perniagaan Albert Tei.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan