SELAGI ISRAEL
WUJUD DUNIA
TIDAK AKAN AMAN
KHALAS
Letupan kedengaran di Tehran, Tabriz Isfahan - Tv Iran
TEHRAN: Televisyen negara Iran melaporkan, beberapa letupan kedengaran di tiga bandar hari ini ketika tentera Israel memaklumkan bahawa angkatan udaranya telah melancarkan serangan ke atas sasaran di bahagian barat dan tengah Iran.
"Beberapa letupan kedengaran di Tehran, Tabriz dan Isfahan," menurut hantaran televisyen negara Iran di aplikasi Telegram.
Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan butiran lanjut mengenai punca letupan atau tahap kerosakan yang berlaku.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata serangan terbaharu antara Israel dan Iran tidak akan menjejaskan rundingan damai pentadbirannya dengan Tehran, sambil menegaskan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu "bukan pihak yang menentukan segala keputusan".
Trump sebelum ini menekan Israel supaya menghentikan serangan di Lubnan bagi memberi ruang kepada perjanjian menamatkan konflik lebih luas dengan Iran.
Beliau dilaporkan turut menegur Netanyahu secara keras dalam satu perbualan telefon minggu lalu.
Namun, Israel pada Ahad melancarkan serangan di kawasan Beirut buat kali pertama sejak Washington mengumumkan pelan gencatan senjata untuk Lubnan minggu lalu.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah sasaran di Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan rundingan damai antara AS dan Iran.
Bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa perjanjian untuk menamatkan konflik yang lebih luas itu masih boleh dicapai.
"Perkara itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada perjanjian tersebut," kata Trump kepada Financial Times.
"Saya yang menentukan segala keputusan. Saya yang membuat semua keputusan. Dia bukan pihak yang menentukan keputusan," kata Trump.
Lima jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel, Netanyahu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan awam mengenai serangan itu.
Ketegangan terbaharu tersebut menyebabkan harga minyak meningkat lebih dua peratus pada awal dagangan Isnin, dengan penanda aras minyak mentah Brent kembali melepasi paras AS$95 setong.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata, mereka menyasarkan Pangkalan Udara Ramat David berhampiran Nazareth.
Tentera Israel pula memaklumkan mereka mengesan pelancaran peluru berpandu dari Iran dan sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas serangan berkenaan.
Trump, yang menghabiskan hujung minggu di kelab golf miliknya di Bedminster, New Jersey, turut mengadakan perbualan telefon dengan Netanyahu selama kira-kira 30 minit pada Ahad, menurut seorang pegawai Israel, tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai perbincangan. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan