IRAN BERI
AMARAN DENGAN
PELURU BERPANDU
AMIN
Iran pertama kali lancar peluru berpandu terhadap Israel sejak gencatan senjata
BAITULMAQDIS: Iran semalam melancarkan peluru berpandu terhadap Israel, menandakan serangan pertama seumpamanya sejak gencatan senjata dicapai pada April lalu.
Serangan balas itu mencetuskan siren amaran serangan udara di Israel, namun peluru berpandu berkenaan dilapor berjaya dipintas oleh tentera rejim Zionis.
Pasukan elit Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menyifatkan serangan itu sebagai satu amaran selepas Israel melancarkan serangan di pinggir selatan Beirut, Lubnan pada hari sama.
Tehran turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak teragak-agak bertindak secara lebih meluas sekiranya Israel melakukan pencerobohan berulang.
Pada 8 April lalu, gencatan senjata berkuatkuasa dengan matlamat menghentikan pertempuran besar antara Iran dengan musuh utamanya, Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, usaha menjadikan gencatan senjata itu sebagai penyelesaian kekal sering menemui jalan buntu dan berikutan serangan peluru berpandu hari ini, situasi dijangka terus menjejaskan harapan terhadap keamanan berkekalan Ketika konflik Asia Barat memasuki hari ke-100.
Menurut laporan, siri serangan Iran dikatakan mendorong Presiden AS, Donald Trump, menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi menasihatinya supaya tidak melancarkan serangan balas, meskipun pegawai kanan tentera Israel berikrar akan menyerang Tehran sebaik menerima arahan.
"Saya akan menghubungi Bibi (Netanyahu) sekarang dan memberitahunya supaya tidak membalas serangan," kata Trump seperti dipetik wartawan Axios, Barak Ravid, dalam satu temubual menerusi panggilan telefon.
Ravid kemudian memaklumkan, seorang pegawai AS mengesahkan Trump bercakap dengan Netanyahu.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Rumah Putih mengenai perbualan itu dan Trump juga tidak membuat sebarang hantaran di media sosial pada hari ini.
Sementara itu, Israel menuduh Tehran melakukan kesilapan besar menerusi serangan berkenaan.
Tentera Israel mendakwa sebanyak 11 peluru berpandu dilancarkan dan kesemuanya berjaya dipintas tanpa mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, berikrar tenteranya akan menyerang musuh dengan kekuatan penuh sebaik sahaja lampu hijau diberikan.
Tehran menegaskan sebarang perjanjian bagi menamatkan perang secara kekal mesti turut menghentikan konflik di Lubnan, di mana Israel sedang meneruskan kempen ketenteraan terhadap Hizbullah yang disokong Iran.
Iran sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu terhadap Beirut akan mencetuskan permusuhan secara menyeluruh.
Semalam, pejabat Netanyahu memaklumkan tentera Israel bertindak menyerang sebuah pusat arahan Hizbullah di kawasan Dahiyeh, Beirut sebagai tindak balas terhadap serangan pergerakan itu ke wilayah Israel.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan serangan itu mengorbankan dua individu dan mencederakan 20 yang lain.
Tidak lama selepas serangan itu, Iran mengumumkan penutupan ruang udaranya di bahagian barat negara berkenaan, manakala negara jiran, Iraq dan Syria, turut mengambil langkah sama.
Tehran juga menggantung semua penerbangan masuk ke lapangan terbang antarabangsanya, lapor media tempatan pada Ahad. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan