Rabu, 9 September 2026

RAJA ADIL DI DENGAR TITAH


RAJA ADIL

DIDENGAR TITAH

RAJA ZALIM

RAJA DISANGGAH

KHALAS


Empat Undang dedah dokumen ditandatangani Ismail di Port Dickson


Undang Yang Empat Negeri Sembilan mendedahkan dokumen yang ditandatangani Menteri Besar Ismail Lasim, bagi mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang dibuat pada 19 April lalu.

Dokumen tersebut diedarkan kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Galeri Diraja Tuanku Jaafar di Seremban semalam.

Sidang media itu dihadiri dua Undang yang dipertikaikan iaitu Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin. Seorang lagi Undang, dari Luak Johol, Muhammed Abdullah turut hadir.

Maarof yang membacakan kenyataan bersama itu mendakwa Ismail telah menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Dia juga mengulangi dakwaan bahawa surat itu ditandatangani Ismail ketika menghadap Raja Pemerintah Negeri Sembilan iaitu Tuanku Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar dan Undang Yang Empat di Istana Laguna Biru, Port Dickson untuk diperkenankan sebagai Menteri Besar pada 3 Ogos lalu.

"Dalam majlis mengadap itu, YAB Ismail bin Lasim turut menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi di bawah Perkara 10(2) UUTKNS, selaras dengan kewajipan perlembagaan beliau, di hadapan Raja Pemerintah Negeri Sembilan dan tetamu jemputan yang hadir dalam upacara ringkas yang diakhiri dengan bacaan doa selamat," katanya.

Dia juga menegaskan kesemua Undang yang Empat telah pun menandatangani proklamasi tersebut dan menurunkan cop mohor masing-masing pada 19 April 2026.

"Surat proklamasi yang ditandatangani oleh YAB Ismail bin Lasim bertarikh 3 Ogos 2026 dengan ini diedarkan untuk makluman umum bagi menoktahkan isu penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir," katanya.

Justeru, Maarof berkata pihaknya berharap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan semua ahli pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan mematuhi proklamasi tersebut dengan serta-merta dan menjunjung keluhuran Perlembagaan tanpa berbelah bahagi.

Sementara itu, Ismail enggan mengulas mengenai dakwaan dia telah menandatangani surat cara proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Tak ada nak komen,” katanya ringkas selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sebuah resort di Seremban awal pagi tadi, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini Ismail dalam kenyataan media pada 6 September lalu menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Katanya, fokusnya kini adalah untuk menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.

Tiada ulasan: