Jumaat, 16 Oktober 2026

ANSARALLAH SERANG BARUA SAUDI

 

ANSARALLAH

TERUS SERANG

BARUA SAUDI

KHALAS


Ansarallah bedil peluru berpandu ke atas istana presiden Yaman, 5 maut

ADEN: Kumpulan Ansarallah Houthi melancarkan serangan peluru berpandu maut ke atas istana presiden di Aden, ibu kota sementara kerajaan Yaman, semalam.

Seorang menteri Yaman yang enggan dikenali mengesahkan serangan itu menyasarkan pusat arahan yang terletak di dalam kompleks Istana Presiden Al-Maashiq.

Ia digunakan oleh pasukan kerajaan Yaman dan gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang menyokong mereka,

Kumpulan Houthi yang disokong Iran merampas kawasan yang luas di sepanjang pesisir Laut Merah Yaman sejak beberapa minggu lalu, manakala serangan balas kerajaan dengan sokongan udara Arab Saudi setakat ini gagal menawan semula kawasan berkenaan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Yaman, Qasim Buhaibeh berkata, serangan itu mengorbankan lima orang dan mencederakan 16 yang lain yang berada 'dalam kalangan mereka yang bertugas mengawal kawasan berkenaan serta pekerja awam'.

Wartawan AFP melihat asap menjulang ke udara, manakala penduduk bandar di selatan itu melaporkan terdengar letupan ketika serangan berlaku

Serangan itu menjadi yang pertama ke atas kompleks berkenaan sejak perang saudara Yaman kembali memuncak pada Julai lalu.

Perdana Menteri Yaman, Shaya al-Zindani, mengecam tindakan 'pengecut' itu menerusi platform X dengan menyifatkannya sebagai 'kesinambungan corak jenayah Houthi yang menyerang lokasi awam dan orang ramai'.

Seorang menteri kerajaan yang enggan namanya didedahkan berkata, Zindani berada di kompleks itu ketika serangan berlaku, namun beliau 'tidak mengalami sebarang kecederaan'.

Menteri itu berkata, Houthi menyasarkan pusat arahan pasukan kerajaan Yaman dengan tiga peluru berpandu, manakala satu lagi pusat arahan pasukan gabungan pimpinan Arab Saudi di kompleks berkenaan diserang menggunakan dua peluru berpandu.

Beliau juga berkata, terdapat korban dalam kalangan warga Yaman dan Arab Saudi, namun tidak memberikan jumlah khusus.

Media yang mempunyai kaitan dengan Houthi melaporkan, kumpulan itu menyasarkan 'ibu pejabat operasi ketenteraan yang diketuai pegawai Arab Saudi di Istana Al-Maashiq di Aden, selain depot senjata milik mereka'.

Riyadh semalam, menuduh Iran menggalakkan peningkatan konflik itu, dengan mendakwa Tehran terus membekalkan senjata dan melatih kumpulan berkenaan.

Timbalan Menteri Diplomasi Awam di Kementerian Luar Arab Saudi berkata, Riyadh masih berhubung dengan Iran, namun Tehran dilihat belum bersedia membuat sebarang konsesi.

Gabungan pimpinan Arab Saudi berkata, dron yang dilancarkan Houthi ke arah wilayah selatan kerajaan itu dan bandar Khamis Mushait berjaya dipintas.

Pasukan kerajaan Yaman pula berkata, Houthi turut melancarkan 'beberapa peluru berpandu balistik' ke arah bandar Marib di tengah negara itu, yang terletak di kawasan strategik kaya dengan minyak. - AFP

Tiada ulasan: