Ahad, 1 November 2026

PARIS DAN POLITIK JALAN RAYA

 



PARIS DAN

POLITIK

JALAN RAYA



Pada 19 Oktober 1793  kepala  Marie Antoinette Permaisuri  Raja Perancis  telah di penggal.  Marie Antoinette  menjadi  simbol kejayaan pemberontakan  rakyat Perancis. Dari sebuah Negara Feudal Perancis menjadi Negara Republik.

Marie Antoinette akan terus diingati : ‘.. Kalau takda roti makan kuih....’ Kata-kata ini terhambur dari mulut bila Baginda mendengar suara rakyat menjerit-jerit  meminta roti.

Revolusi Perancis  dari 1789 ke 1799 hakikatnya adalah tunjuk perasaan politik jalan raya. Politik jalan raya ini telah  yang menumbangkan  rejim feudal Louise Ke 16.

Justeru demo, tunjuk perasaan dan politik jalan raya  telah menjadi tradisi kukuh dalam badan budaya politik Peranchis. 

Saya masih ingat lagi bulan Mei 1968  - ketika saya dalam Tingkatan Lima di Jelebu saya telah membaca berita pelajar dan mahasiswa kota Paris bangun menunjuk perasaan.

Isu yang menjemput para pelajar dan mahasiswa ke jalan  raya ialah keadaan pembelajaran di Universiti Nanterre dan Sorbonne  yang mengecewakan. Kuliah padat. Sistem kampus merosot dan kerajaan Presiden  Charles de Gaulle menekan anak muda pelajar dan mahasiswa.

Dalam masa yang sama Peranchis terlibat dalam perang kolonial di Indo China.   Pertempuran di Dien Bien Phu  yang  bermula pada 13 Mac  hingga ke  7 Mei 1954 menjadi tanda penamat. Gerila Vietkong di bawah pimpinan Ho Chi Minh berjaya mengalahkan  kuasa kolonial Peranchis.

Tetapi perang disambung. Kekalahan Perancis  di Vietnam  diambil alih oleh kuasa imperialis Amerika.

Di Perancis - gerakan mahasiswa Mei 68 membawa jutaan warga Peranchis ke jalan raya. Mogok besar berlaku. Kaum buruh, kaum tani,  kesatuan sekerja, para seniman, para intelektual kota Paris   semua turun ke jalan raya.  Kerajaan Charles de Gaulle hampir runtuh.

Hingga ke hari ini Mei 68 atau di kenali di Perancis sebagai The Almost Revolution -  terus menjadi rujukan kepada gerakan pelajar seluruh dunia. 

Justeru politik jalan raya dan demonstrasi  diterima pakai sebagai budaya politik Perancis.

Pada November 2018  ekonomi  dunia dan Perancis menjadi tidak menentu. Harga bahan bakar petrol naik, harga gas naik dan kos sara hidup melonjak. Kaum buruh dan pekerja merasa kos hidup mereka makin menekan. Maka  setiap hujung minggu mereka keluar berdemo menunjuk perasaan menuntut agar kos sara hidup di tangani dan cukai di kurangkan.

Gerakan ini di panggil Gerakan Jaket Kuning  - ini kerana ramai yang keluar  berdemo  memakai jaket berwarna kuning.

Gerakan ini keluar berdemo setiap minggu. Kadang kala  besar dan mengampuh. Hampir dua tahun  Jaket Kuning turun berdemo akhirnya  Presiden Emmanuel  Macron. Membatalkan kenaikan cukai untuk mengurangkan kos hidup.

Satu bulan ke belakangan ini Peranchis bergolak lagi. Kalau  tahun 1968 pemula politik jalan raya ialah mahasiswa kali ini anak- anak sekolah menengah.

Kesah bermula apabila pada 17 September 2026 Guru di Sekolah menengah  di pinggir kota Paris mogok.  Tiga hari kemudian anak murid di Lycée Antoine-de-Saint-Exupéry di Créteil  ini keluar sama menyokong tuntutan guru.

Mereka mahu sistem persekolahan di baiki. Guru di tambah. Bila guru bercuti pastikan ada guru pengganti. Bilik darjah kini padat perlu bangunan baru di dirikan. Di musim sejuk perlu ada alat pemanas. Di musim panas  perlu ada kipas dan alat pendingin.

Satu tuntutan yang masuk akal. 

Dari sekolah di pinggir wilayah miskin kota Paris ini ianya merebak. Disambut pula banyak oleh sekolah yang lain.  Kini bukan hanya di Paris – malah di seluruh Peranchis sekolah menghadapi perkara yang sama.

Anak  sekolah turun ke jalan raya.. Sekolah di tutup. Guru sama menyokong. Ibu Bapa datang  bersama ke  jalan raya. Ombak  politik jalan raya makin membesar. Parti politik memberi sokongan. Pimpinan politik ikut sama berdemo.

Kesatuan Sekerja – Trade Unionist – yang kuat tersusun mengarah ahli sama menyokong. Dari kota ke kota ampuh oleh penunjuk perasaan.

Langkah polis seperti biasa. Tembakan gas pemedih mata – tembakan  cecair kimia diarahkan kepada para demonstran.

Penunjuk perasaan di bantai. Seorang murid sekolah putus tangan. Seorang anak sekolah  pecah muka.  Ini menjadi perbualan nasional dan berita dunia.

Suasana jadi ganas – tong sampah di bakar. Kereta menjadi mangsa. Pelajar diserang dan di tangkap. Polis juga di serang pelajar.  Kota Parsi menjadi hiruk piruk. 

Seperti biasa politikus menuduh ini kerja  musuh politik. Presiden Macron menuduh ini kerja Jean-Luc Melencon  dari parti Tidak Tunduk – parti garis kiri yang di tuduh ekstrem.  Marine Le Pen dari  parti  National Rally berhaluan kanan menuduh ini kerja parti Sosialis dan Komunis. 

Pilihan raya Presiden telah di tetapkan 18 April 2027 tahun depan. Jean-Luc Melencon dari parti kiri  dan Marine Le Pen dari parti kanan  pasti akan bertempur dan bertanding.

Pada Sabtu 17  Oktober yang lalu – satu demo  di seluruh Peranchis di susun.  Di anggarkan  seramai 550,000 hingga 800,000 orang turun ke jalan raya di seluruh Perancis.

Demo besar ini telah menjemput ‘kaki busuk dan para oportunis’ yang sama berdemo – mereka mengambil kesempatan  memecah kedai dan mencuri barang.

Imej dari media sosial telah tersebar.  Tuduh menuduh berlaku.

Apa yang menarik ialah peranan media arus perdana.  Dari awal lagi media ini menggambarkan para demonstran ini  adalah  imigran generasi kedua  Arab dan Afrika.

Bukti sahih menurut laporan media ini kenapa ada bendera  Palestin ikut sama di kibar ?
Media jenis ini tidak menerang dan memberi pencerahan akan tuntutan para pelajar.  Tidak di hebohkan  apa tuntutan Gen Zee ini secara tuntas. 

Media terus  memainkan imej pelajar yang  berkulit  hitam sedang berdemo dan membawa bendera Palestin.  Gambaran imej yang ganas, walhal majoriti yang berdemo adalah warga Peranchis berkulit putih. Anak watan Peranchis. 

Malah mereka yang berkulit tidak putih ini  adalah warga Peranchis yang tebal  kerana  mereka telah menghayati politik jalan raya sebagai  budaya  politik mereka.

Setakat ini dari laporan media hampir 8000 telah di tangkap – 500 lebih pelajar  termasuk  148 guru.  Hampir 1000 polis  dilapur cedera.

Demo di Paris ini telah merebak ke Belgium. Protes besar-besaran oleh pelajar meletus di seluruh Belgium sepanjang bulan Oktober 2026. Demo berlaku di pusat-pusat bandar utama seperti Brussels dan Liège. 

Sama seperti di Peranchis di Belgium politik jalan raya ini didorong oleh golongan anak sekolah  dan  Gen Zee. Sama seperti di Paris bentrokkan juga berlaku antara demonstran dengan pasukan polis anti-rusuhan.

Dalam masa yang sama politik jalan raya juga sedang berlaku di Sepanyol, di Itali  dan di Albania.  Di Milan Itali   tentera telah di arah untuk mengawal keadaan. Jelas kelihatan anak muda Eropah sedang  bangun melawan. 

Di Sepanyol  kes perumahan telah membawa ratusan ribu rakyat ke jalan raya. Kerajaan runtuh   kerana gagal menyelesaikan krisis perumahan dan tempat tinggal. Pada 26 November ini Sepanyol akan mengadakan PRU.

Tanpa di jemput tanpa  di pinta Presiden Donald Trump dari Amerika telah mengeluarkan pandangan tentang apa yang sedang berlaku di Peranchis dan di Eropah. 

Wajib disedari bahawa Trump akan berhadapan dengan Pemilihan Tengah Penggal pad 3 November ini.

Akhbar The Guardian pada 20 Oktober 2026  telah melaporkan dalam ceramah kempennya di Kansas Trump telah berkata : Peranchis kini telah “ditakluki, dijarah, dan dibakar sehingga musnah oleh pendatang, Jihadis, dan komunis

Trump cuba menjadikan pergolakan di Perancis sebagai satu pengajaran bagi pengundi Amerika. Beliau menggambarkan demonstrasi tersebut—yang bermula sebagai protes pelajar terhadap keadaan sekolah yang uzur serta kos sara hidup yang melambung tinggi—sebagai bukti bahaya imigresen dan hakisan tamadun Barat.

Dalam kempen untuk memenangkan calon Republikan Trump terus  berkata bahawa demonstrasi di Perancis "bukan masalah sekolah. Ia adalah masalah imigrasi" dan mendakwa bahawa para imigran telah "menguasai Perancis".

Trump terus  berkempen dan menjaja bangkai biawak ini sebagai daging rusa.
Kini  bangkai biawak yang di jaja oleh Trump ini telah mula di sambut oleh pemimpin politik garis kanan di Eropah. Tunjuk perasaan anak sekolah ini kini telah beralih menjadi masalah pendatang dan Islam.

Isu pendatang, imigran, pelarian perang pasti akan menjadi agenda utama dalam pemilihan Presiden di Perancis tahun depan.  Malah isu pendatang dan imigran akan terus di bakar.

Sebenarnya apa latar belakang yang  membawa murid sekolah ini ke jalan raya ? Akan di jawab minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIAKINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/888170-kolum-anak-muda-yang-melawan-dan-politik-jalan-raya







Tiada ulasan: