Kenyataan Media: 2hb Mei, 2014
BANKRAP IDEA AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012, MEKANISMA BARU DIPERKENALKAN UNTUK HALANG HAK DAN KEBEBASAN RAKYAT BERHIMPUN?
Pasukan urgent arrest May Day mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggodam (hack) telefon anggota kami yang bertugas menghubungi peguam dalam kes-kes tangkapan para peserta demonstrasi.
Sejak pagi 1 Mei 2014 sehingga hari ini, anggota pasukan tidak henti-henti menerima panggilan telefon dan SMS daripada orang ramai yang menerima SMS kecemasan kononnya daripada anggota pasukan meminta mereka menghubungi anggota pasukan dengan segera. Dianggarkan ratusan SMS dan ribuan panggilan telefon telah diterima sehinggakan anggota pasukan terpaksa mematikan telefon bimbit mereka pada hari tersebut.
Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh orang awam dan peserta demonstrasi May Day akibat perbuatan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini.
Kami percaya pihak tidak bertanggungjawab ini berniat untuk menghalang tugas anggota pasukan dalam usaha koordinasi khidmat peguam untuk sesiapa yang ditahan oleh pihak polis. Kami melihat tindakan ini sebagai cara baru oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengganggu amalan hak dan kebebasan berhimpun rakyat setelah Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 melanggar Perlembagaan Malaysia.
Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini berniat jahat dan mala fide. Ia menidakkan hak dan kepentingan peserta untuk diwakili oleh peguam ketika ditahan dan disiasat polis. Ini seterusnya mendedahkan peserta kepada risiko penahanan tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Kami syak pihak tidak bertanggungjawab ini memancing nombor telefon persendirian orang awam daripada databasesyarikat telekomunikasi. Sekiranya benar, kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang melanggar privasi dan menggunakan data peribadi orang awam secara tidak sah dan salah.
Kami seterusnya menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat siasatan menyeluruh dalam masa 48 jam dari masa terbitan kenyataan ini ke atas insiden ini. Jika pihak polis dan SKMM gagal berbuat demikian, dan tidak memberi penjelasan yang rasional, kami anggap pihak polis dan SKMM berat-sebelah dan tidak independen. Mulalah membela nasib rakyat dan berhenti menjadi suruhan kerajaan dengan serta-merta!
Dikeluarkan oleh,
Anggota pasukan urgent arrest May Day Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
---------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan