MEMAHAMI
MAHATHIR DAN NAJIB
Hari
ini dimana sahaja warga Malaysia berkumpul kalau mereka tidak
bercerita tentang harga barang naik mereka akan bercerita tentang
Presiden PAS Tuan Haji Hadi yang akan dilawan oleh Tuan Haji Ahmad
Awang dalam Muktamar PAS bulan hadapan. Labon punya labon –
sembang punya sembang pasti akan keluar pertanyaan : Bila Najib akan
diundurkan?
Saya
rasa pasti ramai pembaca yang tertanya-tanya soalan yang sama. Pasti
ramai juga yang tercari-cari akan jawapan pada soalan ini. Sebelum
saya menjawab – bila? - adalah molek untuk kita memahami apa
sebenarnya pertarungan antara bekas Perdana Menteri Mahathir Muhamad
dengan Perdana Menteri sekarang Najib Razak. Ini lebih afdal.
Untuk
memahami dengan jelas babak politik ini mari kita lihat kembali garis
masa bermulanya perang politik ini. Warga Malaysia pasti TIDAK akan
lupa tentang kenduri kahwin anak Rosmah yang selesai pada akhir bulan
March dahulu. Harga bunga hiasan kenduri kahwin ini sahaja dikatakan
mencecah 3 juta ringgit. Rakyat satu Malaysia menerima hakikat
bahawa kenduri ini lebih besar dari besar. Kenduri lebih agong dari
Agong. Kenduri ini dicap sebagai “kenduri kurun ini”.
Belum
pun sempat kenduri dipihak jantan berlangsung – Mahathir telah
meledakkan 'bom nuklear'. Najib Razak dan Rosmah Mansor menjadi
sasaran. Kenduri kahwin ini juga menjadi peluru.
Apabila
Mahathir mula menyerang. Satu Malaysia jadi heboh. Serangan Mahathir
Najib ini lebih heboh dari Kapal Madras karam. Warga Malaysia –
dari Mak Cik Felda hingga ke CEO MayBank semuanya tahu bahawa satu
krisis besar sedang melanda United Malaysia National Organsiation.
Najib Presiden Parti Ketuanan Melayu hendak ditendang keluar oleh
Mahathir Muhamad.
Macam
macam pandangan kita dengar. Macam macam tulisan kita baca. Ada
komentar dan analisa dari Profesor pelbagai jenis – ada yang
kangkong dan ada yang asli. Dalam masa yang sama kerana wujudnya
internet kita juga berpelung membaca komen politik dari Mat Tikus
dan Lebai Kerang dari Sintok dan Manjung.
Ada
analisa mengatakan Mahathir menyerang Najib untuk menyediakan tempat
buat anaknya. Ada yang berkata bahawa Mahathir ini memiliki ego
menggunung. Ada yang berkata Mahathir dimalukan kerana 'jambatan
bengkok' dari Johor Baru ke Singapura gagal didirikan.
Semua
pandangan ini tidak salah tapi tidak semuanya tepat dan betul.
Saya
sering menerangkan bahawa banyak tulisan dan komentar politk telah
gagal untuk memberi kefahaman tentang apa yang sebenarnya sedang
berlaku. Analisa ini gagal kerana ada fakta yang hilang. Fakta
hilang ini ialah fakta ekonomi dan kelas.
Untuk
saya apa sahaja analisa politik jika TIDAK dimasukkan ekonomi dan
kelas maka analisa itu gagal tidak syumul dan tidak menyeluruh.
Ertinya analisa itu hanya berligar dengan pribadi sosok, berligar
dengan niat dan cita-cita sosok. Dalam kes Mahathir Najib akan dlihat
pertembungan dua personaliti. Dua sosok yang memimpin negara dengan
dua cara yang berbeza.
Hakikatnya
- politik ialah ekonomi. Perebutan kuasa politik ialah perebutan
ekonomi. Manusia ialah binatang ekonomi. Dari ekonomi akan muncul
kelas. Ada kelas tani, kelas buruh dan kelas borjuis.
Justeru,
adalah wajib menganalisa politik dengan menggunakan ekonomi dan
kelas. Menganalisa masyarakat mengunakan pendekatan Marxis. Apa itu
pendekatan Marxis?
Sila
jangan salah faham. Menggunakan pendekatan Marxis ini bukan bermakna
kita jadi ahli Parti Komunis Malaya. Atau dengan tetiba kita minum
arak dan terus berzina. Marxisma ini kita gunakan sebagai alat.
Kalau kita bertukang kita ada peralatan. Kita ada tukul besi, ada
paku, ada pahat, ada gergaji dan ada ketam papan. Semua ini alat
untuk bertukang. Justeru Marxisma ini juga adalah alat untuk kita
bertukang.
Bertukang
disini maknanya kita menggunakan kaedah Marxis untuk menganalisa dan
memahami masyarakat. Apa sahaja tulisan atau pandangan yang
menganalsia politik dan masyarakat Malaysia hari ini akan separuh
masak dan tempang jika tidak memasukkan ekonomi dan kelas.
Saya
yakin pembaca sedar Presiden Bush menyerang Iraq bukan kerana
DEMOKRASi tetapi kerana TELAGA MINYAK. Memiliki pendapat bahawa
Bush menyerang Iraq kerana minyak adalah pendekatan Marxis. Minyak
ialah ekonomi. Menggunakan pendekatan ekonomi adalah menggunakan
kaedah Marxis.
Pertembungan
Mahathir dengan Najib ini adalah pertembungan dua kelas. Mahathir
dan Najib ini mewakili kelas mereka. Mahathir dan Najib tergulung
dalam kelas borjuis. Kelas dan borjuis adalah istilah Marxis.
Apa
itu borjuis? Borjuis ialah ahli kelas sosial yang membuat harta dan
kekayaan dengan menggunakan tenaga dan kerja orang lain. Kelas
borjuis bukan kaum tani dan bukan kelas buruh. Mereka menjadi kaya
raya atas tenaga kaum buruh dan kaum tani. Borjuis juga terbahagi
kepada Borjuis Nasional dan Borjuis Kompardor.
Apa
dan siapa dia borjuis komprador? Komprador adalah sosok yang membuat
harta kekayaan dengan bersandarkan modal dari luar negara. Towkay
7/11 atau towkay Mek Dogal atau tukang impot Honda adalah contoh
terbaik kelas komprador. Dalam sistem ekonomi kapitalis kaum
komprador menjadi orang perantaraan syarikat luar dengan anak
tempatan.
Najib
Razak mewakili Borjuis Komprador. Manakala Mahathir mewakili Borjuis
Nasional. Hakikatanya – yang sedang bertempur hari ini ialah dua
kelas borjuis. Dua kelas borjuis yang bertempur untuk memilik,
mengawal dan menjarah ekonomi Malaysia.
Borjuis
Nasional dan Komprador memiliki watak-watak dan ciri-ciri tersendiri.
Sekali pandangan mungkin Najib dan Mahathir TIDAk ada perbezaan.
Mereka berpayung dalam satu parti. Tetapi ini pandangan mata kasar.
Dari pandangan kelas mereka berdua ini amat berbeza.
Mahathir
– yang mewakili Borjuis Nasional yang memiliki watak yang lebih
progresif. Mereka memiliki sikap nasionalis. Mereka mementingkan
perkembangan modal tempatan. Mereka mahu harta kekayaan negara
dimiliki oleh anak tempatan. Justeru Borjuis Nasional merasa sangsi
terhadap kaum pemodal luar atau syarikat multinasional.
Justeru
kita melihat Mahathir yang nasionalis mendirikan Proton. Mahathir
mengajukan 'buy British last'. Akhir-akhir ini Mahathir menentang
projek imperialis Amerika yang akan mendominasi politik dan ekonomi
Malaysia melalui Perjanjian TPPA
Manakala
Najib Razak mewakili kelas komprador. Kelas yang bertenggek diatas
sokongan dan bantuan pemodal luar negara. Watak kelas ini dapat
dilihat dengan jelas apabila Najib Razak tunduk menyembah Presiden
Obama untuk menjualkan Malaysia kepada pemodal luar negara melalui
TPPA. Kaum komprador TIDAK memiliki sikap nasionalis. Mereka sedar
bahawa tanpa bantuan 'luar' mereka akan runtuh.
Justeru
kita lihat pada minggu ini Najib pergi ke Jepun untuk mengadu nasib
kepada kaum pemodal Jepun. Dilaporkan Najib akan bertemu dengan 34
orang kapten industri Jepun. Kenapa bertemu dengan pemodal Jepun?
Kenapa tidak bertemu dengan pemodal tempatan. Malah Najib dituduh
TIDAK bagitu kuat Imannya untuk mempertahankan pemodal Bumiputera.
Jelas semua ini adalah watak komprador.
Jika
kurang yakin maka sila ingati kembali – apabila Najib masuk ke
Putrajaya kita menyaksikan bagaimana hampir setiapa bulan soldadu
dan tentara Amerika keluar masuk dibumi Malaysia. Malah jangan
terperanjat jika Amerika akan mendirikan pengkalan tentera di
Pengerang. Ini politik komprador – tunduk pada kuasa asing.
Paling
akhir kita melihat lihat bagaimana Najib telah mengadu nasib kepada
Sultan dan meminta Sultan Pahang datang membantu. Tidak cukup dengan
Sultan Pahang – pada minggu ini juha Najib telah mengadu nasib
kepada Maharaja Jepun. Inilah watak asli Borjuis Komprador.
Agak
berbeza dengan watak Borjuis Nasional yang berwatak progresif. Dalam
perniagaan mereka pro anak watan. Dalam kes Malaysia Mahathir
dilihat pro pemodal Bumiputera. Borjuis Nasional dilihat anti
imperialis dan anti kaum feudal. Watak-watak ini dapat kita lihat
dalam sosok Mahathir Muhamad.
Minggu
lalu klip ucapan Muhyidin Yasin telah menjadi viral. Klip mesyurat
tertutup ini memperlihatkan dua garis politik yang kini wujud dalam
United Malays National Organisation. Satu garis politik Najib dan
satu lagi garis politik Muhyiddin. Satu Borjuis Komprador dan satu
Borjuis Nasional.
Projek
1MDB adalah projek Najib Razak. Projek ini sedang dilihat oleh orang
ramai sebagai projek lukah dimana 1MDB boleh berhutang. Duit hutang
ini diagihkan kepada kroni Najib dan Rosmah. Justeru muncul nama Jho
Low dan Reza Aziz yang memungut untung dari lukah 1MDB ini. Dua sosok
ini bukan ahli perniagaan dalam negara. Malah mereka ini tidak pun
duduk di Malaysia.
Dibelakang
Mahathir ini kita lihat Borjuis Nasional yang telah dibentuk oleh
Mahathir - Daim Zainudin, Ananda atau Syed Mokhtar. Dalam forum
antarabangsa Mahathir akan memastikan kepentingan ekonomi borjuis
nasional ini TIDAK diganggu gugat. Kerana ini para pemodal ini terus
tegoh menyokong Mahathir. Kepentingan ekonomi dan kelas mereka
terjamin selamat.
Pada
tahap ini Borjuis Nasional ini masih memerhatikan apakah Najib akan
terus memporak perandakan ekonomi Malaysia dengan hutang 1MDB.
Hutang 42 bilion ringgit ini akan mengoncangkan dan meledakan musnah
ekonomi Malaysia. Borjuis Nasional amat sedar akan hal ini.
Maka
kita kembali kepada persoalan yang ditanya-tanya : Bila Najib akan
diundurkan? Jawabnya: Najib akan diundur apabila United Malays
National Organisation merasa parti mereka akan lingkup. Kempen
Mahathr memainkan peranan tetapi yang akan menentukan ialah ekonomi
Malaysia.
Bila
akan berlaku? Ianya sedang berlaku sekarang. Fulus telah habis,
projek makin pupus. Najib terpaksa menyembah Maharaja Jepun minta
Yen kalau tidak lehernya akan dipancung sebelum Hari Raya. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEDIALAN
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon:
03-92-21-30-45
-----------------
7 ulasan:
Tanya sakmongkol kerana die lebih ariff tentang najib.kebetulan nama beliau adalah ariff.
jangan lupe tlg Tanya, sahabat die bekas adun dari pekan tu x berenti lg tipu duit org pakai topeng agama? ke sakmongkol pn tumpang sekaki rembat duit org kg pakai topeng agama?
TT, klu lu ada telor..lu publish komen gua ni..nk tgk sakmongkol bg penjelasan ke x.
Daripada beribu ulasan dan kritik pasal 1MDB dan Najib, ini adalah ulasan yang terbaik dan ia di garap oleh En. TT.
Syabas.
Tahniah TT kerana lu ada telor yg berkualiti kahkahkahkahkah
Najib dan Mahathir, sang kayaraya tujuh keturunan yang dapat laba hasil daripada peluh dan darah rakyat. Ironinya Najib seronok jadi seorang pelupa, jadi dia boleh bohong. Mahathir pula ingat Melayu mudah lupa, jadi dia boleh cakap siapa yang berbohong (Najib lah tu).
Eloknya Mahather ini dia berfahaman anti imprealis dan anti kaum feudal.
Untuk Sang proletar dan Pak TT, hari ini gwa belanja lu serangkap sajak yang masyur. Sajak hasil nukilan Pak Kassim pemikir (sosial - Islam) yang bukan kangkong.
Dengan meminta izin dan restu Pak Kassim , berikut adalah sajaknya "DIALOG (kepada ibu)" rangkap ll.
ll
Tidurlah ibu
kita manusia kerdil
siang membanting tulang
malam menanggung bimbang
ada besok maka pasti ada surya
aku akan pergi
dengan seribu Jebat sianak tani
kian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam durhaka.
Najib dan Mahathir, sang kayaraya tujuh keturunan yang dapat laba hasil daripada peluh dan darah rakyat. Ironinya Najib seronok jadi seorang pelupa, jadi dia boleh bohong. Mahathir pula ingat Melayu mudah lupa, jadi dia boleh cakap siapa yang berbohong (Najib lah tu).
Eloknya Mahather ini dia berfahaman anti imprealis dan anti kaum feudal.
Untuk Sang proletar dan Pak TT, hari ini gwa belanja lu serangkap sajak yang masyur. Sajak hasil nukilan Pak Kassim pemikir (sosial - Islam) yang bukan kangkong.
Dengan meminta izin dan restu Pak Kassim , berikut adalah sajaknya "DIALOG (kepada ibu)" rangkap ll.
ll
Tidurlah ibu
kita manusia kerdil
siang membanting tulang
malam menanggung bimbang
ada besok maka pasti ada surya
aku akan pergi
dengan seribu Jebat sianak tani
kian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam durhaka.
Apo komen lu ni bro? Poyo giler!
powerful good thinking
Catat Ulasan