.

Rabu, 1 Mac 2017

MUKADIMAH - PERSOALAN NASIONAL



PERSOALAN NASIONAL - MUKADIMAH

Ada sesuatu yang tidak kena. Saya yakin sekali memang ada sesuatu yang masih liar menggangu. Gangguannya saperti tulang ikan terubuk tersangkut ditekak. Sabentar hilang kemudian muncul menyakitkan kembali. Tapi saya yakin apa yang akan saya timbulkan dalam siri tulisan ini bukan tulang ikan terubuk. 

Pekara yang akan saya timbulkan ini  lebih bahaya dari tulang terubuk.  Malah lebih bahaya dari racun VX yang berjaya membunuh Kim Jong Nam di KLIA. 

Tulisan ini adalah mukadimah tentang keracunan negara. Mukadimah tentang  tembok berracun yang selama ini menggagalkan garis tepat tamadun bangsa di Tanah Melayu.

Saya menggunakan istilah Tanah Melayu kerana pada hemat saya inilah agenda  utama yang ingin saya rungkai secara tuntas. Pekara yang ingin saya rungkai ialah pekara tanah dan pekara Melayu. Wacana yang ingin saya buka ialah agenda tanah dan agenda Melayu.

Wacana yang ingin saya timbulkan ini pada hemat saya amatlah penting. Untuk rakaman sejarah - kali pertama saya telah menimbulkan pekara ini  secara terbuka ialah dihadapan 40 orang China, seorang Bengali dan 3 lelaki Indian Special Branch -  yang dihantar khas untuk merakamkan apa yang saya tuturkan.  Saya membuat ucapan di program forum  parti DAP Ipoh Perak satu bulan sesudah Bersih5. 
Kali kedua  saya menimbulkan pekara  yang sama ialah dihadapan 26 China dan 2 orang lelaki India. Ini dijamuan makan malam tahun baru China pada 18 Febuari lalu. 

Kali ketiga saya menimbulkan pekara ini pada malam 25 Febuari yang lalu dihadapan 18 China dan dua Melayu. Ini dijamuan makan malam untuk kenalan lama saya dari London

Pekara yang ingin saya lakar disini telah lama berligar dalam kepala saya. Kadangkala dia muncul. Kadangkala hilang. Semua bergantung pada keadaan politik semasa. Ianya saperti serpihan batu dalam kasut - terus mengganggu. Justeru pada hemat saya pekara ini  wajib dicari jalan penyelesaian.

Malah pekara ini telah berpuluh kali saya bincangkan  dengan kawan-kawan rapat. Mendengar pandangan mereka dan melihat jalur fikrah dari apa yang saya timbulkan. Dalam masa yang sama saya cuba menyusun fikrah  sendiri untuk melakar tulisan ini.

Awal bulan Febuari ini saya telah ditanya oleh serong aktivis Melayu  dari parti DAP. Si Polan ini telah bertanya tentang keadaan politik negara kita hari ini. Dia juga bertanya kenapa Bani Melayu masih masih lagi bersama United Malays National Organisation?

Perhatikan dengan rapi. Saya merakamkan  bangsa-bangsa sosok yang telah mendengar apa yang saya ucapkan. Pembaca mungkin bertanya   - kenapa saya tulis bangsa-bangsa orang yang mendengar  apa yang saya tuturkan? Apakah bangsa apa yang mendengar ucapan saya ini  penting?

Untuk saya secara pribadi - ini amat-amat penting dari sudut rakaman sejarah. Kerana apa yang akan saya timbulkan ini adalah sambungan dari pensejarahan Tanah Melayu. Persoalan yang akan saya timbulkan ini pada hemat saya amat besar sekali. Lebih bertahan  dari Gunung Tahan, lebih berlarutan  dari Bukit Larut dan lebih tinggi dari Bukit Tinggi.

Apa dia persoalan itu? Sebelum saya merungkai dan menerangkan apa persoalan itu - saya wajib berlaku jujur untuk menerangkan latar yang menimbulkan persoalan itu. 

Warga Malaysia telah membaca. Bani Melayu dari semua kelas  ekonomi telah mendengar. Dari Tan Seri ke Datuk ke pemandu teksi ke Mak Cik Warung - semua melihat. Warga negara  Asean  yang peka politik tahu. Warga Asia - China, India  dan Jepun yang membaca akhbar pasti telah terbaca. Warga dunia  - dari Amerika ke Switzerland - telah melihat dikaca Tv dan membaca di akhbar masing masing.

Apa yang mereka lihat? Apa yang mereka baca? Apa yang mereka  tahu?

Mereka dan  kita telah membaca, melihat, mendengar dan tahu bahawa Najib terlibat dalam kes mencuri duit negara. Ini kes rompakan yang paling besar dalam sejarah dunia.

Belum pernah terjadi rompak teratur saperti ini. Malah belum pernah berlaku dalam dunia hinggakan menjemput  Jabatan Peguam Negara Amerika - Department of Justice America - untuk  mengambil tindakan undang-undang terhadap Najib dan kuncu-kuncunya.

Kita warga Malaysia juga tahu tentang keterlibatan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya. Kita membaca siapa Sirul dan siapa Azilah. Kita diberitahu Razak Baginda adalah kawan rapat Najib.
Kita diberitahu oleh mendiang P.I Bala tentang hubungan Najib dengan Altantuya.

Satu Malaysia juga telah  mendengar kes pembunuhan peguam Kevin Morais yang bekerja di pejabat Peguam Negara. Kita juga telah terbaca bagaimana  seorang pemilik bank yang bernama Hussain Najadi telah ditembak mati.

Mengikut surah abang Kevin - Charles Morais - abangnya Si Kevin telah  telibat dalam kes 1MDB. Bila disebut 1MDB maka muka yang muncul hanyalah muka Najib.

Pascal Najadi - anak kepada Hussian yang mendirikan AMBank telah berkata bahawa pembunuhan ayahandanya bukan kerana perebutan harta tanah  tapi berkait rapat dengan salah guna kuasa dan rasuah dalam AMbank. 

Bila disebut AMBank maka muka Najib akan muncul lagi. Ini kerana  mengikut laporan Sarawak Report duit 2.6 bilion ringgit yang dirompak dari 1MDB telah disalur masuk ke dalam akaun pribadi Najib melalui AMBank.

Mahathir Muhamad bekas Perdana Menteri Malaysia  secara terbuka telah menyatakan kepada  umum bahawa Najib ini seorang pencuri, penyamun dan penyangak. Paling terbaru Mahathir telah menuduh Najib sebagai pencuri di Konvensyen Reformis pada Sabtu 25 Febuari yang lalu.

Mengikut kata-kata Mahathir si Penyamun  bernama Najib ini wajib disingkirkan dari berkuasa. Malah Mahathir sedang bekerja keras bukan sahaja untuk menjatuhkan Najib malah Mahathir juga mahu menghancurkan parti United Malays National Organisation. Pada satu ketika dahulu Mahathir adalah Presiden parti ini. Presiden terkini dan terbaru parti ini  ialah Najib sendiri.

Najib dikatakan  terlibat dalam kes bunuh. Najib  dituduh telibat kes rasuah  pembelian kapal selam Scorpene. Najib dikatakan terlibat dalam kes rompakan 1MDB. Tetapi kenapa Bani Melayu masih menyokong Najib?

Ini persoalan kurun ini. Persoalan tentang Bani Melayu ini akan saya cuba jawab. Saya akan cuba cari kenapa dan mengapa - sebab dan musabab. Dimana puncanya. Kemana berakhirnya soalan ini.

Soalan - Kenapa Bani Melayu masih menyokong Najib menjadi persoalan induk yang akan membuka wacana ini. 

Najib secara jelas adalah orang jahat - seorang pencuri dan perasuah. Kita - dari kumpulan rasional yang memiliki fikiran seimbang  menjadi pelik lagi takjub. Malah sesiapa sahaja yang berfikir secara rasional akan bertanya : mengapa Bani Melayu masih setia dengan Najib. Mengapa ahli United Malaya National Organisation masih sedia dipimpin oleh seorang pencuri.

Soalan ini perlu mendapat jawapan. Soalan ini wajib dikaji dan dirungkai secara ilmiah. Ini kerana kes Najib seorang pencuri ini bukan sahaja menjadi persoalan untuk diri saya. Malah masyarakat dunia juga sering tertanya-tanya kenapa warga Malaysia dapat menerima pencuri  sebagai Perdana Menteri.

Hakikatnya setiap sosok yang memiliki fikiran yang rasional akan mengeluarkan pertanyaan yang sama.

Soalan ini menimbulkan  satu lagi soalan. Apakah Bani Melayu ini telah hilang kompas moralnya. Apakah Bani Melayu yang mengakui beragama Islam telah juga hilang pegangan agama. Amalan - amal makruf nahi mungkar - yang saban saat dilaungkan oleh para pendakwah kini telah dijambankan.

Ajaran agama Islam yang meletakkan kejujuran, kesucian dan berkata benar sebagai rukun iman kini telah terpancut hilang. Apa ertinya ini? Apakah ada kuasa yang lebih besar dari kuasa agama? Apakah kuasa  ini bagitu besar sekali hingga ianya boleh mengenepikan ajaran para Nabi?

Apakah Bani Melayu tidak dapat lagi melihat apa yang salah dan apa yang betul.

Betulkah  kuasa  yang lebih berkuasa dari ajaran  Nabi  ialah kuasa dedak?  Maka timbulLah hujah yang menjawab bahawa Bani Melayu terus setia dengan Najib kerana kuasa dedak. 

Untuk saya hujah ini  satengah betul dan satengah salah. Bukan semua Bani Melayu mendapat dedak. Bukan semua Bani Melayu menjadi Peguam Negara, bukan semua Bani Melayu menjadi Gabenor Bank Negara. Bukan semua Bani  Melayu menjadi Ketua Polis Negara. Bukan semua Bani Melayu menjadi CEO kepada Syarikat Kerajaan. Bukan semua Bani Melayu mendapat kontrek Petronas. Bukan semua Bani Melayu mendapat projek LRT dan MRT.

Bukan semua Bani Melayu yang berserban dan bertakwa saperti Mursidul Am parti Pas akan berjaya memiliki kereta Porsche. Bukan semua Bani Melayu memikili duit untuk membelikan kereta Audi Q7 sebagai hadiah untuk isteri ke dua. Bukan semua Bani Melayu mendapat dedak berjuta  ringgit saperti kata Husam Musa.

Bukan bukan bukan.

Terbukti saheh bahawa dedak  bukan sebab Bani Melayu hilang kompas moralnya. Dedak bukan sebab kenapa Bani Melayu hilang kompas agamanya. Justeru saya menolak dedak sebagai sebab musabab kenapa Bani Melayu terus menyokong Najib. 

Jika dedak bukan jawaban maka bolehkah  ditakrifkan bahawa Bani Melayu yang menyokong Najib ini adalah dari kumpulan mereka yang bangang, bodoh dan bebal?

Ini juga tidak tepat. Ini juga satu pandangan yang songsang lagi tidak ilmiah. Malah sesiapa yang  berpendapat bahawa Bani Melayu  yang menyokong Najib itu terdiri dari kumpulan  orang bodoh telah melakukan satu kesilapan. Kesilapan ini muncul dari sikap sombong dan angkuh yang berpendapat bahawa - dia sahaja yang betul - yang lain semua bodoh.

Tali yang  mengikat sokongan Bani Melayu  kepada Najib  adalah persoalan nasional. Apa yang menjadikan parti United Malaya National Organisation ini terus berkuasa  selama 60 tahun ialah persoalan nasional. 

Pada hemat saya persoalan nasional ini masih belum selesai. Persoalan nasional inilah yang menjadi sebab musabab  keadaan politik kita hari ini. Pencuri penyamun dan pembunuh bebas bermaharaja lela tetapi yang jujur dan ikhlas ditangkap, dibunuh dan dipenjara. 

Apa itu persoalan nasional? Apa dia persoalan nasional? Tulisan ini hanya mukadimah membuka wacana. Tunggu minggu hadapan. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45

------------------

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terbaik tt......

Tanpa Nama berkata...




program mesti Tukar.. dari melayu jahat kepada kepimpinan melayu yang boleh harap...

xxxxxxxx say no to pas+amno xxxxxxxx

saey yes to amanah+pkr+bersatu

Carlos Santana berkata...

Bro TT,
Jawapan saya mudah sahaja iaitu melayu dan bumiputra telah menghadiahkan PM kuasa tanpa had dan sempadan. Orang opis cakap bagi cek kosong pada najib. Sendiri yang salah sebab terlena didendang oleh exPM tu. Bersih Cekap Amanah...Kepimpinan melalui teladan...bla..bla...

Nazrio Dond DoLLa berkata...

Yaa .....wahai yang di seru sebagai tuhan, rabb, rabbai, dewata raya pangeran dan berbagai nama...panjang kan umur hamba mu ini...semoga cerah bumi dengan nama nama muuu