.

Ahad, 5 Mac 2017

SATU UNDI - SATU RASUAH








SATU UNDI UNTUK BARISAN NASIONAL 
ADALAH SATU UNDI UNTUK RASUAH
Pakatan Harapan melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang makin berleluasa di bawah pentadbiran Najib Razak. Barometer Korupsi Global Transperancy International (Asia Pasifik) bagi tahun 2016 telah mendedahkan seramai 60 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa tahap rasuah negara ini semakin teruk dengan pertambahan dua kali ganda berbanding 30 peratus pada tahun 2014. Kenyataan ini disokong oleh kajian Barometer Edelmen Trust Malaysia 2017 yang menyatakan bahawa seramai 52 peratus rakyat Malaysia telah hilang kepercayaan kepada institusi dan sistem pentadbiran, ekonomi dan sosial manakala 83 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa rasuah sebagai punca utama.

Pada bulan Mac tahun lepas, majalah ‘Time’ telah menempatkan Malaysia sebagai negara kedua paling korup di dunia selepas Brazil. Sama juga seperti yang dilaporkan pada bulan Mei 2016, Malaysia berada di kedudukan nombor dua di dunia selepas Russia di dalam The Economist’s Crony Capitalism Index 2016. Dua bulan kemudian, nama Malaysia sekali lagi telah dimalukan di seluruh dunia apabila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyatakan negara kita mengamalkan dasar kleptokrat akibat skandal 1MDB. Pada tahun 2015, Global Financial Integrity (GFI) menempatkan Malaysia dalam senarai lima negara utama di dunia yang mengamalkan aliran tunai keluar secara haram dengan jumlah terkumpul bersamaan RM1.8 trilion antara tahun 2004 dengan 2013.

Dengan skandal-skandal 1MDB, Jabatan Air Negeri Sabah, Felda, dan Majlis Amanah Rakyat, ini membuktikan bahawa budaya korupsi yang diamalkan oleh Kerajaan Umno BN semakin membarah. Kos rasuah terpaksa ditanggung oleh rakyat dalam bentuk kemerosotan nilai matawang ringgit, pemotongan peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan, GST, serta kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan Pakatan Harapan menawarkan sebuah permulaan baru dengan:

1. Memastikan tiada campurtangan politik dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi pelaburan dan khazanah negara. Kesemua ini akan dibenarkan untuk membuat keputusan berdasarkan mandat pelaburan daripada mandat rakyat;

2. Melantik seseorang yang berwibawa untuk menjadi peguam negara yang diberi kebebasan untuk menjalankan tugas-tugas siasatan terhadap sesiapa sahaja mengikut Perlembagaan; dan

3. Memastikan kebebasan media, termasuk agensi-agensi berita dan penyiaran berita milik rakyat yang dibenarkan berfungsi secara bebas dan saksama.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang menentang rasuah dan inginkan perubahan untuk segera mendaftar dan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang.



PAKATAN HARAPAN (https://www.facebook.com/PakatanHarapanRasmi)

YB Raja Kamarul Bahrin Shah
Parti Amanah Negara
(AMANAH)

YB Rafizi Ramli
Parti Keadilan Rakyat
(PKR)

YB Tony Pua
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)




-------------

Tiada ulasan: