Isnin, 12 Oktober 2020

TER NOWW TER HOTT TER KINI

 


WAJIB BACA

PKP Bersyarat di Selangor, Putrajaya, KL dan Sabah dikuatkuasa

SELANGOR, Putrajaya dan Kuala Lumpur diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas berlaku lonjakan kes Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Penguatkuasaan PKPB akan bermula daripada 14 Oktober hingga 27 Oktober.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan.

“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPB juga akan dikuatkuasa di Sabah bermula tengah malam 13 Oktober hingga 26 Oktober.

“MKN juga memutuskan mengenakan PKPB di Sabah selepas melihat lonjakan kes Covid-19.

“Bagaimanapun, arahan itu akan bermula daripada tengah malam ini (13 Oktober) hingga 26 Oktober,” tambahnya.

Ismail Sabri menjelaskan di bawah PKPB semua sekolah termasuk pra sekolah dan institut pengajian tinggi akan ditutup.

Katanya lagi, semua aktiviti keagamaan, sosial dan sukan juga dilarang diadakan sepanjang tempoh itu.

“Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.

Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan kecuali untuk kes kecemasan.

“Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan,” katanya.

Sektor ekonomi bagaimanapun dibenar terus beroperasi termasuklah restoran dan kedai runcit.

“Kedai masih boleh beroperasi. Stesen minyak, kedai runcit, pasar basah masih boleh berniaga tetapi perlu ikut garis panduan ketat. Mereka boleh beroperasi daripada 6 pagi hingga 6 petang.”

“Untuk restoran hanya bawa pulang dan pandu lalu dibenarkan dan mereka hanya boleh dibuka daripada 6 pagi hingga 6 petang. Begitu juga dengan stesen minyak.

“Pemandu e-hailing boleh beroperasi bermula 6 pagi hingga 8 malam dan perkhidmatan bas tidak dibenarkan,” katanya lagi.

PKPB mula dikuatkuasa pada 1 Mei 2020. Sebulan kemudian, kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) selepas kes jangkitan Covid-19 semakin menurun. – 12 Oktober, 2020.

WAJIB PATUH



Tiada ulasan: