Pegawai kanan SC, ahli politik dilapor terlibat rasuah RM28.2 juta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima laporan berhubung salah laku dan jenayah rasuah termasuk kes melibatkan keluarga dan lembaga pengarah Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Menurut laporan Utusan Malaysia, laporan yang diterima petang semalam itu dibuat oleh sekumpulan individu yang mendakwa mempunyai bukti kukuh selain tidak menafikan ahli politik kanan kerajaan juga turut terlibat.
“Saya mahu SPRM segera menyiasat perkara ini. Kita tidak mahu integriti dan imej SC tercalar kerana isu integriti dan jenayah rasuah seperti ini,” katanya seperti dipetik laporan Utusan Malaysia.
Menurut wakil sekumpulan individu itu, siasatan segera oleh SPRM perlu dilakukan kerana banyak syarikat dan orang awam menjadi mangsa salah laku tersebut.
Katanya, sebanyak tiga kes akan dirujuk dalam laporan tersebut melibatkan konflik kepentingan ahli lembaga pengarah SC membabitkan saham bernilai RM28.2 juta di mana ahli lembaga pengarah tersebut memiliki kepentingan di dalam syarikat yang mempunyai hubungan kerja dengan SC.
Ia juga mengatakan anak pengurusan tertinggi SC juga terlibat dan mendapat jawatan tertinggi di dalam syarikat yang disiasat dan siasatan tersebut ditutup oleh SC.
Menurut sekumpulan individu tersebut kes yang dilaporkan turut melibatkan pegawai-pegawai tinggi SC yang menerima rasuah sebagai balasan menutup kes siasatan ke atas syarikat awam yang melakukan kesalahan “insider trading”.
Laporan itu diterima SPRM hanya beberapa hari selepas SC mengeluarkan kenyataan yang mengatakan tindakan Ketua Pesuruhjaya Azam Baki yang berkongsi akaun Central Depositories (CDS) bersama adiknya bagi pembelian saham pada 2015 adalah melanggar undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan