Selasa, 24 Mei 2022

DR WAN ZAWAWI

 



WAN ZAWAWI

 ( 1947 – 2022 )


Aku mula berkenalan dengan Dr Wan Zawawi bukan   dengan sosok  Wan Zawawi  sendiri tetapi dengan isterinya  Leslie O’Brien pada  tahun 1975. Kami berjumpa di Bangkok.  Aku datang dari Baghdad bersama delegasi NUIS – Natonal Union of Iraqi Students. Leslie datang dengan delegasi AUS (Australia Union of Student).

Aku sampai ke Bangkok untuk hadir ke  Persidangan Dwi Tahunan ASA – Asian Students Association. Kesatuan Pelajar Asia ini awalnya dikepalai oleh PKPM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia dan beribu pejabat di  Rumah Persatuan Universiti Malaya.

ASA diharamkan oleh kerajaan Malaysia sesudah Mei 13.

Ketika  aku sampai ke  Siam  menghadiri persidangan ASA di Chiengmai  waran  telah dikeluarkan untuk menangkap aku.  

Aku telah berjaya meloloskan diri dan tinggal sementara di Baghdad Iraq.

Di Bangkok Leslie menerangkan bahawa di Australia khususnya di Monash Universiti  di  Victoria ramai pelajar Malaysia. Malah pelajar Malaysia adalah yang paling aktif di Australia. 

Leslie datang ke Bangkok bersama T.M.B Krishnan  dari O.S.S – Overseas Students Service – anak syarikat AUS. T.M.B Krishnan yang juga siswa dari Malaysia  akan cuba menjemput aku datang ke Australia.  
 
Janji Krishnan dikotakan. Pada awal tahun 1976 ketika di Baghdad  aku telah  dijemput ke persidangan tahunan AUS di Monash University Melbourne Victoria Australia.

Aku menjadi tamu AUS dan diminta menyampaikan ucapan tentang perjuangan pelajar Malaysia  di persidangan AUS tersebut.  

Ini kali ke dua aku sampai ke Monash Australia. Kali pertama tahun 1974 untuk menghadiri  ke Persidangan  ASA di Melbourne. AUS menjadi tuan rumah.

Di Melbourne sekali lagi aku bertemu dengan Leslie .Kali ini Leslie  datang dengan seorang  lelaki Melayu. Leslie kemudian memperkenalkan lelaki  Melayu ini  sebagai  Wan. Kemudian aku diberitahu  bahawa Wan Zawawi adalah suaminya. Mereka berdua  pelajar pasca ijazah di Universiti  Monash di bidang sains sosial.

Universiti Monash tersohor di kalangan pelajar Malaysia. Malah ramai pelajar Melayu belajar dalam kampus ini.  

Ketika  aku singgah  di Melbourne ( 1976 -1977)  telah  ada ‘kampung Melayu ‘ di pinggir Universiti Monash.  

Pelajar Melayu ini kebanyakan  ditaja oleh Commonwealth Scholarship.  Universiti Monash terunggul dalam bidang ilmu kajian politik Asia Tenggara, terutama Indonesia dan juga keilmuan sosiologi antropologi dan sains sosial.

Profesor M.G. Swift  (1930-1984) dengan yang terkenal dengan  kajian Malay Peasant Society in Jelebu adalah Ketua Jabatan Sosiologi Antropologi Monash Universiti.  Manakala Profesor Herbet Feith ( 1930-2001) adalah pakar dalam kajian politik Indonesia.

Dua sosok ini - Feith dan Swift -  adalah diantara  guru dan profesor yang mendidik Wan Zawawi.

Sesudah Persidangan Tahunan AUS aku mengambil peluang untuk terus tinggal di Australia. Aku tinggal di Melbourne yang jauhnya hanya 6 batu dari Monash.

Satu hujung minggu  aku telah  menjadi tamu Wan Zawawi dan Leslie.  Mereka tinggal tidak jauh  tidak jauh dari  universiti.

Untuk makan malam   Wan telah memasak. Sungguh enak makan malam itu bersama Fosters dan Air Anggur merah dari Selatan Australia. Sesudah makan  Wan menghulurkan aku  Gudang Garam. Rokok ini tidak asing lagi dengan aku. Sosok yang memperkenalkan aku dengan Gudang Gram ialah Tongkat Waran a.k.a Usman Awang.  

Di ruang tamu  Wan membuka satu majalah filem dari  Indonesia.  Lalu Wan bercerita tentang filem. Ketika ini aku hanya mendengar apa yang disurahkan kepada aku. Dalam majalah ini ada gambar W.D Mochtar ( 1928- 1997)   dan Wim Umboh (1933-1996) . Dua-dua sosok ini pernah aku kenali. 

Wim Umboh pengarah Matchan Kemayoran (1965 ) manakala W.D Mochtar pelakon utama. Filem ini menjadi filem  pertama masuk ke Malaysia sesudah Konfrontasi tamat. Aku berpeluang menuntun filem ini pada tahun 1967.

Sesudah  bersembang hal filem Wan bermain gitar. Jelas kepada aku bahawa anak kelahiran Terengganu ini bukan saja ilmuwan malah Wan juga tukang masak dan seniman.

Sang Isteri menjadi kurang selesa kerana bau asap rokok dan bunyi muzik. Lalu Wan mencadangkan kita keluar mencari kedai kopi untuk bercanda-canda.

Dengan kereta tangan keduanya Wan membawa aku ke wilayah St Kilda. 

‘ Kita pergi ke cafe dimana The Seekers.... selalu  bermain.. mengasah bakat ... sebelum mereka menjadi terkenal diseluruh dunia....’ Wan memberi penerangan tentang kedai kopi yang dituju.

Wan kemudian menerangkan bahawa kita boleh dapat minum kopi percuma.  Bayaran : Wan hanya perlu  memetik gitar dan menyanyikan sebuah lagu untuk menghibur para pelanggan.

Kedai kopi ini agak  ‘trendy dan chic’ – ianya terkenal – kerana semua warga Australia tahu disinilah The Seekers mula-mula menyanyi dan mencuba bakat. Malam itu Wan Zawawi dari Terengganu mencuba bakat.

Hah ! Pelanggan agak ramai malam itu. Di atas pentas   Wan memetik gitar dengan lagu Burung Kakak Tua. Aku  menunggu di bawah.   Lagu pertama mendapat sambutan. Penonton meminta lagu  ke dua. Kali ini Wan menyampaikan Bengawan Solo.  Dia mendapat tepukan hebat.

Aku pula merasa bangga dapat berkenalan dengan Wan Zawawi  seorang seniman dan ilmuwan yang bukan kecil anak.

Tahun 1977 – di  dewan RMIT ( Royal Melbourne Institute of Technology ) diadakan Konferensi Pelajar Malaysia. Aku ingat lagi pada malam penutup konferensi Wan Zawawi naik  ke atas pentas memetik gitar berdendang. Di pentas yang sama  yang sama aku telah membaca sajak Said Zahari.

Ketika ini banyak kesatuan pelajar di Australia dipengaruhi oleh politik kiri. Ada yang pro China dan ada yang Pro Russia. Justeru tempiasnya sampai juga telah gerakan pelajar Malaysia.

Wan Zawawi walau pun tidak terlibat dalam arus kiri persatuan pelajar di Australia tetapi  dari segi analisis  keilmuan – Wan Zawawi mengambil garis  kiri memperjuangkan rakyat tertindas. 

Awal tahun 1977 kawan aku zaman UM  - Yunus Ali dari Hong Kong telah datang ke Australia.  Kami tinggal di  Rae Street Melbourne. Kadang kandang  dihujung minggu kami mengadakan  ‘ soiree’  minum-minum dan makan-makan. Aku selalu mengajak Wan Zawawi bersama. 

Sambil minum dan sambil membakar satay Wan akan berdendang memetik gitar. Kadang-kadang lagu nostalgia tentang kampung halaman yang ditinggalkan. Tentang  hidup berkelana di negeri orang.

Pernah satu soiree aku telah menjemput Wan datang ke Rae Street. Dia memberi tahu aku bahawa  Shamsul Amri ada datang ke  Monash Universiti. Aku memanjangkan jemputan kepada Shamsul Amri. Sosok ini memang aku kenal  dari Universiti Malaya lagi.

‘ Shamsul tak berani datang..... dia takut nak bersosial dengan kau...’ Wan Zawawi menerangkan apabila hanya dia seorang yang datang.

Aku tidak akan melupakan  soiree akhir aku di Rae Street.  Aku menjemput kawan-kawan rapat datang. Malam  akhir sebelum esok paginya aku dan Yunus Ali  terbang keluar meninggalkan Australia.

Wan Zawawi adalah antara jemputan yang hadir.

Masa berjalan. Aku terus  berkelana. Belasan tahun kemudian aku pulang  ke Kuala Lumpur. Tiga hari selepas  menjejakkan kaki ke bumi Malaysia aku  ditahan di bawah ISA.

Dua minggu  aku ditahan kemudian aku  dibebaskan.

Bila aku keluar aku menumpang di Palms Court Brickfields di rumah Redha Ahmad yang bekerja sebagai guru di Universiti Malaya.

Dua hari satelah dibebaskan pintu flet kami diketuk. Muncul Wan Zawawi kawan lama aku yang aku kenali di Australia.  

Malam itu Wan dengan kereta empat rodannya telah membawa aku  bersiar siar melihat Kuala Lumpur yang telah 20 tahun aku tinggalkan. Malam itu aku tidak tahu di ceruk mana dibawanya aku  mundar mandir hingga lewat malam.

Di Kuala Lumpur sekali sekala kami bertemu. Di forum, di pelancaran pameran seni – aku selalu bertemu dengan  Wan Zawawi. Satu malam  kami secara tak sengaja  berjumpa di Talawi  Bangsar  - di kedai makan Nirvana. Wan baru  sahaja pulang dari Finland. Dia  menyampaikan  kertas kajiannya di Universiti Helsinki.

Sebelum berpisah Wan telah menghulurkan kepada aku  100 dolar duit Amerika. Lebihan dari  perbelanjaan dirinya di Helsinki.

Kini Wan Zawawi telah menjadi ilmuwan yang bertaraf antarabangsa. Berseminar disana sini. Dia sering menjadi profesor tamu di pelbagai Universiti. Kali  akhir dia menjadi pensyarah di Berunai.

Ketika di Berunai   Wan Zawawi  telah mempelawa Dr Zarni ilmuwan dari Myanmar  untuk mengajar sama di Berunai Universiti.  Sosok ini adalah intelektual aktivis  Asia Tenggara yang aku kenal. 

Pada 7 November 2017 - sebelum virus dari Wuhan melanggar dunia Zarni telah melancarkan bukunya tentang Myanmar di kedai buku Pak Chong di Seksyen 12  Petaling Jaya.  Kedai buku Gerak Budaya ini letaknya  tidak jauh dari rumah Wan Zawawi.  Pada malam pelancaran buku ini  Wan Zawawi dijemput untuk  hadir memberi ucapan.

Wan Zawawi gagal sampai. Dia kurang sihat. Dia menghantar anaknya untuk menyampaikan satu lagu di majlis pelancaran  The Enemy of the State - buku Dr Zarni. 

Pada pagi Rabu 18 Mei 2022 – aku menerima  berita pesanan ringkas memberi tahu Dr Wan Zawawi telah meninggal dunia.

Aku berbangga sempat berkenalan dengan Dr Wan Zawawi seorang intelektual, seorang ilmuwan dan seniman. Dr Wan Zawawi adalah sosok intelektual pro-rakyat.  Al-Fatihah. (TT)


 TULISAN INI TELAH DISIARKAN
DALAM PORTAL BERITA MALAYSIAKINI
https://www.malaysiakini.com/columns/622189

Tiada ulasan: