DAP perlu lembutkan hati orang Melayu, kata Pemuda Umno
PEMUDA Umno menggesa DAP memohon maaf atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada parti Melayu itu sewaktu kedua-dua parti itu bermusuhan sebelum ini.
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, DAP perlu berbuat demikian bagi melembutkan hati orang Melayu agar memilih mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Akmal berkata, DAP juga perlu membuktikan parti itu tidak mempunyai agenda perkauman dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.
Katanya, DAP perlu membuktikan parti itu tidak akan bersikap anti-Melayu, anti-Islam, rasis, dan berkiblat komunis sewaktu menyertai kerajaan perpaduan.
Tambahnya, DAP perlu memohon maaf seperti yang dilakukan parti itu terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kena jujur kenapa dengan GPS boleh buat, kenapa bukan dengan kita?
“Saya mohon pemimpin DAP kalau nak menempuh PRN mahu hati orang Umno lembut, maka satu tuntutan maaf daripada DAP atas tohmahan kepada Umno mesti dilakukan segera dan inilah cara kita.
“Tiada selindung lagi, kita kena jujur…inilah luahan hati akar umbi, kita tak nak cakap benda baik sahaja kena cakap realiti di bawah supaya dapat selesaikan perkara pokok,” kata Akmal.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan agung sayap tersebut di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pagi tadi.
Akmal yang Adun Merlimau turut menegaskan, meskipun DAP dan Umno perlu menghormati batas tertentu walaupun kedua-duanya kini menjadi antara 19 komponen parti kerajaan perpaduan.
“Kita bersama kerajaan untuk kongsi ruang pentadbiran tapi bukan ruang pemahaman. Kita rentas politik kepartian tapi sempadankan prinsip perjuangan.
“Kalau ada orang yang berani melintas prinsip perjuangan ini pemuda Umno pertama akan cantas orang itu,” katanya.
Beliau juga berikrar akan mengekalkan identiti Pemuda Umno dan tidak akan menjadi pengikut DAP.
“Kita jelas Umno tak akan sesekali jadi DAP. Kita tak pernah minta DAP jadi Umno dan nak tegaskan pemuda Umno akan pastikan Umno ini tidak sesekali menjadi pengikut DAP.
“Itu wajib itulah suara pemuda Malaysia. Ini sumpah dan ikrar pemuda,” tambahnya dalam ucapan di perhimpunan pertama pergerakan itu sejak pilihan raya umum 2018. – 8 Jun 2023.
1 ulasan:
Kah kah kah
Kah kah kah
Woit engkau orang ada faham tak? DAP kuat jangan salah jangan silap, yang kalah siapa? Engkau kena lembut hati pengundi Melayu untuk sokong engkau? Pengundi Cina sokong DAP kah kah kah, DAP menang bukan kerana pengundi Melayu pun lah, nak tipu siapa? Sebenarnya Ahli UMNO pun tak undi engkau orang lah, undi Melayu pecah belah, banyak parti masuk kah kah kah ini karma engkau jugak zaman Mahathir dulu, engkau orang pecah belah orang lain, sekarang kena balik itu sahaja, kalau tak sertai kerajaan engkau lah paling ramai masuk mahkamah, cerita Najib terus senyap menyap kenapa ya? Lepas nak ampun semua diam sebab nak ada PRN ? Semua ini wayang pesta yang diaturkan oleh bijak pandai politik, untuk menang buat apa saja janji boleh sumpah boleh, asal menang, baru ini nampak perubahan rakyat tapi semua tanah jual kepada peniaga hartanah semua tempat, mereka bina rumah hanya untuk orang kaya belaka kah kah kah
Catat Ulasan