Bom pada kereta Siti Kasim disyaki cubaan bunuh – KPN
KUALA LUMPUR – Penemuan bom buatan sendiri di bahagian bawah kereta milik Siti Kasim disyaki satu cubaan bunuh.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain menyifatkan perbuatan itu sangat serius dan siasatan secara agresif sedang dilakukan termasuk mengesan cap jari serta bukti-bukti lain berkaitan kejadian itu.
“Ini satu kesalahan serius, ancaman bom umpama cubaan membunuh.
“Pihak polis akan ambil tindakan agresif dalam siasatan ini, yang mana jenayah sebegini tidak boleh dibiarkan kerana memberi peluang kepada individu tidak bertanggungjawab melakukan perkara sedemikian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan itu, Razarudin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut dan kes berkenaan sedang diuruskan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Kes berkenaan masih sedang disiasat di bawah Seksyen 7 Akta letupan 1957.
Pada kejadian jam 1 tengah hari Jumaat lalu, Siti Kasim yang menghantar keretanya ke bengkel untuk servis dikejutkan oleh pekerja bengkel berkenaan dengan penemuan objek menyerupai bom di bawah tayar belakang kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Toyota itu.
Susulan itu, pasukan Unit Pemusnah Bom dari PDRM turun ke lokasi dan melakukan penyiasatan lanjut terhadap dua botol plastik yang diikat pada bawah tayar kereta tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain yang bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian mengesahkan, objek yang ditemui pada kereta peguam itu adalah bom buatan sendiri dan polis sedang menyiasat serius kes tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor turut mengesahkan objek mencurigakan yang ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kassim adalah bahan letupan termampat (IED).
Bagaimanapun, polis belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan itu masih aktif atau sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan