Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib tangguh bicara 1MDB
MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkannya sementara menunggu rayuan menggugurkan Ketua Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Panel rayuan tiga hakim, yang dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah, sebulat suara memutuskan tidak ada situasi khas yang mewajarkan penangguhan perbicaraan 1MDB.
“Kami tidak bersetuju rayuan (untuk menggugurkan Sequerah) akan menjadi tidak berguna jika perbicaraan diteruskan.
“Kepentingan awam menyebabkan perbicaraan ini perlu diteruskan. Perbicaraan kes ini di peringkat lanjutan,” kata Hadhariah.
Para hakim juga menyatakan perbicaraan 1MDB sudah mencatatkan lebih 176 hari sejak perbicaraan pertama kali bermula pada 2019.
Najib kini berdepan perbicaraan kerana menyalahgunakan RM2.28 bilion milik 1MDB.
Perbicaraan kini akan diteruskan di Mahkamah Tinggi pada Isnin hingga Rabu minggu depan.
Minggu lalu, Sequerah menolak permohonan Najib untuk beliau digugurkan berhubung hubungannya dengan bekas peguam bela 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.
Sequerah dalam keputusannya berkata tiada komunikasi antara mereka sejak Loo meninggalkan firma itu 15 tahun lalu.
Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – 25 Ogos, 2023.
2 ulasan:
Rekod betul lah cara mereka nak lambat, apa takut sangat kalau tak buat salah? Kalau betul kalau benar memang nak cepat cepat selesai supaya boleh bebas? Salah kah cakap begitu? Kah kah kah
Kita pun sangsi jugak kawan kita duduk penjara atau mana mana hotel five star kah kah kah Malaysia sentiasa boleh semua bolehkan kalau kena cara kena upah ngam kah kah
Catat Ulasan