Syed Saddiq letak jawatan presiden Muda serta merta
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman akan melepaskan jawatan sebagai presiden Muda serta merta sementara urusan undang-undangnya selesai.
Ahli Parlimen Muar itu berkata timbalannya Amira Aisya Abd Aziz akan memimpin parti itu.
“Selepas perbincangan sebentar tadi, saya putuskan untuk kosongkan jawatan sebagai presiden Muda serta merta sementara saya membersihkan nama melalui proses mahkamah.
“Saya tidak layak untuk jawatan ini. Jawatan ini sesuai untuk seseorang yang lebih putih daripada putih,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Namun hukuman penjara dan denda itu dibenarkan untuk ditangguhkan sementara menunggu rayuan. – 9 November, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan