Program tanaman bawang boleh kurangkan import
KUALA LUMPUR – Program Pembangunan Tanaman Bawang yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini hingga 2030 dijangka dapat mengurangkan import bawang negara sebanyak 30 peratus, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Menurutnya, program berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa prakomersial bermula tahun ini hingga tahun hadapan dan fasa komersial pada 2026 hingga 2030.
Fasa prakomersial katanya, bertujuan menerokai potensi penanaman bawang kecil di Malaysia dengan 70 tan metrik benih bebawang kecil dan 230 kilogram (kg) biji benih bawang kecil akan dibekalkan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Menurutnya, kawasan penanaman bawang seluas 100 hektar akan dibangunkan dengan jangkaan hasil pengeluaran sebanyak lima tan metrik per hektar dalam fasa prakomersial itu.
“Penanaman bawang ini boleh dilaksanakan sebanyak dua kali setahun. Dijangkakan pengeluaran bawang bagi fasa (prakomersial) ini adalah sebanyak 1,000 tan metrik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta perincian usaha-usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata fasa komersial program itu pula akan melibatkan pembangunan kawasan seluas 1,347 hektar dan dijangka menghasilkan sebanyak 14,470 tan metrik bawang.
Beliau berkata program berkenaan hanya akan melibatkan tanaman bawang kecil kerana MARDI masih belum menjumpai varieti bawang besar dan bawang putih yang sesuai untuk ditanam di Malaysia. – BERNAMA
1 ulasan:
Baru terfikir projek buku hijau zaman 70 an? Baru nak ingat makanan penting untuk negara dan rakyat? Selama ini bukan kita tak mahu kemajuan tetapi kemajuan kepada siapa? Apa makna kemajuan sekiranya beras tak dapat dipenuhi, makanan semuanya perlu dibawa masuk negara? Inilah nakba negaraku sekarang, selama ini semuanya hanya mengkaya diri sendiri sampai anak beranak menjadi jutawan billionaire tanpa sedikit memikirkan nasib rakyat? Salah siapa? Majoriti atau minoriti? Kapitalis atau Yahudi? Kah kah kah kalaulah manusia ini ada kekuatan memori seperti komputer kan senang boleh ingat semua nya sekali kah kah kah
Catat Ulasan