Jika Israel serang lagi, tindak balas dibuat ‘dalam beberapa saat’ – Iran
TEHRAN – Sebarang tindakan ketenteraan baharu oleh Israel terhadap Iran akan mendapat tindak balas “dalam beberapa saat”, tegas Timbalan Menteri Luar Negeri bagi Hal Ehwal Politik Tehran.
Bercakap kepada TV kerajaan, Ali Bagheri Kani, yang juga Ketua Perunding Iran dalam rundingan nuklear berkata, jika Israel membuat satu lagi “kesilapan”, tindak balas akan sangat pantas.
“Sekiranya berlaku kesilapan lagi, mereka mesti menjangkan akan tindak balas yang lebih pantas dan kuat,” tegasnya sambil menambah ia bukan dalam beberapa hari atau jam tetapi dalam beberapa saat.
Kenyataannya dibuat di tengah-tengah spekulasi sengit bahawa Israel sedang bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap serangan Iran pada Sabtu lalu.
Dalam serangan itu, Iran melepaskan ratusan dron dan peluru berpandu, menandakan serangan langsung pertama ke atas Israel.
Tindakan ketenteraan Iran adalah sebagai membalas dendam atas serangan 1 April ke atas perkarangan diplomatiknya di ibu negara Syria Damsyik yang membunuh tujuh pegawai tentera Iran, termasuk dua komander berpangkat tinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) untuk Syria dan Lubnan.
Kani menyebut serangan Israel sebagai “kesilapan strategik,” yang katanya “memberikan kesahihan untuk ujian serius terhadap keupayaan ketenteraan dan pertahanan Iran.
“Jika ada rasional dalam rejim zionis, mereka tidak seharusnya mengulangi kesilapan mereka dengan kesilapan lain,” katanya merujuk kepada Israel.
Terdahulu pada hari Isnin, Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian berkata Tehran tidak mahu meningkatkan ketegangan, tetapi jika Israel melakukan serangan lain, tindak balas Iran akan menjadi “lebih pantas, lebih kuat dan meluas.”
Beliau membuat kenyataan itu dalam panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Britain, David Cameron, sambil menambah bahawa krisis di Asia Barat “berpunca daripada peranan yang merosakkan” Israel, kata kenyataan Kementerian Luar.
Jurucakap Menteri Luar Iran, Nasser Kanaani, ketika berucap pada akhbar mingguannya pada pagi Isnin berkata, serangan Iran ke atas Israel adalah “perlu dan sesuai” dan ditujukan kepada sasaran tentera.
Beliau berkata, tindakan ketenteraan itu menjadi perlu selepas “kekurangan tindakan” oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga disebabkan “tingkah laku tidak bertanggungjawab” yang ditunjukkan oleh Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan