Tidak pelik kalau Tengku Zafrul lompat
Oleh A Kadir Jasin
SAYA tidak hairan ura-ura Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz lompat parti. Kalau baca senarai jawatan (CV) dia, memang dia kerap lompat dari jawatan ke jawatan masa dalam dunia korporat.
2. Yang hairan sikit adalah mengapa Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berani ambil risiko terima Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu sedangkan untungnya tidak banyak. Tengku Zafrul tidak ada kerusi dalam Dewan Rakyat. Dia hanyalah Senator.
3. Boleh jadi ada perkiraan lain. Ada tekanan dan wayang kulit yang kita tidak nampak. Misalnya, Menteri Besar Selangor sekarang, Amirudin Shari, akan diberhentikan, kerusi DUN Sungai Tua dikosongkan dan Tengku Zafrul bertanding. Amirudin kekal Ahli Parlimen Gombak dan boleh dilantik Menteri. Tengku Zafrul ambil alih tempat dia sebagai Menteri Besar.
4. Anwar sudah pun sahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR.
5. Tengku Zafrul terkenal sebagai orang yang mahu naik cepat dan sentiasa dalam sanjungan. Boleh jadi ini adalah perwatakan Melayu elit berdarah raja.
6. Dalam dunia korporat, dengan nama keluarga yang hebat dan lobi yang kuat, memang mudah dia naik. Wikipedia bahasa Melayu merakamkan yang dia sudah pegang 14 jawatan sejak 1996.
7. Tapi dalam dunia politik, apatah lagi politik Umno, hendak naik cepat tidak mudah. Pertama risiko kena cantas dan kedua, Umno sendiri sedang bernyawa ikan. Bukan macam zaman Anwar masuk tahun 1982. PKR pun bukanlah hebat sangat.
8. Jadi, cerita dan ramalan kata Tengku Zafrul akan melompat dari Umno ke PKR tidaklah memeranjatkan.
9. Umno boleh cakap sajalah. Ancam itu dan ancam ini. Realitinya, setelah Anwar selamatkan Ahmad Zahid Hamidi daripada pintu penjara dan angkat dia jadi Timbalan Perdana Menteri, apa sangatlah yang dia (Ahmad Zahid) boleh buat kalau betul PKR terima Tengku Zafrul?
10. Saya rasa Tengku Zafrul pun bukanlah hormat sangat kepada Ahmad Zahid atau komited kepada Umno sebab dia (Tengku Zafrul) lebih berupa ahli politik diraja.
11. Para pembesar Umno bolehlah terpekik terlolong bantah. Tapi kalau PKR terima juga Tengku Zafrul, apa mereka nak buat? Nak keluar Kerajaan Malaysia Madani? Kalau anak jantan, itulah yang mereka patut buat. Tapi ada berani?
Sekian.
Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan