AS, tiga negara ASEAN adakan latihan penguatkuasaan undang-undang maritim bersama
MANILA: Pengawal pantai dan perikanan dari Filipina, Amerika Syarikat (AS), Vietnam dan Indonesia mengadakan latihan penguatkuasaan undang-undang maritim bersama hari ini.
Menurut Kedutaan AS di Manila, latihan bersama tiga negara Asia Tenggara itu itu meliputi teknik mendekati dan menahan kapal.
Ia adalah kursus dua minggu diadakan di Pulau Mindanao dekat selatan Filipina yang menjadi sebahagian daripada usaha serantau untuk meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang, berikutan wujud kebimbangan konflik maritim dengan China yang semakin meningkat.
Terdapat pertembungan atau ketegangan yang didakwa kerap berlaku antara kapal Filipina dan China di laluan air strategik, termasuk insiden yang berlaku baru-baru ini membabitkan kapal Vietnam dan Indonesia.
"Secara bersama, kami menegaskan kembali komitmen untuk memastikan kedaulatan maritim kami kekal sebagai zon keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk semua," kata Komander Daerah Pengawal Pantai Filipina, Rejard V Marfe dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Kedutaan AS hari ini.
Menurut Marfe, beliau menyifatkan latihan yang berlangsung 13 hingga 24 Januari lalu itu sebagai sangat bermakna.
Tegasnya ia penting dalam memastikan pihaknya lebih bersedia untuk menangani sebarang ancaman mariti, namun beliau tidak menyebut mengenai China.
Dalam latihan itu, Pasukan Sempadan Australia menyertai pengawai pantai, penguatkuasa kastam dan pegawai pengawasan perikanan sebagai pemerhati.
Mengikut laporan, China dikatakan meningkatkan jumlah pasukan tentera lautnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai usaha untuk meluaskan jangkauannya di rantau pasifik termasuk didakwa cuba mencabar pakatan pimpinan AS.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, China dilapor mengerahkan kapal tentera laut dan pengawal pantai untuk menghalang Filipina memasuki kawasan terumbu dan pulau strategik penting di Laut China Selatan.
Indonesia pernah menghalau sebuah kapal pengawal pantai China dari perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan sebanyak tiga kali dalam seminggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan