Israel tangguh pembebasan tahanan Palestin
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini mengumumkan pembebasan tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza akan ditangguhkan sehingga pejuang Hamas menghentikan upacara memalukan yang diadakan ketika menyerahkan tebusan Israel.
Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan berkata, berikutan pelanggaran berulang kali oleh Hamas termasuk upacara yang memalukan tebusan kita serta penggunaan cara mereka secara sinis untuk propaganda sudah diputuskan bahawa pembebasan pengganas yang dirancang pada semalam akan ditangguhkan sehingga pembebasan tebusan berikutnya dipastikan, tanpa upacara memalukan.
Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza pada 19 Januari lalu, Hamas sudah membebaskan 25 tebusan Israel dalam upacara yang tersusun rapi, di mana pejuang Hamas menggunakan topeng mengarak tebusan berkenaan di atas pentas, memaksa mereka melambai ke arah penduduk Gaza yang berkumpul serta berucap menggunakan mikrofon.
Dalam upacara yang disusun dengan rapi itu, tebusan diberikan sijil dalam bahasa Ibrani sebagai tanda berakhirnya tempoh penahanan mereka sebelum diserahkan kepada pegawai Palang Merah yang kemudiannya menyerahkan mereka kepada pihak Israel.
Khamis lalu, Hamas turut menyerahkan mayat tiga tebusan dalam keranda ketika upacara serupa yang mendapat kecaman meluas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Perarakan mayat seperti yang dilihat pagi itu adalah keji dan kejam, serta bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.
Hamas menolak gesaan berulang kali oleh Palang Merah supaya tebusan dibebaskan secara tertutup.
Semalam, Hamas membebaskan enam tebusan Israel sebagai sebahagian daripada pertukaran tebusan-tahanan pusingan ketujuh di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Sebagai balasan, Israel sepatutnya membebaskan lebih 600 tahanan Palestin.
Bagaimanapun, sejurus selepas tebusan dibebaskan, sumber Israel berkata Netanyahu dijangka membuat keputusan mengenai pembebasan tahanan Palestin.
Hari ini, Netanyahu mengumumkan keputusannya untuk menangguhkan pembebasan tahanan Palestin sehingga upacara penyerahan tebusan dihentikan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan