Sijil Palsu Badan Beruniform Jejas Integriti Pasukan, Perlu Tindakan Segera – Wan Saiful
KUALA LUMPUR, 6 Ogos 25 – Pendedahan akhbar Metro Ahad berkenaan anggota badan beruniform menggunakan sijil palsu bagi kenaikan pangkat menjejaskan integriti pasukan, kata Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, satu langkah tegas perlu diambil bagi menghentikan kegiatan berkenaan.
“Ini perkara serius yang perlu diteliti oleh kerajaan kerana situasi ini merosakkan integriti sistem pendidikan dan menjatuhkan imej negara.
“Perkara ini bukan sekadar isu salah laku individu sahaja. Ia adalah simptom kepada ketirisan integriti, dan ketiadaan penguatkuasaan berkesan,” katanya, dalam satu hantaran di Facebook.
Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu menegaskan, kerajaan dilihat tidak mengambil sebarang tindakan walaupun perkara itu berlarutan sejak sekian lama.
Beliau mencadangkan mekanisme khusus semakan dan kelayakan akademik dilaksanakan untuk mengekang kegiatan tersebut.
“Ia juga bukan perkara baru, tapi sehingga hari ini belum jelas apakah tindakan tuntas kerajaan dalam menyiasat dan mendakwa mereka yang terbabit, termasuk mereka yang berprofil tinggi?
“Kita perlu ada mekanisme semakan dan pengesahan kelayakan akademik yang benar-benar mampu mengekang sindiket seperti ini,” kata Wan Saiful lagi.
Kerajaan katanya perlu merangka sebuah pelan jangka panjang untuk memulihkan semula kepercayaan terhadap sistem pendidikan dan sektor perkhidmatan awam yang tercemar akibat isu ini.
“Saya mendesak agar tindakan segera, telus dan menyeluruh diambil oleh pihak berkuasa,” katanya. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan