Si kaya semakin kaya, jurang kekayaan semakin melebar - Oxfam
BERLIN: Pertubuhan pembangunan Oxfam mendedahkan jurang kekayaan antara penduduk dunia terus meningkat, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Dalam analisis yang dikeluarkan pada Khamis menjelang sidang kemuncak G20 minggu ini, Oxfam menyatakan bahawa jutawan di negara-negara G20 menyaksikan kekayaan mereka meningkat sebanyak AS$2.2 trilion (RM9.1 trilion) sepanjang tahun lalu.
Kumpulan itu berkata jumlah itu cukup untuk membebaskan 3.8 bilion orang daripada kemiskinan.
Sidang kemuncak G20 akan berlangsung pada Sabtu di Johannesburg.
Kumpulan itu menghimpunkan negara-negara perindustrian utama dan ekonomi yang sedang pesat membangun.
Oxfam berkata jutawan di negara G20 meningkatkan jumlah kekayaan mereka sebanyak 16.5 peratus dalam tempoh setahun, daripada AS$13.4 trilion (RM55.7 trilion) kepada AS$15.6 trilion (RM65 trilion).
Pertubuhan itu menganggarkan kos tahunan untuk menamatkan kemiskinan bagi 3.8 bilion orang yang hidup di bawah garis kemiskinan Bank Dunia, iaitu AS$8.30 (RM34.5) sehari, mencecah AS$1.65 trilion (RM6.9 trilion).
Oxfam menggesa pemimpin G20 supaya memperjuangkan pembentukan sebuah badan antarabangsa bagi menangani jurang kekayaan serta memperhebat usaha mengenakan cukai terhadap golongan yang terlalu kaya.
Isu mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi dijangka menjadi antara topik utama yang dibincangkan pada sidang kemuncak itu.


1 ulasan:
Perang kelas ini sejak kewujudan manusia lagi, nak perang apanya? Sejak dahulu orang berkuasa disembah dicium kaki kerana ingin mendapat perhatian, kenaikan pangkat, kenaikan status kehidupan, ini sudah wujud sekian lama, baru nak perang betul ke? Yang terpenting sumbangan Mahathir Mohamad ialah tak payah sembah sembah lagi, salam begitu saja pun ada ramai tukang kaki sembah juga, kadangkala boleh nampak di TV3, kah kah kah, yang sembah itu yang cium tangan itu pasti menunggu sesuatu sebagai balasan? Betul tak? Kenaikan pangkat, kenaikan taraf, pingat, jawatan projek ataupun wang? Kah kah kah
Catat Ulasan