'Rom belajar buat kapal dari Melayu' - Persatuan akademik mahu UIAM bertindak
Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) menggesa pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan segera dan sewajarnya terhadap seorang ahli akademik yang tindakan dan kenyataan awamnya yang dilihat melanggar piawaian etika, profesionalisme dan integriti akademik.
Dalam kenyataan hari ini, persatuan itu berkata tindakan sedemikian — khususnya apabila ia menjejaskan tanggungjawab sosial atau menimbulkan risiko besar terhadap reputasi serta nama baik universiti — tidak boleh dipandang ringan.
“Kredibiliti institusi kita bergantung pada integriti, akauntabiliti dan profesionalisme kakitangan akademiknya.
“Sebagai sebuah komuniti yang diasaskan atas pencarian kebenaran, keadilan dan keilmuan beretika, semua ahli akademik dijangka menegakkan piawaian tertinggi integriti akademik, kejujuran intelektual, profesionalisme dan kelakuan bermoral — sama ada di dalam mahupun di luar persekitaran kampus.
“Oleh itu, ASA menyeru pihak pengurusan universiti agar mengambil tindakan segera dan sewajarnya mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan terhadap mana-mana ahli yang mungkin telah melanggar tanggungjawab tersebut,” kata kenyataan itu.
Walaupun tidak menyebut secara langsung nama ahli akademik yang dimaksudkan, kenyataan itu hadir selepas satu lagi kenyataan kontroversi melibatkan Pensyarah UIAM Prof Solehah Yaacob.
Terdahulu tular video rakaman ceramah Solehah yang mendakwa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.
Dakwaan pensyarah bahasa Arab itu sekali gus menarik perhatian netizen yang mengecam dan mengkritik kredibilitinya.
ASA menegaskan tindakan seperti salah laku, salah tafsir awam, atau kenyataan yang menjejaskan integriti akademik serta bercanggah dengan misi dan nilai-nilai universiti tidak boleh diterima.
Menggesa tindakan diambil, ASA berkata langkah ini penting bukan sahaja bagi menegakkan keadilan dan ketelusan, tetapi juga untuk memelihara kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap universiti sebagai sebuah pusat ilmu, integriti dan kepimpinan moral yang disegani.
“ASA berdiri teguh dalam komitmennya untuk mempertahankan prinsip kebebasan akademik yang disertai tanggungjawab, integriti intelektual, rasa hormat dan kebenaran yang membentuk identiti bersama kita.
“Kami juga komited memastikan agar tindakan segelintir individu tidak menjejaskan integriti dan maruah kolektif seluruh komuniti akademik,” kata kenyataan itu lagi.
Sebagai rekod, tahun lepas Solehah turut mencetuskan kontroversi selepas berkongsi pandangan yang mengaitkan isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid, berkemungkinan berasal dari alam Melayu.


2 ulasan:
suruhlah proser tu buat kek yang terbesar di malaysia. universiti cap ayam tajaan kera jaan. kah kah kah!
Antara tugas mulia TT ialah menghasut dan mengapi-apikan orang
kahkahkah
menghasut dan mengapi-apikan those ordinary kang kong(s) untuk berbalah bergaduh bergocoh dengan another level of kang kong.
Demi membentuk fikrah bani melayu agar lebih tersusun. amen.
Catat Ulasan