Polis Sepanyol rampas hampir 10 tan kokain disembunyikan dalam muatan garam
MADRID: Polis Sepanyol merampas hampir 10 tan dadah jenis kokain yang disembunyikan dalam muatan garam yang dibawa sebuah kapal kargo di kawasan perairan berhampiran Kepulauan Canary, lapor portal berita The Sun UK, semalam.
Polis Sepanyol berkata, rampasan dadah yang terbesar pernah dilakukan di negara itu.
"Kapal itu dipercayai memulakan pelayaran dari Turkiye sebelum mengambil bekalan kokain di Brazil dan meneruskan perjalanan ke Sepanyol," katanya.
Sebahagian dadah berkenaan dilaporkan akan dihantar ke Huelva, Sepanyol, manakala selebihnya dipercayai untuk pasaran Kepulauan Canary.
Operasi berprofil tinggi itu dijalankan di Lautan Atlantik, membabitkan kerjasama Polis Kebangsaan Sepanyol bersama Agensi Jenayah Kebangsaan United Kingdom (NCA) dan Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA).
Dalam pada itu, satu unit khas operasi elit menaiki kapal berkenaan sebelum menahan kesemua 13 kru serta merampas sepucuk senjata api.
Difahamkan, kapal itu kemudian ditunda ke Pelabuhan Santa Cruz de Tenerife sebelum ratusan bungkusan dadah berkenaan disusun semula sebagai bukti jelas skala besar operasi penyeludupan itu.
Rakaman yang dikeluarkan polis menunjukkan kru kapal terdiri daripada warga India, Turkiye dan Serbia diiring keluar, manakala dadah yang disorokkan dirampas untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kokain berkenaan seberat hampir 10 tan dan dibungkus dalam 294 bungkusan berasingan. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan