KETIKA BERAMAL
BERI SEDEKAH
HATI HATI
AMIN
JANGAN KENA
SCAM BULAN PUASA
KHALAS
Berhati-hati, penipuan dalam talian semakin banyak ketika Ramadan - Lam Thye
KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan lebih berwaspada terhadap peningkatan kes penipuan dalam talian sepanjang Ramadan terutama membabitkan jual beli barangan Aidilfitri serta kutipan derma palsu.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye, berkata peningkatan aktiviti pembelian menjelang Aidilfitri sekali gus membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan terhadap pengguna.
"Pelbagai jenis penipuan wujud khususnya ketika Ramadan dengan menyasarkan individu tidak mempunyai pengetahuan mengenai jenayah dalam talian.
"Apatah lagi Ramadan bulan simbolik persiapan baju raya, biskut dan sebagainya mendorong orang ramai untuk berbelanja sewenang-wenangnya.
"Kesempatan ini boleh membuka ruang perlakuan jenayah dalam talian yang mana pesanan dibuat tetapi barang tidak sampai kepada pembeli," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lam Thye berkata, orang ramai juga perlu berhati-hati dengan promosi yang dilakukan atas nama jualan raya yang sering mengaburi mata pembeli sehingga terperangkap dalam jenayah penipuan dalam talian.
Kutipan derma haram turut meningkat pada Ramadan
"Selain daripada jenayah penipuan jualan dalam talian, antara jenayah lain yang sering kali disasarkan dalam Ramadan ialah membuat kutipan derma yang kemudiannya diselewengkan.
"Akaun-akaun yang meminta derma atas nama bulan Ramadan tetapi sebenarnya ialah akaun yang menipu dan cuba mengambil kesempatan atas kebaikan hati orang Islam.
"Pelbagai cara lagi boleh dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdayakan orang yang gemar menderma," katanya.
Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan mempercayai naluri sekiranya timbul sebarang keraguan dalam sesuatu urusan.
"Jika terdapat unsur mencurigakan, jangan teruskan transaksi. Sikap berhati-hati mampu mengelakkan kita menjadi mangsa penipuan," katanya.
Katanya, Ramadan seharusnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam supaya lebih sabar, berhemah dan bijak membuat keputusan termasuk dalam urusan digital.
"Hanya dengan meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan, kita dapat menutup ruang kepada penipu maya untuk melaksanakan modus operandi mereka," katanya


Tiada ulasan:
Catat Ulasan