KAH KAH KAH
AMARAN TERAM
ANCAMAN TERAM
TAKDA SAPA
AMBIL POT
KAH KAH KAH
SEMUA AUTA
IRAN TIDAK TAKUT
AMIN
Trump ikrar tenggelamkan bot Iran yang cabar sekatan
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran mana-mana bot serangan Iran yang menghampiri sekatan laut tentera AS di sekitar pelabuhan Iran akan dimusnahkan, walaupun terdapat seruan antarabangsa supaya gencatan senjata dihormati dan rundingan disambung semula.
Tentera AS berkata, sekatan itu yang berkuat kuasa pada jam 1400 GMT, dikenakan ke atas semua kapal yang keluar atau cuba berlabuh di pelabuhan Iran.
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump berkata, sebahagian besar angkatan laut Iran telah dimusnahkan semasa perang, namun jika mana-mana daripada beberapa "kapal serangan pantas" Iran yang masih tinggal menghampiri sekatan itu, "mereka akan segera DIHAPUSKAN."
Beliau turut berkata 34 kapal telah melalui Selat Hormuz pada Ahad, jumlah tertinggi sejak perang bermula, namun angka itu tidak dapat disahkan segera.
Trump mengumumkan sekatan itu pada Ahad selepas delegasi yang diketuai Naib Presiden, JD Vance pulang dari pertemuan dengan pegawai Iran di Pakistan tanpa mencapai perjanjian untuk menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari susulan serangan AS dan Israel ke atas Tehran.
"Saya benar-benar rasa bola sekarang berada di gelanggang Iran, kerana kami telah meletakkan banyak perkara di atas meja.
"Kami juga menjelaskan dengan sangat jelas garis merah kami," kata Vance kepada Fox News pada semalam.
Beliau berkata, Washington mesti mengawal uranium diperkaya Iran, dan mesti ada mekanisme pengesahan untuk memastikan Tehran tidak membangunkan senjata nuklear pada masa depan.
Rabu lalu, AS dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata dua minggu bagi membolehkan rundingan berlangsung, dan Pakistan selaku pengantara serta negara Teluk, Qatar masih menyeru pada Isnin supaya ia dihormati ketika usaha diplomatik diteruskan.
"Gencatan senjata masih bertahan dan ketika saya bercakap, usaha sepenuhnya sedang dijalankan untuk menyelesaikan isu-isu yang masih belum selesai," kata Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam mesyuarat Kabinet.
Bercakap di Rumah Putih, Trump berkata, wakil Iran telah menghubungi untuk mencari jalan mencapai perjanjian selepas rundingan di Islamabad gagal, namun beliau tidak menyatakan pegawai mana yang menghubungi.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyalahkan AS atas kebuntuan rundingan semasa panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal Farhan.
"Malangnya, kami menyaksikan tuntutan berlebihan yang berterusan daripada pihak Amerika dalam rundingan, yang menyebabkan kegagalan mencapai keputusan," katanya seperti dipetik kementeriannya.
Menteri Luar dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani menggesa kedua-dua pihak menjamin kebebasan pelayaran dan tidak menggunakan laluan maritim "sebagai alat tekanan", sambil menggalakkan Tehran dan Washington terus berhubung dengan pengantara.
Iran sebelum ini telah menutup selat itu kepada kapal yang dianggap musuh, hanya membenarkan kapal yang berkhidmat untuk negara yang dianggap mesra — seperti China — untuk melintasinya.
Penganalisis menyatakan Trump mungkin cuba menyekat sumber kewangan Iran serta memberi tekanan kepada Beijing, pembeli terbesar minyak Iran, supaya mendesak Tehran membuka semula Hormuz.
Beijing mengkritik sekatan itu, dengan jurucakap Kementerian Luar, Guo Jiakun menekankan kepentingan selat tersebut kepada perdagangan dan berkata bahawa "mengekalkan keselamatan, kestabilan dan kelancaran laluannya adalah kepentingan bersama komuniti antarabangsa."
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres turut menyeru supaya kebebasan pelayaran dihormati dan menekankan nasib pelaut yang terperangkap di Teluk.
"Kita perlu ingat bahawa kira-kira 20,000 pelaut telah terperangkap dalam konflik ini dan kini terkandas di atas kapal, menghadapi kesukaran yang semakin meningkat setiap hari," kata jurucakapnya Stephane Dujarric.
Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) berkata sekatan itu melibatkan "kapal dari semua negara yang masuk atau keluar dari pelabuhan dan kawasan pesisir Iran, termasuk semua pelabuhan Iran di Teluk Arab dan Teluk Oman."
Namun, tentera AS tidak akan menghalang kapal yang melalui selat itu untuk ke atau dari pelabuhan bukan Iran, tambahnya.
Pusat komando tentera Iran mengeluarkan kenyataan menyifatkan sekatan itu sebagai tindakan lanun dan memberi amaran bahawa jika keselamatan pelabuhannya "terancam, tiada pelabuhan di Teluk Parsi dan Laut Arab akan selamat."
Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata Perancis dan Britain akan menganjurkan persidangan dengan negara-negara yang bersedia menyertai "misi multinasional secara aman" untuk mengamankan selat itu, namun ia akan "bersifat pertahanan sepenuhnya" dan hanya akan beroperasi apabila keadaan mengizinkan.
Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf, yang mengetuai delegasi Tehran di Pakistan, berkata Iran "tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman," manakala ketua tentera laut, Shahram Irani menyifatkan sekatan Trump sebagai "tidak masuk akal."
Selat Hormuz bukan satu-satunya punca ketegangan yang menghalang usaha menamatkan perang.
Delegasi AS di Islamabad — diketuai Vance, utusan khas Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner — dilaporkan kecewa dengan keengganan Iran melepaskan apa yang ditegaskan sebagai program nuklear awam.
Russia pula menawarkan untuk menyimpan uranium diperkaya Iran dengan selamat sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian.
"Tawaran itu masih ada, tetapi belum dilaksanakan," kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada pemberita. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan