Jumaat, 3 April 2026

NABI ISA AKAN DATANG SEKALI LAGI


NABI ISA 

AKAN DATNG

SEKALI LAGI 



Kedatangan Kedua  atau Second Coming adalah konsep yang dipercayai oleh penganut agama Kristian dan juga  Islam.  Kedatangan Kedua ini adalah kepercayaan bahawa kali ke dua   Nabi Isa akan kembali  ke Bumi selepas kedatangannya yang pertama dan kenaikannya ke syurga kira-kira dua ribu tahun yang lalu. 

Islam percaya bahawa Nabi Isa  akan turun semula ke bumi sebagai salah satu tanda besar kiamat. Dalam ajaran Islam Nabi Isa  tidak wafat ketika disalib. Nabi Isa  diangkat oleh Allah ke langit. Nabi Isa akan kembali untuk menegakkan keadilan, membunuh Dajal, serta menguatkan syariat Islam sebelum hari kiamat.

Dalam ajaran Islam selain dari Nabi  Isa akan muncul juga  Imam Mahdi.  Sosok  muda seorang Arab  Muslim  yang akan dipilih oleh Allah untuk menghancurkan semua kezaliman dan menegakkan keadilan di muka bumi sebelum datangnya hari kiamat.

Kepercayaan Isa akan sampai ke bumi  untuk kali ke dua adalah juga   ajaran suci Kitab Injil yang di yakini oleh penganut agama Kristian. 

Manakala dalam Islam kedatangan Imam Mahdi ini disebut dalam Hadis Nabi. 

Manakala dalam kepercayaan penganut agama Yahudi Ortodoks  adalah tugas suci para penganut untuk mendiri Kuil Ketiga. Tugas suci mendirikan Kuil Ketiga ini bertujuan  untuk menebus kembali masa depan kaum Yahudi.

Tapak yang dicadangkan untuk membina Kuil Ketiga ini di wilayah  Haram al- Sharif. Wilayah dimana Kubah Batu dan Masjid Al-Aqsa berdiri pada masa ini.

Justeru untuk penganut  tiga  agama ini – Yahudi, Kristian dan Islam  – mereka  menganggap wilayah dan tempat-tempat ini amat suci.

Untuk Islam ada Masjid Al-Aqsa.  Untuk Kristian tempat Nabi Isa akan muncul sekali lagi di wilayah yang sama. Untuk Yahudi pada  hari ini   wujud  Wailing Wall -  Tembok Ratapan. Berhampiran dengan Masjid Ak-Aqsa.

Kesemua ini adalah wilayah dan tapak   suci dalam ajaran dan kepercayaan  agama Yahudi , Islam dan Kristian.  Semua terletak di Kota Lama Jerusalem atau  Baitulmuqaddis.

Tembok Ratapan adalah  tembok penahan terakhir Kuil Kedua, dibina oleh  Raja Herod Agung sekitar 20 Sebelum Masihi dan dimusnahkan oleh orang Rom pada 70  Sesudah Masihi. Hari ini penganut agama Yahudi berkunjung untuk berdoa dan meninggalkan nota kertas di celah-celahnya, melambangkan iman dan harapan.

Manakala umat Islam bersembahyang di Masjid Al-Aqsa – wilayah paling suci -  kiblat Pertama  agama Islam sebelum berpindah ke Kaabah di Mekah.  Masjid Al-Aqsa juga ialah tempat Nabi  Muhamad meninggalkan bumi  naik ke langit  di malam Israk Mikraj.  

Tiga agama besar dalam dunia ini kait berkait. Tiga agama ini memiliki punca kepercayaan, Nabi dan  sejarah yang sama. Tetapi pada hari ini kelihatan jelas tiga agama ini sedang bertelingkah.

Pertelingkahan kepercayaan agama ini pada hari ini telah  sampai ke tahap yang amat membahayakan.  

Bahaya yang dimaksudkan ini  tidak lain tidak bukan ialah Perang Iran  yang  sedang memasuki bulan ke dua. Mungkin ramai tidak sedar di belakang Perang  Minyak, Perang Iran atau  Perang Selat Hormuz ini  wujud garis agama yang sama memangkin dan membakar  suhu perang ini.

Saya bukan sosok yang arif dalam hal  kepercayaan agama   Yahudi, Kristian atau Islam. Apa yang saya tulis ini adalah hasil dari apa yang saya baca di media  sekular yang terbuka.   Fakta-fakta ini adalah fakta yang bersepah di portal sekular.

Apa yang saya tulis ini alah geo-politik yang bersadur dengan keyakinan fahaman agama. Saya  menulis dari kaca mata sekular untuk membawa  pembaca memahami latar belakang geo-politik  Perang Iran yang berlaku sekarang.

Pada hemat saya selain dari  daulah terpendam dan industri senjata  yang mengasak  berlakunya Perang Iran ini ialah kumpulan  agama. 

Pandangan dan ajaran agama Yahudi Ortodoks dan juga Kristian Zionis sedang memangkin perang ini untuk di teruskan. Dua kumpulan  ini yang memiliki dan menganuti ajaran yang sama mahu berlaku apa yang di panggil Armageddon – pertempuran Akhir Zaman  - End of Time -  seperti yang tertulis  dalam Kitab Wahyu Perjanjian Baru Kristian.  

Armageddon ditafsirkan dengan pelbagai cara sama ada sebagai lokasi literal atau simbolik. Istilah itu semakin kerap digunakan dalam erti kata generik untuk merujuk kepada sebarang senario akhir dunia.

Dalam teologi Islam, Armageddon juga disebut dalam Hadis sebagai Perang Terbesar atau Al-Malhama Al-Kubra.

Al-Malhama Al-Kubra - Pertempuran Terhebat -  ialah peristiwa apokaliptik dalam eskatologi Islam. Pertempuran akhir zaman sebagai tanda besar hari Kiamat. 

Penganut Yahudi Ortodoks telah lama menunggu masa dan detik ini. Malah penganut Ortodoks ini amat yakin apa yang berlaku sekarang – Perang Iran ini adalah sebahagian dari tanda-tanda di janjikan oleh  Tuhan. Justeru mereka sedang bersedia untuk mendirikan kembali Kuil Ketiga.

Salah satu dari kepercayaan Yahudi Ortodoks ialah penyembelihan ritual lembu kemerah-merahan untuk menyucikan Rabbi  yang akan mendirikan kembali Kuil Ketiga ini. 

Pada 20 September 2022 akhbar Juruselam Post dari Israel telah melaporkan penemuan lima ekor lembu betina merah sempurna mengikut ajaran Yahudi. Lembu-lembu  ini di temui di ladang lembu di Texas Amerika.

Lembu-lembu betina di bawah umur satu tahun yang dianggap suci tanpa kecacatan ini  dibawa ke Israel  untuk persediaan membina Kuil Ketiga di Baitulmaqdis.

Jangan terperanjat bila saya nyatakan bahawa pada 22 Mac 2019 portal berita BBC telah melaporkan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo yang menganggap Presiden Donald Trump telah di hantar oleh Tuhan untuk menyelamat Israel dari Iran.

Perspektif bahawa Presiden Donald Trump dan  Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu  - dua sosok ini telah dihantar oleh Tuhan adalah pandangan yang dipegang oleh kumpulan  Yahudi Ortodoks dan Kristian Zionis.

Ada yang menyamakan  Trump dengan   tokoh  Cyrus yang di surahkan dalam Kitab Perjanjian Baru. Pandangan ini berakar umbi dalam kepercayaan kepada "rancangan ilahi" atau "campur tangan tuhan " mengenai perlindungan Israel dan Timur Tengah. Ini adalah pandangan yang sama seperti  pandangan  bekas Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo.

Paling terkini dan terbaru ialah laporan portal  The Hill pada 29 Mac 2026 telah melaporkan taklimat  Setiausaha Pertahanan Amerika  Pete Hegseth yang mencadangkan agar rakyat Amerika berlutut dan berdoa kepada Nabi Isa  untuk kejayaan pasukan askar Amerika  di Timur Tengah. 

Berdoa bukan budaya  tentera Amerika yang sekular. Soldadu berdoa ini belum pernah berlaku.

Beberapa hari kemudian,  Setiausaha Pertahanan ini  telah  membacakan khutbah yang berdoa agar "jiwa jahat" "diserahkan kepada kutukan yang kekal" dalam memerangi Iran. 

Setiausaha Pertahanan itu  menggunakan mimbar tentera untuk mempromosikan jenama Kristian  Zionis yang agresif dan kontroversial.

Kini ada pandangan pakar dan juga veteran tentera  yang melihat apa yang dilakukan oleh Pete Hegseth membawa  sentimen agama akan  mengancam dan  memecah belahkan tentera Amerika.

Tetapi inilah hakikat  latar belakang   Perang Iran  yang agak  tersorok dan tidak di heboh-hebohkan oleh media.

Jelas kelihatan semua berlaku  seperti yang telah di janjikan. Perang  Iran ialah  perang akhir zaman  seperti Armageddon. Perang ini   yang telah di janjikan  dalam  Kitab Suci Perjanjian Baru. Lembu kemerah-merahan juga telah ditemui dan telah di bawa ke   Israel.

Ada pemerhati politik sekular  dan juga para Alim Ulama Islam  yang memberi perhatian rapi dari sudut Armageddon dan Perang Akhir Zaman ini. 

Mereka berpendapat jika ini dalam perancangan Yahudi Ortodoks dan Kristian Zionis maka Masjid Al-Aqsa akan menjadi sasaran.  Yahudi Ortodoks mahu mendirikan Kuil Ketiga diatas tapak keruntuhan  Masjid Al-Aqsa.  Pada ketika ini Masjid Al-Aqsa masih tegak berdiri.

Justeru  satu teori  konspirasi muncul.  Teori ini diperkuatkan pula oleh Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023.  Operasi dari Gaza ini telah  mengambil nama Al-Aqsa.

Disurahkan operasi   ini dilakukan untuk menggagalkan projek mendirikan Kuil Ketiga kerana lembu-lembu  betina kemerah-merahan telah sampai ke Baitulmuqaddis.

Pada ketika ini Masjid Al-Aqsa masih selamat. Tapi telah ada pemerhati politik dan Agamawan  yang mengandaikan  kemungkinan  akan berlaku Projek Salah Bendera.

Peluru berpandu akan meruntuhkan Masjid Al-Aqsa. Bila ini berlaku maka yang akan dituduh ialah Iran.  Telah beberapa kali peluru berpandu yang di katakan dari Iran telah meledak di  Baitulmuqaddis.

Pada ketika ini masih belum dapat dilihat ke arah mana perang ini akan menuju.  Dari apa yang berlaku jelas kelihatan Israel, Zionis Kristian dan Yahudi Ortodoks  bersama Industri Senjata  masih belum mahu menamatkan perang ini. 

Kumpulan yang mahu perang berterusan hingga ke Armageddon  ini sedang bertembung dengan kaum kapitalis dunia yang sedang merasakan ekonomi dunia terganggu gugat.

Kita tunggu dan lihat siapa yang lebih  kuat. Kaum kapitalis atau para penganut Yahudi Ortodoks dan Kristian Zionis.  Amin. (TT)  

TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/771683


Tiada ulasan: