Sabtu, 25 April 2026

PERANG JADIKAN IRAN KUASA DUNIA


PERANG JADIKAN

IRAN KUASA DUNIA

Beberapa jam sebelum Gencatan Senjata berakhir pada 22 April 2026  Presiden Donald Trump telah memberi  dua arahan melalui laman Truth Social. Arahan satu : Gencatan Senjata di teruskan. Arahan ke dua :   Navy Amerika terus mengawal dan menutup Selat Hormuz.

Mengikut arahan Trump gencatan senjata diteruskan hingga persetujuan tercapai.  Trump menunggu sehingga  Iran muncul dengan cadangan damai. Secara tuntas tidak  ada butiran apa yang akan berlaku seterusnya.

Trump menulis di laman Truth Social : “Oleh itu, saya telah mengarahkan Tentera kita untuk meneruskan Sekatan dan, dalam semua aspek lain, kekal bersedia dan mampu, dan oleh itu akan melanjutkan Gencatan Senjata sehingga masa cadangan mereka dikemukakan, dan perbincangan dimuktamadkan, satu cara atau yang lain.”

Ini adalah watak Trump. Beberapa jam sebelum arahan baru di Truth Social ini di buat   Presiden Amerika ini  telah mengancam untuk mengebom semua loji  jana kuasa leterik Iran. Untuk memastikan Iran kembali ke zaman batu.

Iran dan dunia telah dan sedang melihat tindak tanduk Presiden Amerika ini. Awalnya dunia agak risau tapi kebelakangan ini  Iran dan warga dunia melihat Trump ini sedang membuat lawak berdiri. Nak ketawa salah. Tidak  ketawa pun salah kerana Trump sudah menjadi Pelawak Dunia yang menakutkan.

Belum pernah dunia dan  badan politik dunia berhadapan dengan watak seperti Donald J Trump. Apa yang menakutkan dan menggerunkan kita semua  ialah sosok ini adalah Komander Agong Tentera Amerika.  Askar Darat, Laut dan Udara Amerika semua di bawah arahan Donald Trump. 

Paling menakutkan  Trump juga boleh memberi arahan untuk meledakkan bom nuklear  kemana saja yang dia berahi.  

Keadaan ini mewajibkan  Hishamuddin Rais memberi cadangan kepada semua pembaca untuk mencari dan menuntun kembali filem Dr. Strangelove garapan Stanley Kubrick. Filem komidi seram  tahun 1964  ini membawa kesah  Bom Atom dengan kuasa politik Presiden Amerika.

Ketika ini  gencatan senjata masih berjalan. Pakistan masih berusaha untuk membawa Amerika dan Iran ke meja rundingan. 

Tetapi dalam masa yang sama bentrokan masih berjalan di antara Israel dengan Hizbullah di Lebanon.  Israel juga masih menyerang Gaza. Paling terkini wartawan Lebanon  yang cuba menyelamatkan diri dari  serangan Israel telah di bunuh mati.

Dalam masa yang sama Selat Hormuz masih di ditutup. Navy Amerika melarang kapal untuk berlabuh di pelabuhan milik Iran. Dalam masa yang sama  soldadu Iran juga telah  membedil   kapal dua buah kapal  yang ada kaitan dengan Amerika dan Zionis Isreal.

Jelas dan terang gencatan senjata yang di pupuk oleh Pakistan ini dilihat goyah.


Hakikatnya dunia kita hari ini semakin tegang. Mak Cik, Pak Cik, Amoi,  Wong dan  Mutthu  di Malaysia mungkin masih belum merasakan dampaknya secara keras. Harga minyak sudah naik. Harga diesel NAIK mendadak. 

Kita di Malaysia masih selesa dan bertahan. Dampaknya mengambil masa untuk turun dari pembuat kepada pembekal kepada peruncit dan kepada pengguna.

Tetapi pakar ekonomi dan ahli perniagaan yang arif dalam hal jual beli minyak telah meramalkan jika keadaan seperti hari ini  berterusan pasti akan memporak-perandakan ekonomi dunia.

Malah ada yang berani berkata ekonomi kita hari ini lebih nazak dari Krisis Minyak tahun 1973. Lebih  nazak  ketika dunia dilanggar oleh Covid 19. Jika keadaan  yang wujud sekarang ini tergelincir  di luar kawalan  mungkin Zaman Meleset 1939  akan berulang.

Tidak disangka rupa-rupanya Iran telah memiliki senjata yang lebih bahaya dari bom nuklear.  Bila Iran mencekik leher Selat Hormuz  seluruh dunia  susah bernafas. 

Dari awal lagi – ketika Perang  Iran  dengan Iraq   Selat Hormuz telah memainkan  peranan. Ketika itu  dari 1981-1988 Tanker War – perang kapal minyak berjalan. Tetapi Selat Hormuz tidak di tutup.

Iran dari awal lagi telah memberi amaran terbuka kepada Amerika dan Israel jika di serang Selat Hormuz akan di tutup. 

Malah para pemikir dan para Jeneral di Pentagon sedar dan tahu perkara ini. Mereka  juga tahu dampaknya ke atas ekonomi dunia.

Tetapi Presiden Trump telah berjaya  di tipu oleh Netanyahu dan David Barnea   Pengarah Mossad. Malah ada akhbar Amerika yang melaporkan  Pengarah Mossad ini selalu  berkampung di Washington DC dan di Rumah Putih.

Dua Zionis ini meyakinkan Trump bahawa perang ini akan selesai  tidak lebih dari seminggu.  Untuk Israel,  Netanyahu  dan kaum Zionis   mereka merancang agar bala tentera Amerika masuk mengebom dan memusnahkan Iran.

Memusnahkan Iran sebagai sebuah negara adalah matlamat akhir Zionis Israel.  Ini kerana Republik Islamik Iran adalah satu-satu negara yang terus  menyokong memberi bantun moral dan material kepada  perjuangan kemerdekaan Palestin.

Perancangan  dan konspirasi   projek Zionis ini kita lihat telah terbalik kot. Hasilnya hari ini Iran telah di lihat dan di baca sebagai kuasa dunia ke empat sesudah Amerika China dan Rusia.

Bila saya menulis tentang kemunculan Iran sebagai kuasa dunia ada yang memanggil Hishamuddin Rais  sebagai  Penganut Baru Syiah.

Biar saya nyatakan bahawa saya tidak perlu menjadi Syiah untuk menulis dan merakam kebenaran. Malah  saya  ajukan soalan : Apa-kah Profesor Richard A Pape dari Universiti Chicago ini kini menjadi  Syiah?

Saya bertanya ini kerana tulis dan pandangan Profesor inilah yang meyakin saya tentang kedudukan Iran  pada ketika ini.

Profesor itu ialah  Robert A. Pape, seorang profesor sains politik di Universiti Chicago.  Pakar  dalam keselamatan antarabangsa. Dia terkenal dengan analisisnya tentang keganasan politik dan pemberontak di Amerika Syarikat. Dia juga memberi kuliah kepada pasukan keselamatan Amerika.

Hakikatnya ilmuwan  yang bukan kecik anak.

Profesor Richard  telah menulis esei tetamu di The New York Times  pada 6 April 2026.  Ini adalah akhbar yang sama yang telah menulis tentang Najib, Jho Low dan 1MDB.

Esei tulisan Profesor  Richard ini bertajuk  : The War is Turning Iran into a World Major Power -  perang ini telah menjadikan Iran sebagai satu kuasa dunia.

Profesor ini berpendapat Iran boleh menjadi "pusat kuasa global keempat" bersama Amerika Syarikat, China, dan Rusia kerana pengaruhnya ke atas Selat Hormuz.

Hujah utama  Profesor Richard bukan kerana Iran tiba-tiba menjadi lebih kaya atau lebih kuat dari segi ketenteraan, tetapi kerana satu faktor strategik:

Kawalan geografi Iran ke atas Selat Hormuz.

Kira-kira 20% daripada bekalan minyak dunia melalui laluan air yang sempit itu. Jika Iran boleh mengganggu atau mengancam penghantaran ke sana, ia boleh mempengaruhi: Harga  minyak dunia – ekonomi negara Barat – logistik ketenteraan di Telok Parsi dan ini  adalah pengaruh diplomatik  ke atas kuasa besar.

Pandangan Profesor Richard ini dikongsi oleh ramai pemikir, para strategis  geo-politik dan intelektual liberal di Amerika.

Saya nyatakan disini pandangan Profesor Richard ini  di setujui  dan disokong  oleh Profesor Mearsheimer yang  juga  dari Universiti Chicago.

Apa yang menarik tentang Mearsheimer ialah dia lulusan Maktab Tentera West Point. Bertugas sebagai soldadu tentera  udara Amerika 1970-75  berpangkat Kapten. Satelah bersara  menyambung pelajaran untuk menjadi ahli akademik hubungan antarabangsa.

Mearsheimer penulis buku yang prolifik. Tahun 2007 menulis buku  : Israel Lobby and American Foreign Policy. Buku yang kini menjadi rujukan untuk memahami bagaimana kaum Zionis berjaya meresap untuk   mempengaruhi politik Amerika. 

Ketika tulisan ini di garap Selat Hormuz masih di tutup. Amerika melarang kapal minyak atau  kapal barang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran. Amerika mahu mencekik ekonomi minyak Iran. Jika minyak Iran tidak terjual maka Iran akan jatuh muflis. Tangki simpanan minyak Iran akan penuh dan akan  membawa mudarat.

Sebagai jawapan Iran pula akan menghalang keluar masuk kapal ke pelabuhan negara Arab Teluk seperti Bahrain, Saudi, Kuwait  dan UAE. Negara-negara ini adalah sekutu Amerika dan sekutu Israel.  

Kau kepung aku – aku akan kepong  kawan kau.lah Ini dasar yang sedang dilakukan oleh Iran sekarang.

Pemerhati politik dari London, Paris, Berlin dan New York semua sependapat bahawa Trump telah kalah dan silap langkah bila menyerang Iran.  Mereka juga sependapat bahawa Trump sedang mencari jalan keluar untuk menamatkan perang ini.

Pakar ekonomi juga sedang memberi pandangan yang jujur.  Perang ini jika berterusan malapetaka besar akan sampai.

Beberapa negara di Timur Tengah seperti  Iraq, Jordan, Kuwait, Bahrain, dan Qatar, telah menutup ruang udara mereka kepada lalu lintas awam.  Gangguan besar  kepada  Syarikat penerbangan utama seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad.

Lufthansa telah menangguhkan banyak penerbangan kerana tidak ada bahan petrol. Manakala penerbangan ke hab utama seperti Dubai, Abu Dhabi dan Tel Aviv menghadapi pembatalan dan laluan semula yang teruk.

Ekonomi sedang memberi tekanan kepada Trump. Dalam masa yang sama Netanyahu juga tidak mahu projek menghancurkan Iran ini terhenti sebelum Iran musnah sebagai sebuah  negara.

Inilah dilema yang sedang di hadapi  oleh Presiden Donald J Trump Presiden ke 47 Amerika.  Dunia menunggu apakah langkah yang akan di ambil  oleh Sang Presiden. Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/773576





Tiada ulasan: