Ahad, 26 Julai 2026

BENCANA HASIL PEMANASAN DUNIA


TANDA PALING

JELAS - DUNIA

MAKIN PANAS

AMIN

UMAT MANUSIA

JIKA TAK BERUBAH

AKAN HANCUR

KHALAS



Kebakaran hutan paksa hampir 260,000 penduduk berpindah di Perancis, Sepanyol

BORDEAUX: Kebakaran hutan yang masih tidak dapat dikawal di barat daya Perancis dan berhampiran ibu negara Sepanyol, Madrid semalam memaksa hampir 260,000 penduduk dipindahkan, selain mendorong Paris mengerahkan anggota tentera.

Perancis pada mulanya memindahkan 197,000 orang dari kawasan sekitar destinasi percutian popular Bordeaux sekali gus antara operasi pemindahan terbesar pernah dilakukan negara itu pada waktu aman, namun 3,000 daripadanya kemudian dibenarkan pulang.

Di Sepanyol, seramai 60,000 penduduk dipindahkan dari kampung-kampung di barat Madrid, manakala Perdana Menteri Pedro Sanchez berkata keutamaan kerajaan adalah 'menyelamatkan nyawa' ketika beliau melawat kawasan terjejas.

Di bandar Brunete, di barat Madrid, datuk bandar Mar Nicolas menyuarakan perasaannya kepada AFP yang beliau 'amat bimbang".

"Setiap tahun memang berlaku kebakaran, tetapi kali ini amat dahsyat. Ini satu bencana," katanya.Satu lagi kebakaran hutan berhampiran bandar Valencia di timur Sepanyol mengorbankan seorang mangsa sebelum berjaya dikawal pasukan bomba.

Pasukan bomba di Sepanyol dan Perancis yang bertungkus-lumus siang dan malam memadamkan kebakaran sejak beberapa hari lalu namun masih gagal mengawal kebakaran besar itu, yang turut meragut nyawa dua anggota bomba Perancis berhampiran Bordeaux awal minggu ini.

Terdahulu awal semalam, pihak berkuasa di kedua-dua negara memaklumkan intensiti beberapa kebakaran mula berkurangan.

Bagaimanapun, usaha memadamkan kebakaran masih jauh daripada berakhir.Ramalan cuaca di Perancis 'kembali menjadi tidak menggalakkan', kata Perdana Menteri Sebastien Lecornu menerusi hantaran di X malam tadi sambil memberi amaran beberapa jam akan datang menjadikan keadaan 'mungkin sukar'.

Sanchez turut memberi amaran, tempoh beberapa jam menjadi masa yang rumit.

Kebakaran di Sepanyol dan Perancis merebak dengan pantas akibat keadaan tumbuhan yang terlalu kering selepas kedua-dua negara dilanda beberapa gelombang haba berturut-turut sejak Mei.

Saintis berkata pemanasan global meningkatkan kejadian kemarau serta menyebabkan bencana cuaca menjadi lebih ekstrem dan lebih kerap berlaku.

Eropah ialah benua yang mengalami kadar pemanasan paling pantas akibat perubahan iklim.

Kedua-dua negara turut menerima bantuan Kesatuan Eropah (EU) menerusi pesawat pemadam kebakaran dari beberapa negara Eropah lain.

Perancis mengerahkan 1,500 anggota tentera dan 1,700 anggota keselamatan untuk membantu operasi memadam kebakaran berhampiran Bordeaux, manakala sebuah pesawat pengangkut tentera A400M menyertai armada pesawat lebih kecil yang 'menjatuhkan' air ke kawasan kebakaran semalam.

Puluhan anggota bomba dari Paris turut dihantar bagi memperkukuh operasi dengan Lecornu berkata seramai 1,400 anggota bomba sedang bertugas memadamkan kebakaran.

Pihak berkuasa tempatan membuka pusat perlindungan kecemasan di sekolah dan gimnasium di barat daya Perancis bagi menempatkan pelancong serta penduduk yang masih tidak pasti keadaan kediaman mereka apabila dibenarkan pulang.

Nuala Kelly, 75, pelancong dari Ireland berkata beliau tidak pernah menyaksikan keadaan seumpama itu.

"Tidak pernah langsung berdepan keadaan ini, sedangkan saya sudah mengembara ke seluruh dunia dan melalui pelbagai situasi," katanya kepada AFP di pusat pameran besar Bordeaux yang kini menempatkan ribuan mangsa.

Olivier Stewart, 38, yang terpaksa meninggalkan kampung Merignac bersama isteri dan anak-anak kecilnya berkata, kanak-kanak antara golongan 'paling tertekan'.

"Mereka fikir kebakaran akan memusnahkan rumah kami, tetapi kami masih mampu menghadapinya," katanya.

Peringkat terakhir perlumbaan berbasikal Tour de France hari ini (Ahad) dipendekkan selepas Kementerian Dalam Negeri memaklumkan anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan perlumbaan perlu dipindahkan bagi membantu operasi kebakaran.

Lecornu turut berkata perancangan sedang dibuat untuk menyelamatkan haiwan peliharaan yang ditinggalkan di rumah.

Awan asap tebal daripada kebakaran di Perancis dan Sepanyol mula bercantum di atmosfera berdasarkan imej satelit agensi meteorologi Sepanyol, Aemet.

Kebakaran yang sedang berlaku di seluruh Perancis setakat ini memusnahkan hampir 98,000 hektar kawasan iaitu satu 'rekod bersejarah', kata Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez.

Di barat daya Perancis sahaja, api memusnahkan lebih 32,000 hektar kawasan, bersamaan tiga kali ganda keluasan bandar Paris, selain memusnahkan sekurang-kurangnya 100 bangunan, menurut pihak berkuasa.

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata negara itu 'akan membina semula' kawasan yang musnah.

Kebakaran di barat Madrid pula memusnahkan sehingga 25,000 hektar kawasan, menurut Kementerian Dalam Negeri Sepanyol.

Dua daripada tiga kebakaran besar di kawasan itu kini bergabung menjadi satu dan berisiko bercantum dengan satu lagi kebakaran sehingga membentuk kebakaran gergasi hanya beberapa kilometer dari ibu negara.




Tiada ulasan: