KITA SEMUA
BERTANGGUNG
JAWAB
AMIN
DUNIA MAKIN PANAS
KERAN PERBUATAN
KITA SEMUA
AMIN
Perubahan iklim akibat aktiviti manusia burukkan kemarau di Eropah
PARIS: Perubahan iklim akibat aktiviti manusia menjadikan kemarau yang melanda Eropah semakin buruk, dengan cuaca panas melampau dikenal pasti sebagai faktor utama, menurut kajian sekumpulan saintis antarabangsa.
Kajian itu mendapati peningkatan suhu menyebabkan lebih banyak kehilangan air daripada tanah, tasik dan sungai, sekali gus meningkatkan risiko kemarau.
Penyelidik, Mariam Zachariah dari Imperial College London, yang turut terbabit dalam kajian kumpulan World Weather Attribution (WWA), berkata risiko kemarau akan terus meningkat walaupun beberapa kawasan menerima jumlah hujan yang sama atau lebih tinggi berbanding sebelum ini.
"Secara keseluruhannya, dapatan kami menunjukkan punca utama kemarau ini bukan daripada kekurangan hujan, sebaliknya atmosfera yang semakin panas menyebabkan tanah kehilangan lebih banyak kelembapan," katanya.
Ketika ini, beberapa negara termasuk Perancis dan Romania berdepan penyusutan paras sungai, sekatan penggunaan air serta kebakaran hutan yang semakin serius selepas gelombang haba melampau melanda Eropah pada Jun lalu.
Walaupun kebanyakan kawasan di Eropah menerima taburan hujan di bawah paras purata pada musim bunga, saintis berkata cuaca panas akibat perubahan iklim menyebabkan keadaan kemarau bertambah buruk.
Menurut saintis, setiap kenaikan suhu 1 darjah Celsius membolehkan atmosfera menampung kira-kira tujuh peratus lebih banyak wap air, sekali gus meningkatkan kadar penyejatan air daripada permukaan bumi.
Sejak tempoh 1850 hingga 1900, suhu purata dunia meningkat kira-kira 1.4 darjah Celsius, terutama akibat pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas.
Saintis berkata perubahan iklim menyebabkan kejadian cuaca melampau seperti kemarau, banjir dan gelombang haba berlaku dengan lebih kerap serta lebih teruk, manakala Eropah kini menjadi benua yang mengalami kadar pemanasan paling pantas di dunia.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus melaporkan Jun lalu adalah bulan Jun paling panas pernah direkodkan di Eropah Barat, dengan gelombang haba itu dikaitkan dengan ribuan kematian.
Seorang lagi penyelidik, Dominik Schumacher dari ETH Zurich, berkata walaupun sesetengah kawasan menerima hujan yang banyak pada musim sejuk, cuaca panas melampau menyebabkan tanah menjadi kering hanya dalam tempoh beberapa bulan.
"Apabila udara semakin panas, ia menyerap lebih banyak air daripada tanah. Akibatnya, tanah menjadi semakin kering dan suhu terus meningkat," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut meningkatkan risiko kebakaran hutan. Dalam kajian itu, saintis membandingkan keadaan cuaca semasa dengan keadaan dunia yang 1.4 darjah Celsius lebih sejuk.
Mereka mendapati keadaan tanah yang terlalu kering kini lima kali lebih berkemungkinan berlaku di Eropah Barat dan 11 kali lebih berkemungkinan di Eropah Timur berbanding jika perubahan iklim tidak berlaku.
Kajian itu turut menunjukkan atmosfera kini lebih berupaya menyerap kelembapan daripada tanah dan tumbuhan, menyebabkan kawasan daratan lebih cepat kering.
"Apabila atmosfera menjadi semakin 'dahaga', kekurangan hujan yang sebelum ini mungkin tidak menyebabkan kemarau kini boleh mencetuskan kemarau yang jauh lebih buruk," kata Zachariah. – AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan