Khamis, 23 Julai 2026

KAPAL MINYAK SAUDI DIBEDIL


YAMAN KAWAL

LAUT MERAH &

BAB EL MANDAP

AMIN

MINYAK DUNIA

AKAN KERING

KHALAS


Houthi dakwa serang dua kapal tangki Arab Saudi guna peluru berpandu


SANAA: Kumpulan Houthi di Yaman awal pagi ini mendakwa melancarkan serangan ke atas dua kapal tangki minyak Arab Saudi.

Houthi mengenal pasti dua kapal tangki itu sebagai Encelia dan Layla, sambil mendakwa kedua-duanya melanggar sekatan laut yang dikenakan kumpulan yang disokong Iran itu terhadap Arab Saudi.

Menurut kumpulan itu, serangan dilakukan menggunakan beberapa peluru berpandu balistik dan peluru berpandu.

Sementara itu, laporan keselamatan maritim mengesahkan sebuah daripada kapal itu, Encelia, terkena serangan peluru berpandu di Laut Merah.

Sumber keselamatan maritim berkata, Encelia menghantar isyarat kecemasan selepas melaporkan ia terkena peluru berpandu ketika berada berhampiran pelabuhan Jizan di Laut Merah, sebelum terbakar.

Syarikat pengurusan risiko maritim Britain, Vanguard, turut mengesahkan kapal tangki berbendera Arab Saudi itu terkena objek peluru yang belum dikenal pasti pada bahagian kanan kapal, kira-kira 70 batu nautika di barat daya Al Shuqaiq, Arab Saudi, pada jam 8 malam GMT.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata, pihaknya turut menerima laporan sebuah kapal tangki terkena objek peluru yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kebakaran di atas kapal.

Menurut UKMTO, anak kapal sedang berusaha memadamkan kebakaran itu dan tiada kemalangan jiwa atau pencemaran alam sekitar dilaporkan.

Bagaimanapun, UKMTO tidak mengesahkan sama ada kapal yang dilaporkan itu ialah Encelia, meskipun lokasi dan butiran kejadian sepadan dengan laporan Vanguard.

Vanguard berkata, Houthi turut mendakwa menyerang sebuah lagi kapal, Layla, namun dakwaan itu masih belum dapat disahkan.

Sumber keselamatan maritim berkata, maklumat lanjut mengenai jumlah mangsa, keadaan anak kapal, tahap kerosakan atau sebarang kesan terhadap alam sekitar masih belum diperoleh.

Pada Isnin lalu, Houthi mengumumkan sekatan laut terhadap Arab Saudi di Laut Merah, satu langkah yang berpotensi mengganggu bekalan tenaga global melangkaui rantau Teluk.

Dalam kenyataan sama, kumpulan itu mendakwa kira-kira 10 kapal berpatah balik selepas diberi amaran supaya tidak belayar ke pelabuhan Arab Saudi. Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas.

Data penjejakan kapal menunjukkan lima kapal tangki menukar haluan di Laut Merah pada Rabu, dengan dua daripadanya menetapkan Terusan Suez sebagai destinasi baharu selepas Houthi memberi amaran supaya kapal mengelakkan pelabuhan Arab Saudi. - REUTERS


Tiada ulasan: