TERAM ANCAM
AKAN BOM IRAN
AMIN
IRAN JAWAB
KALAU BERANI
SILA MENDARAT
KHALAS
AS beri amaran mahu serang loji jana kuasa, jambatan Iran jika enggan berunding - Trump
WASHINGTON: Pesiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran akan menerus dan meningkatkan serangan terhadap Iran dalam beberapa hari akan datang, dengan menyasarkan loji jana kuasa dan jambatan negara itu jika Tehran tidak kembali ke meja rundingan.
"Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat. Kami menyerang setiap kemudahan yang mereka miliki di sepanjang pesisir dan kawasan dermaga... Serangan itu akan berterusan sehingga saya mengatakan sudah cukup," kata Trump dalam wawancara dengan Fox News, , lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Ketika ditanya sama ada beliau mempertimbangkan untuk menyerang sasaran tenaga, Trump berkata, sasaran tenaga akan jadi yang terakhir.
"Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat malam ini. Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat malam esok dan malam berikutnya.
"Kemudian, keadaan akan menjadi sangat buruk bagi mereka pada minggu depan kerana loji jana kuasa akan menjadi sasaran. Minggu depan, jambatan pula akan menjadi sasaran.
"Kami akan memusnahkan semua loji jana kuasa dan jambatan mereka, kecuali mereka kembali ke meja rundingan," katanya.
Trump juga percaya Iran "tiada pilihan" selain mencapai persetujuan, sambil menambah bahawa wakil AS masih berhubung dengan pegawai Iran kira-kira sejam sebelum wawancara itu berlangsung.
"Mereka mahu mencapai persetujuan... Lebih baik kamu mencapai persetujuan. Jika tidak, tiada sesiapa pun yang akan tinggal," kata Trump.
Tentera AS melancarkan serangan ke atas Iran bagi hari keempat berturut-turut hari ini, selain menguatkuasakan semula sekatan laut bagi menghalang kapal belayar ke atau dari pelabuhan negara itu.
Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, serangan terbaru itu bertujuan untuk melemahkan keupayaan Iran yang digunakan untuk menyerang perkapalan komersial di Selat Hormuz iaitu laluan utama penghantaran minyak dan gas Teluk yang sebelum ini menyaksikan Tehran berulang kali menyerang kapal awam.
Media kerajaan Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di bandar pelabuhan Bandar Abbas, di Pulau Qeshm berhampiran Selat Hormuz, serta beberapa lokasi lain.
Agensi berita rasmi IRNA kemudian melaporkan bahawa tentera Iran melancarkan serangan dron ke atas sebuah pangkalan tentera di Jordan yang menempatkan pesawat perang AS.
Sekatan laut baharu AS mula berkuat kuasa pada jam 8 malam GMT, iaitu sejam selepas serangan udara bermula, dengan seorang pegawai kanan Iran menyifatkan tindakan itu secara tidak langsung memusnahkan perjanjian yang dicapai dengan Washington untuk menghentikan sementara konflik bagi membolehkan rundingan damai diadakan.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata keputusan AS untuk menguatkuasakan semula sekatan laut itu secara langsung membatalkan Memorandum Islamabad.
Ketua CENTCOM, Laksamana Brad Cooper, berkata sepanjang minggu lalu, Iran sengaja menyasarkan orang awam di seluruh rantau ini dengan menyerang tujuh kapal komersial, menyebabkan beberapa anak kapal awam terbunuh, hilang atau cedera.
"Tentera AS akan terus mempertanggungjawabkan Iran atas tindakan pencerobohan yang tidak berasas dan terus mengancam nyawa orang awam," katanya.
Iran sebelum ini memaklumkan bahawa siri serangan terdahulu AS menyasarkan Pulau Qeshm, manakala pihak berkuasa tempatan berkata tentera AS turut menyerang empat lokasi di Bushehr yang menempatkan satu-satunya loji tenaga nuklear awam Iran, selain kawasan sempadan Iran berhampiran Iraq dan Kuwait. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan