Khamis, 17 September 2026

HADI AMERIKA DAN CIA


HADI , AMERIKA

DAN CIA


Dalam ucapan dasar di Muktamar Parti Islam Pas yang ke-72 di Kota Bharu , Presiden PAS , Haji Hadi, telah membuka kesah pertemuan beberapa orang pemimpin Pas dengan Duta Amerika.

Dengan serta merta berita Amerika dan Hadi ini  ini menjadi perbualan nasional. Suasana heboh di hangatkan lagi bila tak semena-mena  ada  laporan polis dibuat terhadap Hadi oleh beberapa benggolan dari Parti Keadilan Rakyat.

Hujan tidak ribut pun tidak kenapa benggolan dari PKR ini membuat laporan polis. Satu Malaysia geleng kepala kerana kerja ngok ini  tidak masuk akal.  Sepatutnya laporan polis  di buat terhadap  Amerika kerana  Amerika masuk campur mahu menggulingkan kerajaan Najib bin Razak yang jadi Perdana Menteri pada ketika itu.

Kita biarkan benggolan PKR ini terjun dengan labu-labunya. Biarkan. Biarkan.

Isu ini menjadi hangat maka saya menangguhkan sambungan penulisan saya tentang Pendatang.  Saya merasa terpanggil untuk  membuat pencerahan mengenai  Hadi dan Amerika.

Untuk saya apa yang Hadi surahkan dalam Muktamar ke 72 itu adalah benar. Saya amat yakin  apa yang keluar dari mulut Presiden PAS itu adalah fakta sejarah.


Saya berani berkata demikian bukan kerana  saya ini ahli Parti PAS.  Atau  saya  sedang menginding untuk dapat kerusi selamat dalam PRU16. Tidak.

Saya akui kebenaran  surah  Hadi itu kerana saya sendiri ada terlibat sama. Bukan terlibat bersama Hadi. 

Tetapi saya  terlibat dalam mengolah persetujuan orang ramai untuk mengguling Najib dan United Malays National Organisation.

Fakta keterlibatan saya in telah saya  rakam dalam buku Merakam Sejarah terbitan SIRD cetakan pertama 2022.

Pada 17 Oktober 2018 tulisan saya bertajuk  - Merakam  Sejarah Konspirasi Media Barat muncul dalam akhbar mingguan Suara Keadilan dan portal MalaysiaKini. 

Dalam artikel yang telah menjadi buku  itu saya  telah menulis :  Anak semua bangsa akan bertanya apakah ada konspirasi dari luar untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation pada 9 Mei 2018 dahulu. Jawapan saya senang sahaja. Betul ada. Memang ada konspirasi luar. Amin.

Dalam tulisan ini saya telah merakamkan bagaimana saya telah dihubungi oleh wartawan dari The New York Times (NYT).  Ini akhbar yang di katakan amat berpengaruh di Amerika.

Wartawan wanita  Louise Story dari NYT ini sedang mengumpul bahan  tentang 1MDB. Ketika kami bertemu berita 1MDB belum heboh lagi.

Dalam artikel Merakam Sejarah yang sama saya  telah menulis : Dalam kes konspirasi menjatuhkan Najib peranan media luar jelas sekali. Sesudah laporan NYT muncul pada  8 Februari 2015 dunia  digemparkan dengan kenyataan  Jabatan Keadilan Amerika (JKA). Pada 20 Julai 2016 Peguam Negara  Amerika Puan Loretta Lynch yang diapit oleh Timbalan Ketua FBI telah mengumumkan kepada dunia bahawa JKA sedang menjalankan siasatan keatas 1MDB.

Hakikatnya cukup jelas Amerika mahu Najib di korbankan. Ini sama seperti apa yang dinyatakan oleh Hadi  satelah dia bertemu dengan Pak Duta Amerika.

Tentang campur tangan Amerika dalam politik negara lain bukan satu yang baru. Malah  keterlibatan Amerika dalam menjatuhkan pemimpin yang tidak secocok dengan kepentingan Amerika telah bertimbun-timbun buku di tulis. Ini bukan  lagi rahsia. Justeru apa yang di ucapkan oleh Hadi Awang dalam Muktamar PAS kali ke 72 hanya ‘ small potato’ meminjam frasa Presiden Trump.

Tanya warga Iran kecil besar tua muda – mereka  akan bersurah tentang peranan CIA Amerika bersama M16  - intel UK - menjatuhkan kerajaan yang di pilih  rakyat melalui pilihan raya.
 


Pada 19 Ogos 1953, Perdana Menteri Iran Mohammad Mosaddegh digulingkan dalam satu rampasan kuasa.  Parlimen dibubar secara  tidak sah dengan alasan bahawa "kehendak rakyat mengatasi undang-undang".

Rampasan kuasa ini mengukuhkan pemerintahan Mohammad Reza Pahlavi, Shah Iran. 

Rampasan kuasa yang di rancang  oleh  CIA  Amerika  di bawah nama kod Projek TP-AJAX atau Operasi Ajax. 

Salah satu motif utama adalah untuk melindungi kepentingan minyak British di Iran selepas Mosaddegh memilik negarakan industri minyak negara itu.

Justeru hingga ke hari ini warga Iran masih memusuhi Amerika kerana peranan Amerika  membantu dan menobatkan Ahmad Reza Pahlavi  sebagai Raja yang amat zalim.

Kezaliman dan keganasan  Shah ini diketahui umum. Bukan hanya di Iran malah di seluruh dunia mengetahui peranan  Savak - Polis Rahsia Shah. Campur tangan Amerika dalam badan politik Iran hanya di tamatkan oleh Revolusi Iran 1979 di bawah pimpinan Ayatollah Khomenei.

Warga Latin Amerika juga tidak akan melupakan bagaimana hampir semua Kepala Negara, Presiden atau Perdana Menteri di Amerika Latin di naikkan oleh Amerika.

Mana sahaja  pemimpin negara yang tidak menyebelahi kepentingan Amerika akan di jatuhkan  melalui rampasan kuasa. 

Paling akhir berlaku kepada Presiden Maduro dari Venezuela. Maduro dan Isteri telah di bajak dan dibawa oleh soldadu Amerika  dari Caracas ke New York.

Warga Latin Amerika juga tidak akan melupakan Presiden Salvador Allende. Pada 11 September 1973, angkatan tentera Chile melancarkan rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan sosialis Presiden Salvador Allende.

Allende  menang melalui pilihanraya yang dijalankan secara demokratik.  Kesalahan Allende sama seperti  kesalahan Mosaddegh.  Dua pemimpin negara ini menjalankan dasar  ekonomi yang mendahului kepentingan rakyat bukan kaum kapitalis.

 Amerika melalui CIA menobat satu junta tentera yang dianggotai oleh tiga orang jeneral dan seorang laksamana dengan Jeneral Augusto Pinochet sebagai ketuanya.

Jangan sesekali kita melupakan  bagaimana Bung Karno  telah di jatuhkan pada 30 September 1965 oleh rampasan kuasa Jeneral Suharto. 

Dari bulan Oktober 1965 hingga Mac 1966, satu siri pembunuhan besar-besaran dan rusuhan telah berlaku. Semua di susun dan diatur oleh CIA  dengan kerjasama para soldadu Indonesia.

Sasaran utama ialah kaum buruh dan kaum  tani penyokong  Bung Karno dari Parti Komunis Indonesia. Mereka di bantai dan di korbankan. 
Rampasan kuasa di Jakarta ini bersangkut paut dengan kita di Tanah Melayu. Ketika itu anak didik Inggeris bernama Tengku Abdul Rahman dan Lee Kuan Yew sedang menjalankan projek kolonial Inggeris bernama Malaysia.

Bung Karno dan para nasionalis Tanah Melayu dari Parti Rakyat, Parti Islam Pas  dan Parti Buruh menentang projek Malaysia.  Kaum nasionalis   Nusantara menganggap ini adalah projek  neo-koloni  untuk meneruskan penjajahan Inggeris di  Borneo.

Jeneral Suharto bersama  kuncu-kuncu dengan bantuan CIA dan Amerika telah membunuh hampir 2 ke 3 juta warga Indonesia. Ini adalah jenayah genosid  pertama di bumi Nusantara.

Justeru apa yang  disurahkan oleh Hadi itu bukan satu perkara yang baru.  Hadi Awang mungkin dijemput minum teh dengan biskut Merry sambil bersembang politik.

 Pak Duta Amerika bertanya kepada Hadi siapakah yang akan di sokong oleh Parti PAS untuk menjadi  calon Perdana Menteri Malaysia ?

Secara bijak dan menganjing Hadi Awang  bertanya kembali siapa pilihan Pak Duta ?

Yakinlah ketika Hadi mengunyah biskut Merry  calon pilihan Amerika ialah Anwar bin Ibrahim yang masih dalam penjara.

Lalu persoalan timbul. Ramai akan bertanya dan sangsi akan surah  Hadi ini. Babak biskut Merry ini berlaku di zaman Barack Obama menjadi Presiden Amerika. Barack bin Husin Obama ialah kawan baik Najib bin Razak.

Ketika saya membantu Louise Story NYT mencari bahan 1MDB itu saya juga bertanya pada diri saya sendiri : Mengapa Amerika  nak jatuhkan. Apa kesilapan Najib. Najib bukan nasionalis macam Bung Karno atau sosialis macam Allende.

Kalau Amerika mahu menjatuhkan Mahathir semua akan faham. Si Mahathir ini bukan nasionalis kiri macam Bung Karno.  Tapi Tun Dr Mahathir Muhamad  ini dalam istilah kiri ialah nasionalis borjuis. 

Mahathir  sebagai pemimpin dari Selatan telah berani mengkritik Amerika dan paling jelas Mahathir  mengkritik Zionis Israel. 

Dalam politik Amerika mengkritik Zionis Israel ialah NO NO.

Fikir punya fikir  - cari punya cari – baca punya baca – baru saya terjumpa sebab musabab kenapa Amerika mahu menjatuhkan Najib. 

Ini semua kembali kepada 1MDB. Hutang 1MDB Najib berjela-jela. Dengan hutang ini melalui Jho Low Najib bin Razak telah  masuk ke bawah payung  China. 

Jho Low telah berjaya mendapatkan dana tambahan untuk meluas hutang 1MDB  dari China. China ialah musuh Amerika. 

Tapi bukan kah Najib bin Razak kamcing dengan Barack  bin Husin  Obama. Betul Najib pernah di lapor bermain golf di Hawaii dengan Obama. Najib menderma 200 juta dolar untuk kempen Obama. 

Ketahuilah : Yang nak menjatuhkan Najib ialah State Department – Jabatan Pertahan Amerika dan Jabatan Kehakiman Amerika. Mereka melihat bahaya Najib yang kini di bawah payung China.

Obama kawan Najib  hanya Presiden pentadbiran. Lepas  jadi Presiden Obama akan lesap pengaruh. Tetapi  China masih menjadi musuh jangka panjang. Ini garis State Deparment dan Jabatan Pertahanan Amerika.

Jelas apa yang berlaku ketika Hadi minum teh dan makan biskut Merry dengan Pak Duta Amerika telah ada dua garis persimpangan dalam  pentadbiran Amerika  bila menghadapi Najib.

Ketika semua ini berlaku  calon Perdana Menteri pilihan Amerika masih dalam penjara. Amin.(TT)



TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/885070-kolum-hadi-amerika-dan-cia-1






  





Tiada ulasan: